Sunday 28 August 2011

Mukmin Laksana Satu Tubuh - Saling Menyayangi dan Mencintai

Dari An-Nu’man bin Basyir, dia mengatakan: Rasulullah SAW bersabda: Engkau lihat orang-orang mukmin dalam hal saling menyayangi, saling mencintai dan saling berbelas kasihan, adalah laksana satu tubuh, jika salah satu anggotanya menderita, maka seluruh tubuh akan merasa susah untuk tidur dan demam. (HR. Bukhari-Kitab Adab).

Fakta Ilmiah:
Penyelidikan-penyelidikan moden yang intensif dan berterusan telah mengungkap fakta yang mengkagumkan mengenai interaksi antara organ-organ tubuh manusia ketika diancam bahaya seperti kecederaan atau sakit. Kajian juga menemui strategi dan tindakbalas fungsi yang diambil oleh organ-organ diseluruh tubuh setiap kali apabila salah satu organ menderita akibat cedera atau sakit, dan tindakbalas ini berbeza-beza mengikut keadaan kecederaan.

Apabila saja jangkitan atau kecederaan berlaku, pusat deria mula menghubungi pusat-pusat kawalan dan pengawasan di hipotalamus. Panggilan ini merangsang pada kelenjar pituitari untuk merembeskan hormon yang merangsang pula kepada seluruh kelenjar endokrin untuk mengeluarkan hormon mereka, yang mendesak semua organ tubuh untuk menyelamatkan organ tubuh yang terancam tersebut.

Oleh kerana itu, ia adalah suatu aduan yang nyata, dan panggilan yang benar, bukannya satu metafora. Panggilan ini bererti bahawa setiap bahagian dari tubuh menggunakan tenaga paling tinggi untuk menyelamatkan bahagian tubuh yang terancam. Jantung, contohnya, mula berdegup lebih cepat untuk membantu darah beredar dan mencapai organ yang terluka.

Pada masa yang sama, pembuluh darah di organ terluka akan menguncup, sedangkan saluran darah di bahagian tubuh yang lain mengembang untuk menghantar jumlah tenaga, oksigen, antibodi, hormon, dan asid amino yang diperlukan ke bahagian yang terluka untuk membantu melawan jangkitan atau kecederaan dan untuk menyembuhkannya dengan cepat.

Tubuh mulai menjadi lemah, akibat memecah sebahagian daripada lemak dan protein yang disimpan, bagi memberikan bantuan pada organ yang terluka. Proses ini berterusan sehingga reda proses penyelamat iaitu di saat kecederaan atau penyakit terkawal, dan tisu dan sel yang terkena jangkitan / cedera dapat disembuhkan.
Panggilan dari bahagian terluka atau dijangkiti menyerupai panggilan nyata untuk bantuan; tempat yang tercedera mengeluarkan denyutan saraf ke pusat-pusat deria dan pengawasan dari otak; malah, beberapa zat kimia dilepaskan semasa titisan pertama tumpahan darah atau ketika suatu tisu terkoyak. Kemudian, semua organ tubuh bertindakbalas untuk memberikan bantuan untuk organ yang tercedera/dijangkiti bersesuaian dengan keadaan kecederaan atau penyakit.

Aspek Ketulinan Saintifik
Apa yang disebutkan dalam hadis di atas sebenarnya berlaku, kerana semua organ tubuh memberikan isyarat kepada satu sama lain untuk menyelamatkan organ yang dijangkiti / tercedera dan umat Muslim juga harus seperti itu. Apabila suatu daerah mengalami pencerobohan, seluruh umat perlu menghubungi satu sama lain untuk datang memberi bantuan kepadanya.

Anda tidak akan dapat menemukan perkataan yang lebih tepat dari perkataan ‘Tada’a’ untuk menggambarkan kesakitan pada suatu organ, yang didalamnya terkandung aspek linguistik, retorik, dan ketulinan pada masa yang sama.

Nabi SAW memberitahu kepada kita apa yang sebenarnya berlaku di dalam tubuh manusia tanpa menggunakan sebarang perkakasan / peralatan dan menggunakan kata-kata yang fasih dan kalimat yang retorik.

Apa yang lebih mengkagumkan adalah kenyataan bahawa nama yang diberikan oleh doktor kepada sistem saraf yang berinteraksi semasa tubuh dijangkiti atau terluka adalah, saling mencintai, kasih sayang, dan belas kasihan, yang merupakan kata-kata sama yang digunakan oleh Nabi SAW di dalam hadis tersebut.

Maha Besar Allah yang telah mengutus RasulNya dengan petunjuk dan agama yang benar lagi unggul, dan Allah yang membantunya dengan mukjizat dan kefasihan.

Terjemahan Artikel: THE DISTRESS CALL WITHIN THE BODY Commission on Scientific Signs of Qur’an & Sunnah, http://www.eajaz.org/

Disalin dengan sedikit ubahsuai dari laman web, http://assabiel.com/?p=3057
Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah orang yang apabila disebutkan Allah akan gementar hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya (ayat-ayat Allah) akan bertambahlah iman mereka, dan kepada Rab (Tuhan) mereka bertawakal. ( Surah an-Anfal : Ayat 2).

Nota: informasi ini ku perolehi melalui Facebook (FB) Ku Puteri Wan, dalam Fakta – Kebenaran Islam Melampaui Sains Moden, oleh Mohd Nor Amin Zainuddin.

Ismail Abdullah, 29 Ogos 2011.

Tuesday 23 August 2011

Larangan Membuat Fitnah dan Mengumpat


Apabila ada anggota keluarga kami yang cuba membawa cerita yang berbentuk mengumpat saya akan selalu menegur, “Haa… dah mula nak buat ketupat tu…”, dan mereka semua faham yang saya maksudkan ialah mereka sudah mula nak mengumpat.

Pengertian mengumpat adalah menceritakan keburukan seseorang walaupun ianya benar. manakala, maksud memfitnah pula adalah menceritakan keburukan seseorang padahal ianya tidak benar atau bohong.

Rasulullah SAW menjelaskan mengumpat ini dalam sabda baginda yg bermaksud, “mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya” (Hadis Riwayat Muslim)

Dosa mengumpat membinasakan amal kebaikan ibarat api membakar kayu kering, Dari Jabir dan Abi Said, Rasulullah SAW bersabda: “Awaslah daripada mengumpat, kerana mengumpat itu lebih keras daripada zina. sesungguhnya seseorang terkadang ia berzina dan bertaubat. Maka diterima Allah swt akan taubatnya. Dan sesungguhnya seseorang yg mengumpat, tidak akan diampun dosanya sebelum diampuni oleh orang yang diumpatnya itu.”

Mengenai balasan bagi orang yang suka mengumpat, seperti diriwayatkan oleh Abu Daud dari Anas, Rasulullah SAW bersabda: “Pada malam aku diIsra’kan aku telah melalui suatu kaum yg mencakar-cakar muka mereka dengan kuku-kukunya sendiri, maka aku berkata: “Hai Jibril siapa mereka ini? jawab Jibril: Mereka ini adalah orang-orang yang suka mengumpat dan mereka juga suka menjaga tepi kain org”. (Abu Daud dari Anas)

Oleh kerana itu, peringatan Rasulullah SAW kepada Orang Beriman melalui Sabda Rasulullah: “Wahai orang beriman dengan lidahnya, tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip keaiban (menjaga tepi kain) mereka. Sesungguhnya, sesiapa yg mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban, dan dia akan mendedahknnya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Semoga Allah SWT memelihara kita daripada tabiat suka mengumpat dan juga menjauhkan kita daripada orang-orang yang suka mengumpat. Amin.

Manusia sangat suka menyebarkan sesuatu berita tanpa mengesahkan dulu apakah berita yang didapati itu shoheh (benar) atau tidak. Allah swt mengingatkan kita melalui FirmanNya dalam Surah Al-Hujurat, ayat 6, “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Kalau panduan ini dituruti, maka tidak perlulah Harian Kompas dari Indonesia terpaksa meminta maaf kepada Perdana Menteri Malaysia beberapa hari yang lalu mengenai berita yang mereka terbitkan. Hanya Allah swt dan orang yang melakukan sesuatu perkara itu yang tahu, yang lain hanyalah membuat andaian semata-mata. Sekiranya orang berbuat sesuatu perkara itu tidak jujur dengan perbuatannya maka dia akan mencari seribu satu alasan untuk menutup keburukannya atau juga dia akan mencari seribu satu alasan untuk menegakkan kebenarannya.

Fitnah mengikut kefahaman Bahasa Melayu adalah tuduhan yang ditujukan kepada seseorang atau lebih yang bertujuan untuk menimbulkan suasana negatif kepada sesuatu peristiwa yang dilakukan oleh pihak lain berdasarkan fakta palsu. Ia bermatlamat memburukkan atau mempengaruhi penghormatan, wibawa, atau reputasi seseorang.

Dalam ayat ini Islam menekankan kaedah lebih cermat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita yang disebarkan supaya manusia keseluruhannya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah.

Setiap Muslim wajib menghalusi setiap berita yang diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu diteliti kesahihannya.

Justeru dalam Islam, ketika berhadapan dengan sesuatu perkhabaran, kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.

Fitnah berasal daripada bahasa Arab, dan pengertian asalnya adalah "cobaan" atau "ujian". Dalam Al-Quraan dan Hadis Nabi SAW, perkataan fitnah digunakan bagi menunjukkan pelbagai makna yang berbeza-beza mengikut kefahaman ayat dan ada sesetengahnya adalah boleh dirujuk sebagaimana kefahaman masyarakat kita terhadap maksud fitnah.

Maksud dan pengertian fitnah jika diselak lebar al-Quran dan hadis adalah sebagaimana berikut:

1. Kufur atau kafir

Firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermkasud:

“Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah: “Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar; tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalangi masuk) Masjidilharam dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah . Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh…” (Al Baqarah: 217)
Firman-Nya lagi yang bermaksud:

“Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim” (Al Baqarah: 193)

Kata fitnah dalam ayat ini menurut para ulama tafsir adalah bermaksud ‘kekafiran’ atau ‘kemusyrikan’. Iaitu bahawa mereka itu menyebarkan kekafiran.

Sementara sebahagian kaum muslimin oleh karena belum dikhabarkan oleh Nabi shalallahu ‘alaihi wassalam maka mereka telah melakukan kekeliruan dengan memerangi kaum musyrik di bulan haram (bulan yang ditegah berperang). Namun dek kerana kekafiran kaum musyrik itu lebih besar bahayanya daripada kekeliruan berperang di bulan suci maka keizinan untuk memerangi kekufuran yang mulai merebak adalah dituntut.

2. Bencana

Sabda nabi Sallallhu alaihi Wasallam yang bermaksud:

“Apabila datang (meminang) kepada kamu seorang pemuda yang kamu sukai agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dia dengan anak perempuan mu. Dikhuatiri akan terjadi fitnah (bencana) dan kerosakan yang besar di muka bumi.”

Perkataan fitnah dalah hadis ini memberikan maksud bencana atau musibah yang akan berlaku sekiranya perkahwinan ditangguhkan. Ini kerana syarat pemuda soleh itu adalah sebaik-baik pilihan untuk dijadikan suami kepada anak-anak perempuan.

3. Konflik

Firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud:

“Dia-lah yang menurunkan Al Kitab (Al Qur’an) kepada kamu. Di antara (isi) nya ada ayat-ayat yang muhkamaat, itulah pokok-pokok isi Al-Qur’an dan yang lain (ayat-ayat) mu-tasyaabihaat. Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat yang mutasyaabihaat daripadanya untuk menimbulkan fitnah untuk mencari-cari ta’wilnya, padahal tidak ada yang mengetahui ta’wilnya melainkan Allah…” (Ali Imran: 7)

Terdapat sebahagian orang Islam yang hanya menggunakan semata-mata penilaian mengikut aspek rasional. Sengaja mencari penafsiran ayat melalui pendekatan logik akal manusia yang terbatas semata-mata, sehingga melencong dari tafsiran yang tepat. Tujuan mereka semata-mata menyebar fitnah, iaitu mencari konflik dan perselisihan dengan sesama muslim.

Inilah penjelasan kepada ayat ini yang dengan jelas menyebut perkataan fitnah. Ia bermaksud menimbulkan konflik dan kekeliruan dalam msyarakat. Ia juga disebut sebagai propaganda.

4. Tipu

Firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud :

“Kemudian tiadalah fitnah mereka, kecuali mengatakan: “Demi Allah, Tuhan kami, tiadalah kami mempersekutukan Allah” (Al An’am: 23)

Fitnah yang dimaksud dalam ayat ini adalah ucapan tipu dan dusta, untuk membela diri mereka di hadapan Allah. Padahal Allah mengetahui hakikat mereka, dan apa yang tersembunyi dalam hati mereka.

5. Binasa

Firman Allah Subhanahu Wata’ala: yang bermaksud:

“Di antara mereka ada orang yang berkata: “Berilah saya keizinan (tidak pergi berperang) dan janganlah kamu menjadikan saya terjerumus dalam fitnah.” Ketahuilah bahwa mereka telah terjerumus ke dalam fitnah . Dan sesungguhnya Jahannam itu benar-benar meliputi orang-orang yang kafir” (At Taubah: 49)

Dalam ayat ini kaum munafik di masa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam enggan menyertai peperangangan kerana menganggap ianya adalah suatu kebinasaan (fitnah). Padahal sesungguhnya mereka telahpun berada dalam kebinasaan dengan sifat munafik. Iaitu kebinasaan diri mereka di akhirat kelak dengan balasan neraka yang paling bawah.

6. Gangguan

Firman Allah Subhanahu Wata’ala: yang bermaksud:

“Dan di antara manusia ada orang yang berkata: “Kami beriman kepada Allah”, maka apabila ia disakiti (karena ia beriman) kepada Allah, ia menganggap fitnah (gangguan) manusia itu sebagai azab Allah . Dan sungguh jika datang pertolongan dari Tuhanmu, mereka pasti akan berkata: “Sesungguhnya kami adalah bersamamu”. Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam dada semua manusia?” (Al Ankabut: 10)

Dalam ayat ini, kata fitnah membawa maksud ganguan. Inilah sifat biasa manusia yang menganggap ujian Allah dalam bentuk gangguan manusia sebagai azab.

Pengajaran yang boleh diambil
Justeru adalah jelas perlakuan fitnah secara umumnya adalah merujuk kepada tindakan yang jahat dan berdosa. Sekalipun kefahamannya adalah berbeza-beza namun hakikatnya ia merujuk kepada perbuatan yang akan membawa manusia kepada jalan Neraka.

Persoalannya, manakah tempat kembali yang lebih dahsyat selain Neraka yang disediakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala bagi mereka yang zalim yang melakukan perilaku memfitnah sesuatu yang dusta menggunakan fakta salah dengan tujuan jahat bagi menimbulkan anggapan negatif ke atas peribadi seseorang.

Mohon dijauhi Allah Negara kita dari suburnya amalan fitnah memfitnah bagi menjatuhkan maruah seseorang. Biar apa pun tujuan satu golongan membuat fitnah terhadap golongan yang lain, amat kita harapkan amalan itu ditamatkan segera.

Bercakap benar lebih baik dan mudah dari bercakap bohong kerana setiap pembohongan akan melahirkan rentetan pembohongan yang baru bagi menutup pembohongan lama. Bersikap jujurlah terhadap segala perbuatan kita kerana akhirnya Allah akan menilai setiap perbuatan yang kita lakukan di dunia untuk mendapat balasan yang setimpal di akhirat.

Ismail Abdullah, 24 Ogos 2011.

Thursday 18 August 2011

Menyambut cucu kembar dan mencari cinta Allah


Dalam sejarah keluarga kami, inilah cucu kembar kami yang pertama. Dua-duanya lahir pada 17 Ogos 2011, ketika seluruh rakyat Indonesia menyambut hari kemerdekaan mereka. Hari keramat. Abang lahir tepat jam 3.30 petang dengan berat 2.1 kg dan si adik lahir pada 3.47 petang dengan berat 2.07 kg. Tempat lahir ialah di Hospital Putrajaya. Mereka ialah cucu ke-13 dan ke-14. Ayah dan Bonda kedua-dua kembar ini ialah anak kelima kami, Dr Abdul Jabbar Ismail dan Hani Sandrawati Musli, asal Tuaran, Kota Kinabalu, Sabah.


Jadi genaplah ketika ini cucu lelaki kami 9 orang dan cucu perempuan 5 orang. Cucu-cucu lelaki ialah Nik Badrul Munir, Iqbal, Imran, Nik Hasif, Ihsan, Amirul, dan Aizad. Ini tidak termasuk dua cucu kembar kami, Adam dan Ahmad. Sementara cucu-cucu perempuan ialah Nik Sara, Iesya, Iman, Widad dan Irdina.

Jadi, pada bulan Ramadhan 1432 bersamaan dengan tahun 2011, jumlah kami sekeluarga ialah 27 orang. Ucapan syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT dan membuat Nabi Muhammad SAW merasa bangga dengan bertambahnya ummat beliau. Aku dan isteri selalu berdoa agar Allah SWT memberikan taufik dan hidayah kepada keluarga ini dan memimpin kami untuk mendidik keluarga besar ini menjadi suatu keluarga yang bersatu padu, beriman dan bertaqwa. Amin!.

Empat belas (14) hari lagi Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-54 pada 31 Ogos 2011. Walau pun kemerdekaan Malaysia ialah hasil rundingan dengan pihak British dan Indonesia hasil perjuangan mereka secara fizikal menentang penjajahan Belanda, namun hakikat kemerdekaan kedua-dua Negara sebenarnya ialah bebas dari penjajahan pemerintahan dan juga penjajahan fikiran. Namun, apakah kita benar-benar bebas dari segi penjajahan mental dan spiritual? Ini suatu pertanyaan yang sangat besar bagi pembangunan kedua-dua Negara. Bagi kami kedua-dua Negara, Malaysia dan Indonesia ialah Negara kami. Saya berasal dari Malaysia dan isteri dari Indonesia. Bertemu dan bernikah di Bandung. Sekarang kedua-dua menjadi rakyat Malaysia tulin.

Bagaimanakah kita boleh bebas dari segi penjajahan mental dan spiritual? Kalau kita perhatikan pada masa kini penguasaan ekonomi, pendidikan, persenjataan, ketenteraan, media massa dan elektronik dan lain-lain berada di tangan non-muslim dan mereka dengan pengaruh Yahudi telah mempergunakan senjata-senjata ini untuk menindas ummat Islam di Iraq dan Afghanistan. Menggunakan senjata ini juga mengugut ummat Islam negara-negara lain untuk ikut telunjuk mereka melalui ekonomi, media masa dan persenjataan. Apakah Negara Islam tidak boleh keluar dari kemelut ini dan kembali semula kepada ketamadunan Islam zaman khalifah Ar-Rasyidin dan ilmuan Islam yang terdahulu seperti Ibnu Sina, Ibnu Rush, Al-Farabi, Al-Ghazali, Imam Syafie dan lain-lain? Jawapan melalui semangat ialah ya. Namun jawapan melalui hakikat sebenar ialah sangat berat untuk bangkit kembali secara total.

Masalah utama ummat Islam sejagat ialah ketiadaan qiyadah (kepemimpinan) yang jelas. Kesatuan negara-negara Islam “Organization of Islamic Countries (OIC)” tidak banyak memainkan peranan dalam mempersatukan ummah. Perpecahan di kalangan ummat Islam sendiri telah terjadi sejak dulu dengan ujudnya dua kelompok iaitu ahli sunnah wal jamaah dan syiah. Kedua-dua kumpulan saling berperang dan berbunuh-bunuhan seperti yang berlaku di Iraq, Iran dan Afghanistan. Perpecahan ini pula disemarakkan oleh hasutan Yahudi di mana-mana yang sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi bermusuhan dengan Islam. Kerjasama antara negara-negara Islam hanyalah berupa retorik dan rasa curiga antara satu sama lain masih menebal.

Betapa pun berat, perlahan dan meletihkan kita mesti tetap bersatu dalam satu aqidah yang sama. Sama-sama mencari ilmu dan memperbaiki diri dengan semangat untuk merdeka sepenuhnya dari penjajahan minda dan spiritual. Usaha ini nampak kecil, namun inilah yang dapat kita lakukan dengan kemampuan yang ada. Hindarkan perpecahan walau di mana kita berada. “Kasih sayanglah sesama Islam dan keraslah terhadap orang-orang kafir”, ayat 29, surah Al-Fath. Apakah kita tidak memperhatikan bahwa kebalikan daripada Surah Al-Fath, ayat 29 itu berlaku di kalangan kita? Mereka keras terhadap sesama Islam dan kasih sayang terhadap orang-orang kafir. Ajaran Islam dilempar jauh-jauh dan mereka menggunakan neraca Barat dalam kehidupan.

Marilah kita cari cinta Allah.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 19 Ogos 2011.

Tuesday 2 August 2011

Berdakwah kerana mencari cinta Allah

Sebelum solat tarawikh dijalankan pada malam pertama seorang penceramah maju ke podium dan menyampaikan tazkirah. Dalam tazkirahnya seolah-olah menyindir jamaah kerana ramai yang datang ketika solat tarawikh sehingga terpaksa solat di luar mesjid, tetapi sepi ketika solat berjamaah di luar bulan ramadhan.

Malam ketiga seorang pendakwah lain pula muncul dimembar dan mempersoalkan jamaah yang melakukan solat tarawikh hanya lapan rakaat, seharusnya mengikut pendakwah ini semuanya melakukan solat tarawikh dua puluh rakaat. Kedua-dua cara tersebut diakhiri dengan witir.

Persoalan yang ingin kita bangkit ialah cara penceramah menyampaikan dakwah atau tazkirah mereka. Pada malam pertama jamaah sudah begitu komited datang ke rumah Allah sebagai tetamu Allah, seharusnya mereka jangan disindir kerana mereka dengan ikhlas datang untuk meimarahkan mesjid di bulan yang mulia ini. Sebaiknya pendakwah berdoa agar kehadiran mereka berterusan sehingga bulan shawal dan bulan-bulan seterusnya.

Pendakwah malam ketiga pula seharusnya lebih berhati-hati kerana mereka yang solat lapan rakaat biasanya akan sambung solat malam dan witir kemudiannya di rumah masing-masing. Pendakwah mesti bersangka baik (husnul dhan) terhadap tetamu Allah dan perkara sunat jangan dianggap sebagai wajib dan memestikan semua jamaah melakukan solat tarawikh dua puluh (20) rakaat. Dengan suara yang keras dan laju beliau berkali-kali mengatakan mesti melakukan dua puluh rakaat, bukan lapan rakaat. Masing-masing kaedah mempunyai sandaran yang kuat dan kedua-duanya boleh dilakukan.

Teringat saya kepada ayat 125, surah An-Nahl berikut:

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang dapat petunjuk” (An-Nahl(16):125).

Hikmah di sini bermaksud perkataan yang tegas dan benar yang dapat membezakan antara yang hak dan yang bathil.

Domain yang ingin kita imbau kepada jamaah ialah domain afektif iaitu domain perasaan bukan domain akal, sebab semua tahu bahwa solat tarawikh, membaca Al-Quraan, dan bersedekah di bulan Ramadan itu amat dianjurkan. Cara kita mengajak berbeda dengan cara kita memerintah atau memaksa. Suara mengajak harus lembut dan sopan, sentuhlah emosi mereka bukan akal mereka ketika ini.

Jangan sekali-kali seperti kempen piliharaya kerana ini bukan medan berkempen tetapi medan berdakwah dengan uslub yang sudah digariskan Rasulallah s.a.w yang beliau lakukan mengikut sasaran dakwah, bukan hentam kromo saja dan menganggap semua jamaah mesti dipaksa melakukan sesuatu yang sunat seperti yang wajib.

Sekiranya hati-hati mereka sudah jinak dan dekat dengan mesjid, maka barulah kita boleh memberikan yang sedikit keras. Dikhuatiri mereka akan lari sebelum kita sempat berdakwah.

Kita menyeru kepada pendakwah agar lebih hikmah dalam menyampaikan material dakwah dan ajaklah jamaah dengan menyentuh perasaan mereka bukan semata-mata akal mereka.