Saturday 28 March 2009

Rebutlah Cinta Allah

Misi utama manusia muslim ialah merebut cinta Allah. Cinta yang diutarakan manusia kepada kita hanyalah cinta sementara, cinta ketika kita masih berada. Apabila kita miskin dan pada kedana, cinta sementara itu akan segera berubah menjadi cinta palsu.

Banyak contoh yang boleh kita perhatikan di sekeliling kita. Ketika di kampus, macam belangkas, seolah-olah tidak dapat dipisahkan. Beberapa tahun selepas itu kita dengar cintanya sudah berubah. Manusia oportunis selalu mengharapkan dahan yang dia pijak akan tahan selamanya, namun mana-mana dahan pun akan reput dek zaman.

Marilah kita bersifat dengan sifat Ihsan, seperti yang diungkapkan oleh Jibrail ketika menyampaikan wahyu kepada Nabi kita Muhammad s.a.w. ialah beribadahlah seperti kita melihat Allah dan jika kita tidak berupaya berbuat demikian, maka beribadahlah seolah-olah Allah melihat kita.

Manusia yang hidupnya berada di bawah pemerhatian seseorang akan senentiasa berbuat sesuatu dengan sebaik mungkin. Segala perbuatannya akan dinilai dan tentunya beliau tidak mahu mendapat suatu nilai yang rendah.

Sifat ini mendidik kita untuk menjadi jujur terhadap yang Maha Pencipta, contohnya dalam kita berpuasa sifat ini menjadi aplikasi yang sangat relevan kerana siapa pun tidak tahu kita berpuasa atau tidak kecuali Allah dan diri kita sendiri. Pada zahirnya kita kelihatan lesu seolah-olah berpuasa tetapi diluar pandangan manusia kita akan segar bugar kerana kita berselindung daripada keadaan yang sebenarnya.

Segala apa yang kita lakukan kita niatkan sebagai pengabdian kita kepada Allah dan segala-galanya dengan niat yang demikian akan mendatangkan pahala kepada kita. Pahala, biar betapa kecil sekalipun skalanya akan tetap menjadi besar jika kita kutipnya pada setiap masa dan dalam setiap perbuatan yang kita lakukan.

Kita akan merasa sungguh bahagia jika kita dapat berbuat demikian sepanjang masa hidup kita. Jujur secara dalaman dengan diri sendiri dan juga secara luaran dengan semua manusia yang kita hadapi setiap masa. Tidak ada agenda tersembunyi terhadap sesiapa pun kerana yang kita harap adalah redha Allah bukan redha manusia.

Saya selalu berpesan kepada pelajar saya agar mengupayakan diri sendiri dengan suatu pendirian yang tegas dan tidak meminta-minta dalam apa sekali pun, hatta meminta markah jauh sekali. Berbuatlah yang terbaik dan kita akan berdiri atas kaki kita sendiri. Selama mana kita ingin meminta belas orang, walhal kita sedia tahu bahwa tangan yang di atas adalah lebih mulia daripada tangan yang di bawah.

Tanamkan niat dalam hati kita untuk membebaskan diri kita daripada belenggu manusia dan hanya menghadap kepada rasa cinta dan belas dari Allah semata-mata. Cintailah Allah sepenuhnya dan Insya Allah hidup kita akan bahagia.