Tuesday 27 September 2011

Kita cuma kurang semangat juang

Kali ini aku ingin bermula dengan kisah Tariq Ibnu Ziyad yang penuh dengan semangat juang yang kental. Beliau memimpin satu pasukan tentera sebesar 12,000 orang dan berhadapan dengan satu pasukan musuh yang jumlahnya 100,000 orang. Kekuatan fiziknya hanya 12 persen saja, namun kekuatan jiwa dan semangat juangnya 100 persen.
Musa Ibnu Nusair, ketua pemerintahan Islam di Afrika Utara melantik Tariq sebagai Panglima Angkatan Perang kerana sifat lengkap seorang pejuang yang luar biasa. Tariq mempunyai sifat kepahlawanan, bakat kepimpinan yang tinggi dan semangat yang kuat serta berani. Berangkatlah Tariq ke Andalusia dengan 12 kapal perang dan sepasukan tentera 12,000 orang.

Setibanya beliau di pantai Gibraltar (Jabal Tariq), Andalusia, Tariq telah memerintahkan semua kapal-kapal perang itu dibakar dan mengucapkan kata-kata semangat yang hebat, "Di belakang kita laut, di depan kita musuh. Kita terpaksa memilih kemenangan ataupun syahid. Dan kita takkan pulang sebelum mencapai matlamat itu!".
Dengan semangat juang yang padu, tentera Islam telah berjaya menakluki Andalusia dan memerintah Andalusia selama 500 tahun dengan penuh kejayaan yang gemilang.

Kisah Tariq merupakan satu di antara ribuan cerita semangat juang yang dapat kita tiupkan kepada generasi muda agar kita tetap bersemangat dalam menghadapi hidup ini. Ketika ini kita hampir punya segalanya, namun jelas kelihatan kita kekurangan semangat juang yang jitu.

Keberanian Tariq membakar semua kapal-kapal perang yang membawa mereka ke Andalusia sangat luar biasa. Rencananya Tariq hanya satu iaitu menang perang atau syahid. Kedua-duanya menang bagi Tariq. Memang jalan menuju Allah itu sepi dan hampir jarang dilalui manusia ketika ini. Mereka lebih memilih untuk mendapatkan habuan dunia daripada menyicil habuan akhirat, segala norma keadilan dilanggar demi mengumpulkan harta.

“Peduli amat dengan orang lain, yang penting aku kaya dan boleh menindas orang lain”, mungkin itu antara fikiran-fikiran bejat pelaku jenayah sosial rasuah. Tidak ada sedikit pun rasa bersalah mengambil harta orang lain melalui cara yang tidak terhormat. Egonya terlalu besar untuk ditundukkan dengan sujud kepada Allah yang Maha Besar. Makin parah jika budaya ini sudah dianggap satu norma biasa masyarakat. Perkara jahat dianggap baik dan perkara baik dianggap jahat. Sungguh keliru pemikiran begini dan jauh menyimpang dari panduan illahi. Nauzubillah.

Mungkin Falsafah Tariq Ibnu Ziyad yang dituangkan dalam ungkapan berikut boleh dijadikan panduan kita menghadapi musuh, "... seandainya pada hari ini kalian masih tetap sengsara seperti ini, tanpa adanya perubahan yang bererti, nescaya nama baik kalian pasti hilang, rasa gentar yang ada pada hati musuh pula berganti menjadi berani. Oleh itu, pertahankan jiwa kalian. "

Tariq meminta kita mempunyai jiwa yang besar, bukan jiwa yang kerdil. Jiwa yang besar akan menakutkan musuh, sementara jiwa yang kerdil akan memberi kesempatan kepada musuh meningkatkan jiwa mereka menjadi besar dan kuat. Perang psikologi ini berjalan dalam diam, namun ianya merupakan suatu senjata yang ampuh bagi menghadapi segala situasi kini. Memang ramai yang tidak menyukai jalan kebenaran dan kebaikan sebab kendalanya banyak dan berbagai. Kemiskinan sedia menanti, apalagi kehinaan turut bersamanya. Rasa rendah diri yang teramat sangat. Biar pun kita miskin dengan segalanya, namun kita tetap kaya dengan hati yang bersih dan murni.

Jalan kebenaran itu sepi, tiada kemacetan kerana tidak ada pun mobil yang mau lewat. Namun, percayalah di jalan yang sepi inilah ada kebahagiaan di penghujungnya. Kita hanya perlu sabar dan berusaha. Kita cuma kurang semangat untuk hidup bersih dan ikhlas.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 28 September 2011.

Bersikap terbuka dan positif

Kenapa manusia suka benar mengetuk pintu yang tertutup, pada hal di hadapanya banyak sekali pintu-pintu yang terbuka luas untuk diterokai. Apabila diberitahu bahwa dia tidak perlu terus mengetuk pintu yang tertutup, cubalah masuk ke mana-mana pintu yang sedang terbuka luas, dia malah kehairanan terhadap manusia-manusia yang menegurnya begitu. Mungkin dalam hatinya berbicara, “ini urusanku, bukan urusanmu…. Kenapa kamu harus peduli padaku….”. Itulah sedikit gambaran orang yang tertutup dan negatif.

Hari ini aku bertemu dengan bekas pelajarku yang berada di tahun akhir pengajiannya. Dia datang untuk menjual jubah wanita, maksudnya untuk isteriku. Pelajar puteri ini sangat rajin dalam kelas dan sering aktif bertanya dan menampakkan ciri-ciri kreatif dan keusahawanannya. Waktu cuti dua bulan yang lalu dia cuba-cuba berniaga dan dapat mengumpulkan sedikit wang sebagai tabungannya. Pelajar yang mempunyai ciri-ciri ini, insya Allah akan berhasil hidupnya nanti kerana dia bersikap terbuka dan positif. Setiap waktu dipergunakan sebaik mungkin dengan mendidik jiwanya berniaga, berhadapan dengan manusia lain dengan sikap terbuka dan berani. Ada matlamat dalam hidupnya.

Dalam hidup ini hanya ada sekitar 10% perkara yang berada di luar kawalan kita, sementara 90% lagi dapat kita kawal. Kita tidak boleh memilih ayah dan ibu kita. Kita tidak boleh memilih untuk lahir sebagai bangsa apa, dan tidak boleh memilih untuk mati di mana dan bila masanya. Itu dinamakan takdir dan ditentukan oleh Allah. Hampir 90% kejadian lain berlaku atas pilihan kita sendiri.

Apabila kita dihadapkan dengan sesuatu keadaan, kitalah yang menentukan pilihannya. Ketika kita bersekolah, kita boleh memilih untuk tidak belajar, tetapi kenapa kita memilih untuk belajar? Ini kerana kita tahu dengan belajar dan mendapat gred yang baik akan mendapat pekerjaan yang baik dan mendapat kedudukan yang terhormat dan sebagainya ganjaran manis yang menanti kita akhirnya. Pada persimpangan itu kita yang menentukan. Sikap positif kita yang menentukan pilihan kita. Sikap terbuka kita yang membuat kita memilih kebaikan daripada keburukan. Naluri kita mengilhamkan hal-hal yang positif dan suci, dan mengarahkan kita membuat pilihan yang tepat.

Kenapa Nabi Muhammad SAW menyarankan kita untuk berniaga dan menyatakan 90% sumber rezeki ialah daripada perniagaan. Rupanya Nabi menyiapkan sebuah idea yang jauh menjangkau zaman, bisnes masa kini sudah tidak memerlukan premis lagi. Bisnes masa kini memerlukan kita bersikap positif dan terbuka. Bisnes akan terjadi apabila ada permintaan (demand) dan penawaran (supply) dan ianya boleh berlaku di mana-mana dan bila-bila masa saja. Ini memenuhi fardhu kifayah ummah. Bilamana ada yang memerlukan sesuatu dan ada yang boleh menyediakan keperluan itu, maka berlaku tukar menukar khidmat dengan suatu nilai tertentu. Itu adalah asas kepada bisnes. Kejadian ini sangat memerlukan sikap terbuka dan positif. Berani menyatakan keperluan dan berani pula membuat penawaran.

Pelajar saya di atas sudah menampakkan ciri keterbukaan dan ciri positif. Terbuka kerana dia tidak malu berniaga walau pun dalam masa enam bulan lagi dia akan bergelar graduan. Beliau bersikap positif dalam menghadapi hidup ini. Tidak memilih pekerjaan, asalkan pekerjaan itu halal dan mendatangkan rezeki kepadanya. Kita mesti mempersiapkan mahasiswa yang berani menghadapi cabaran walau sebesar mana sekali pun cabaran itu, kerana setiap cabaran akan mematangkan pribadi seseorang. Pelajar saya tadi ingin membuka sebuah perniagaan sendiri dan menjadi boss dalam syarikatnya. Suatu cita-cita yang sungguh murni dan saya sungguh bangga dengan pelajar yang begini.

Saya ingin meluruskan kembali tujuan hidup seorang muslim sebagai segala daya usaha bagi merebut ridha Allah. Sebagai manusia kita dituntut untuk berusaha, bukan menentukan sesuatu kejadian berlaku. Atas segala usaha kita, jika Allah menghendaki maka kita akan perolehi apa yang kita hajati. Jika kita terus mengetuk pintu yang tertutup, dan kita pasti tidak ada sesiapa pun yang akan membukanya, maka kita telah melakukan pekerjaan yang sia-sia. Allah yang Maha Pencipta tahu bila Dia akan mengabulkan permohonan makhlukNya, bila Dia akan menangguhkan permohonan makhlukNya dan bila Dia akan menolak permohonan makhlukNya. Semuanya akan terserah kepada izin Allah semata-mata. Kenapa ada manusia yang begitu berani mengambil peranan Allah dalam menentukan sesuatu kejadian? Sehingga sanggup membunuh jika kemahuannya tidak dipenuhi, sanggup mencuri, merasuah, menyalahguna kuasa dan sebagainya jika kemahuannya tidak tercapai. Begitu bejat moral sebahagian manusia yang durjana itu. Mereka mendidik jiwa mereka menjadi jahat dan akhirnya merosakkan masyarakat kerana tindakan mereka itu.

Bergeraklah kepada pintu-pintu rezeki dan kesempatan yang terbuka luas. Kita hanya memerlukan usaha yang gigih dan sikap pasrah sepenuhnya. Berperananlah sebagai pengusaha bukan pencipta kejadian. Manusia tetap harus berusaha dan yang menentukan setiap kejadian itu berlaku hanya wewenang Allah semata-mata.

Marilah kita bersikap terbuka dan positif menghadapi hidup ini.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 28 September 2011.

Antara Jiwa, Roh dan Jasad


Semalam aku begitu bersemangat sekali untuk habis membaca buku, “Penerokaan Roh ke Alam Ghaib”. Setelah ku belek-belek buku karangan Amiruddin Faatih yang setebal 184 halaman itu dan cuba mengenali siapakah pengarang ini, aku tidak mendapatinya dalam buku itu. Penerbitnya Al-Hidayah yang menerbitkan buku itu pada tahun 2008, tidak memperkenalkan pengarangnya seperti biasa. Apabila di”google”kan pun tidak ada maklumat mengenai pengarang ini. Daripada 184 mukasurat, pembahasan mengenai roh hanyalah 36 mukasurat atau hanya 20% sahaja buku yang bertajuk demikian membahaskan mengenai tajuk roh yang tertera pada kulit buku tersebut. Betapa aku terkeliru dengan tajuk buku itu, kerana mengambil sikap “judging the book by the cover”.

Aku pun tidak tahu kenapa aku teringin sangat untuk mendapatkan bahan mengenai roh dan sifat-sifatnya walau pun tahu mengenai ayat 85, Surah Al-Isra, “Roh itu termasuk urusan Tuhanku dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit”. Berdasarkan maklumat yang tertulis di dalam 36 mukasurat buku itu, aku membuat kesimpulan bahwa terdapat satu rantaian yang bermula dari jiwa (nafs), kemudian ke roh dan akhir sekali ke sir.

Jiwa yang dididik secara Islamik akan bertukar peranan menjadi roh yang menuju kesempurnaan dan akhirnya menjelma menjadi sir (rahsia Tuhan). Jika roh itu dididik melalui cara syaitan, maka roh akan menjadi tersangat kotor dan tidak diterima sebagai sir oleh Allah s.w.t. Perbahasan mengenai mana yang dulu ujud antara roh dan jasad. Juga mengenai proses peniupan roh dalam janin bayi, apa akan jadi selepas roh berpisah dari badan, di mana roh itu tersimpan selepas kematian insan, tidak perlu kita bahaskan kerana kita tidak pasti arah tujuan pembahasan yang sedemikian.

Sesuatu yang pasti ialah kita perlu mendidik jiwa kita menjadi roh yang suci dan dapat menjadi sir dan diterima oleh Allah s.w.t. apabila tiba masanya roh itu dipanggil kembali oleh pemiliknya. Jelas sekali bahwa manusia dan jin diciptakan oleh Allah untuk beribadah kepadaNya. Ibadah dalam erti kata yang luas meminta kita untuk terus berurusan dalam setiap aktiviti harian dengan niat yang ikhlas kerana Allah semata-mata dan semuanya akan bernilai ibadah.

Sementara jiwa masih berada dalam jasad manusia, maka selama itu jiwa memerlukan makanan bagi menyuburkan jiwa tersebut. Makanan kerohanian yang berupa zikir dan fikir mengenai ciptaan Allah sangat diperlukan bagi memurnikan jiwa dan membelainya menjadi jiwa yang mutmainnah. Hanya jiwa merdeka dan bebas dari belenggu pemikiran sempit dapat bertindak sesuai dengan fitrah penciptaan jiwa itu sendiri. Apabila jiwa sudah penuh terdidik, maka akan terjelmalah roh yang suci, membantu manusia yang ditumpangi roh itu ke jalan yang benar dan diredhai Allah.

Roh akan menjadi kuasa pendorong manusia ke arah mencari ridha Allah semata-mata. Matlamat hidup hanyalah satu iaitu beribadah kepada Allah, perkara-perkara lain akan menjadi perkara sampingan. Berdialoglah dengan diri sendiri dan bertanya apakah yang aku lakukan sekarang ini menjurus kepada ridha Allah? Sekiranya tidak bersegeralah membetulkan arah dan kembalilah kepada jalanNya yang sangat jelas.

Akhirnya fahamlah aku kenapa Allah mengatakan roh ialah urusanNya dan manusia tidak diberikan pengetahuan kecuali sedikit. Otak manusia tidak akan mampu berfikir sedalam itu untuk memahami hakikat sebenarnya roh. Cukup kita memikirkan tentang penciptaan Allah dalam posisi apa pun, kerana mudah untuk kita memikirkan perkara yang jelas dan menambahkan keyakinan tentang kewujudan Maha Pencipta. Melalui akal kita dapat memikirkan tentang hakikat kehidupan dan segala liku-likunya dan juga memikirkan hakikat kematian dengan segala keseramannya.

Mendekati Allah lebih mententeramkan hati kita …..

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 28 September 2011.

Friday 9 September 2011

Bersikap positif dalam hidup


Bila usia semakin lanjut manusia diharapkan menjadi lebih matang. Sikap semestinya sudah berubah dari yang buruk kepada yang lebih baik. Tujuan hidup seharusnya semakin jelas dan focus. Lebih tenang dan waras dalam menghadapi setiap situasi. Lebih banyak berfikir dari bertindak. Lebih sabar dan pemaaf bila menghadapi sesuatu keadaan. Tidak terburu-buru, apalagi sembrono.

Sebuah tindakan bukan lahir begitu saja. Tindakan itu lahir dari dorongan dalaman diri. Mustahil orang berumur melebihi 40 tahun bertindak tanpa sedar. Mesti ada sesuatu factor dalaman yang mendorong dia bertindak. Mesti ada suatu keperluan sehingga dia bertindak. Dalam bahasa mudah, tindakan seseorang berlaku kerana ada sesuatu motif tertentu. Kalau bertindak tanpa motif, dia boleh dianggap sebagai seorang gila dan orang gila bebas dari segala hukuman dan norma masyarakat. Tempatnya pun akan ditentukan oleh pihak yang berwajib supaya tidak menggangu orang-orang normal.

Kita perlu ingat hanya 10% daripada apa yang berlaku dalam kehidupan kita sudah ditentukan oleh Allah sebagai takdir. Tidak boleh diubah seperti hidup, mati, rezeki, ibu dan bapa dan sebagainya. Ada 90% lagi, walaupun sudah tertulis di Loh Mahfudz, namun atas kekuatan doa, Allah masih memberikan kelonggaran untuk berlaku atau tidak berlaku. Di sini ada pilihan diberikan oleh Allah kepada makhlukNya. Melalui akal waras yang Allah berikan kepada kita, kita dapat membuat pilihan yang tepat.

Sebagai contoh mudah dalam facebook (FB) ini. Katakan anda sudah memberi salam kepada seseorang teman FB berpuluh-puluh kali dan tidak dijawab. Pada ketika ini anda ada beberapa pilihan. Pertama, jengkel atau marah, kenapalah si Mamat ni? Salam aku tak dijawab. Keluarlah berbagai tuduhan. Sombong. Ego. Dan berbagai lagi. Kedua, anda boleh mengatakan kepada diri sendiri, mungkin dia sangat sibuk, atau hanya computer saja terpasang tapi orangnya entah ke mana? Dan lain-lain respon pilihan anda.

Setiap kali anda merasa marah atau jengkel, anda sebenarnya menambah satu titik hitam dalam hati anda dan semakin hari semakin banyak anda marah atau merasa jengkel, kenyataan sebenarnya ialah anda akan memenuhi hati, jiwa dan sanubari anda dengan jelaga hitam yang makin lama akan makin menebal. Rosak jiwa anda nanti dan sangat sukar untuk disembuhkan.

Paling baik ialah anda bersikap positif dalam hidup ini. Setiap kali anda bersikap positif, memaafkan, sabar, kasih saying kepada manusia lain, anda sebenarnya sedang membersihkan jiwa, hati, sanubari anda dari noda-noda hitam yang pernah lahir pada hati anda. Lebih baik bersih dari kotor.

Oleh kerana itu hadapilah setiap yang berlaku dalam hidup ini dengan sikap positif. Jika anda bertemu dengan situasi apa saja yang negative, jadikan ianya positif dengan memaafkan segala keadaan itu. Gunakan fungsi mutlak (absolute function) dalam mata pelajaran kalkulus yang anda pelajari.

Bersikap positif ialah suatu sikap yang sangat terpuji dan ianya membersihkan jiwa kita, kerana jiwa inilah yang akan bertemu dengan Allah apabila kita dipanggilNya kelak. Kalau jiwa kita kotor bagaimana Allah akan menerima jiwa yang kotor, pada hal semasa Allah menitipkan jiwa itu kepada kita ketika lahir ianya bersih, suci dan tiada noda setitik pun. Selama hidup kita telah mengotorinya dengan berbagai sifat tercela dan hina.

Marilah kita mendidik jiwa menjadi bersih dengan zikir dan fikir.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 10 September 2011.

Tuesday 6 September 2011

Saat menjelang kematian


Tersebut dalam suatu kisah bahwa Nabi Idris AS pernah didatangi malaikat Izrail yang ketika itu hendak “meminta izin” mengambil nyawanya. Beliaupun mempersilakan untuk dilepaskan nyawanya namun setelah itu dihidupkan kembali dengan izin Allah.
Apabila ditanya bagaimana rasanya (sekarat), beliau menjawab sesungguhnya sekaratul maut itu rasanya seperti disayat seratus pedang yang paling tajam di dunia.

Dalam kisah yang lain, tersebut dalam kitab Ihya Ulumuddin, karangan Imam Al-Ghazali, Nabi Muhammad SAW mengisahkan bahwa Nabi Ibrahim AS pun pernah didatangi oleh malaikat Izrail. Beliau diberi kesempatan untuk melihat bagaimana malaikat Izrail mengambil nyawa orang mukmin dan bagaimana Izrail mencabut nyawa orang kafir dan munafiqin.

Rasulullah SAW itu sangat bahagia melihat bagaimana malaikat maut berubah wajah menjadi pemuda tampan, berpakaian indah, harum baunya hingga orang mukmin yang hendak melepaskan nyawanya merasa sangat riang. Tetapi manakala Izrail akan mencabut nyawa orang-orang yang durhaka maka ia berubah menjadi makhluk yang hitam legam, berbulu dan mengeluarkan bau yang sangat busuk dari tubuhnya, pakaiannya serba hitam dan dari mulut serta lubang hidungnya keluar lidah api dan asap. Melihat kejadian itu Nabi Ibrahim pingsan. Setelah sedar beliau berkata, “Andai kata orang-orang kafir dan para pendurhaka itu tidak menerima siksa yang lain kiranya sudah cukuplah bagi mereka melihat bentuk dan rupa tadi.” Kisah ini diriwayatkan oleh Ibnu Abbas.

Tanda-tanda kematian seseorang boleh menjadi petunjuk mengenai baik buruknya kehidupan seseorang dialam akhiratnya. Ada beberapa pertanda yang boleh diamati ketika menjelang kematian seseorang, Rasulullah bersabda: “Tunggulah mayat saat menjelang kematiannya. Jika kedua matanya memancar, dahinya berkeringat, jalan nafasnya turun naik maka disitulah rahmat Allah turun kepadanya. Jika ia telah mendengkur seperti dengkuran anak onta serta warna (limpanya) telah beku dan mulutnya mengeluarkan buih, maka azab Allah telah turun kepadanya.” (HR. Hakim dan Tirmidzi)

Begitu pula, saat ruh Nabi Ibrahim dan Nabi Musa telah sampai di hadapan Allah SWT, Dia bertanya kepada keduanya tentang kesan-kesan saat dilepaskan nyawanya. Nabi Ibrahim AS mengatakan seperti terkena besi pembakar yang diletakan dalam buku yang basah kemudian ditarik. Sedangkan Nabi Musa AS mengatakan seolah-olah seperti kambing hidup yang dibuang kulit oleh tangan pemotong haiwan. Nabi Muhammad SAW pun merasakan betapa pedihnya sakaratul maut itu. Beliaupun bahkan meminta pertolongan secara khusus kepada Allah karena demikian sakitnya sakaratul maut itu. Beliau pun bahkan meminta pertolongan secara khusus kepada Allah karena demikian sakitnya sakaratul maut itu. Disebutkan dalam hadits Ummul mukminin, ‘Aisyah ra berkata: “Aku melihat Rasulullah SAW saat akan wafat, disampingnya ada bekas berisi air. Beliau memasukkan tangannya ke dalam bekas itu lalu diusapkannya ke wajah beliau seraya berdoa:

“Allaohumma a’innii ‘alaa sakarootil-mauuti”, “Ya Allah, tolonglah daku dari sakaratul maut ini” (HR. Ahmad, Nasa’i, Ibnu Majah, dan Tirmidzi).

Nabi dan Rasulullah diutus ke dunia untuk menjadi uswah hasanah (contoh yang baik). Beliau mengajarkan kepada kita tentang proses kematian yang teramat menyakitkan. Jadi, jika utusan Allah saja merasakan demikian beratnya proses menjelang kematian maka apalagi kita yang hampir dalam setiap gerak dan langkah tak lepas dari salah dan silap.

Kisah-kisah ini dikemukakan sebagai peringatan kepada penulis dan pembaca sekalian agar kita segera memohon ampun atas segala kesalahan dan kealpaan kita selama ini. Segera bertaubat nasuha dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan terkutuk masa lalu. Mohon Allah ampunkan segala dosa-dosa kita dan mohon memberikan kita taufik dan hidayah agar hidup kita di akhirat nanti bahagia.

Segera bermuhasabah diri, memperbaiki segala kekurangan dan menambah amal soleh semampu yang boleh. Kalau selama ini kita selalu bertangguh untuk berbuat baik, maka kesempatan hidup yang masih Allah berikan ini dapat kita segera pergunakan untuk kebaikan kepada jalan Allah dan kebaikan kepada manusia lain.

Hidup dan mati kita hanyalah kerana Allah dan cinta Allah yang kita cari.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 7 September 2011.

Saturday 3 September 2011

Pengertian Jihad di Jalan Allah

Pada mulanya ketika saya ingin menulis tajuk ini saya ingin menukar perkataan “jihad” kepada perkataan lain yang lebih ringan, namun setelah memikirkan semula tidak ada perkataan lain yang akan membawa makna yang sama dengan apa yang ingin saya utarakan.

Saya merasa sedih kerana perkataan yang begitu indah telah disalahertikan. Ianya menjadi satu perkataan yang ditakuti di kalangan pengkaji Barat, malah orang Islam sendiri cuba menghindari penggunaan perkataan itu. Propaganda Barat telah menggunakan istilah ini untuk menzalimi Islam dan ummatnya melalui media-media yang mereka kuasai.

Begitu hebatnya perkataan itu sehingga Allah SWT sendiri menyebutnya banyak kali dalam Al-Quraan dan salah satunya dalam Surah Ash-Shaf (61), ayat 10-11 dengan mengatakannya sebagai suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kita dari azab yang pedih;

“Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui” (Ash-Shaf, 10-11).

Abul A’laAl-Maududi, Hasan Al-Banna dan Sayid Qutb pernah menulis sebuah buku berjudul, “Al-Jihadu Fi Sabilillah” dan telah menggariskan dengan jelas makna dan pengertian jihad di jalan Allah.

Saya memilih untuk mendalami tajuk ini kerana pada akhir-akhir ini seperti sudah ada suatu kelesuan di kalangan ummat Islam dan seolah-olah sudah hilang arah mengenai apa yang utama (aulawiyyat) dan yang tidak utama. Contohnya membakar mercun di malam raya yang sepatutnya kita bertakbir pada ketika itu, dan ratusan contoh lain yang dilakukan oleh ummat Islam yang bukan keutamaan. Hal ini sangat penting sehingga Prof Yusof Al-Qaradhawi menerbitkan suatu bidang ilmu yang beliau namakan sebagai “Fekah Keutamaan” (Fiqh Aulawiyyat) sebagai panduan ummat Islam mengetahui mana yang utama dan mana yang tidak utama.

Hal ini kalau tidak disentuh berkali-kali mungkin ummat Islam akan terbawa arus kelalaian dan akhirnya menyatakan semuanya sama saja yang akan menjurus kepada fahaman yang sangat berbahaya iaitu senkretisma (menyamakan semua agama atau kefahaman). Al-Quraan sudah dengan jelas menyatakan bahwa agama di sisi Allah hanyalah Islam (Ali-Imran, 19), tidak ada yang lain dan siapa yang mengambil agama lain Allah tidak akan terima (Ali-Imran, 85). Kedatangan Islam sekaligus menghapuskan semua agama lain pada hakikatnya, namun kerana kedegilan manusia mereka tidak menerima hakikat ini.

Perkataan jihad berasal dari Bahasa Arab, “jahada” yang bermakna berusaha bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan sehingga mencapai matlamat yang ditetapkan. Melawan segala rintangan yang menghalang tercapainya tujuan itu adalah juga termasuk jihad. Peyebaran Islam ke seluruh dunia bertujuan agar semua manusia menjadi selamat, taat dan taqwa kepada Allah yang satu. Misi penting ini seperti yang dipikul oleh Nabi Muhammad SAW perlu mendapat dokongan dan sokongan yang padu dari ummat Islam yang lain agar dunia ini selamat.

Barat memutarbelitkan pengertian jihad dan menggambarkan bahwa jihad hanya tertumpu kepada perang dan keganasan. Jarum fitnah mereka ini merasuk ummat Islam yang tidak faham tentang pengertian jihad yang sebenar dan menjadi tugas ummat Islam yang faham tentang ini untuk memperbetulkan konsep jihad dalam Islam dan apakah pengertian jihad di jalan Allah. Peperangan berlaku kerana mempertahankan diri (defensive) dan Islam bukan bersifat ofensif (offensive). Hal ini jelas dalam setiap peperangan yang berlaku pada zaman Nabi, yang bersifat mempertahankan diri dalam misi Nabi menyebarkan dakwah Islam.

Kenapa ummat Islam takut berjihad? Jawapannya telah diberikan oleh Rasulullah SAW bahwa ummat Islam, “Cinta dunia dan takut mati”. Sangat jelas dan tepat. Manusia cinta dunia seolah-olah dia akan hidup selama-lamanya, pada hal hakikatnya mereka pun tahu bahwa kematian itu akan berlaku pada bila-bila masa. Itu hakikat kebenaran dari Allah. Manusia yang hidup pun menyaksikan kematian demi kematian dari keluarga terdekat hinggalah kepada orang yang tidak dikenali. Apakah kita masih tidak percaya bahwa kematian itu akan datang? Apakah mereka tidak terpengaruh dengan “seeing is believing?”. Mustahil sekali mereka tidak sedar bahwa kematian itu akan hadir pada bila-bila masa dan dunia akan ditinggalkan apabila kematian datang.

Jawapan yang sangat pasti ialah hawa nafsu masih bermaharajalela (menguasai) dalam diri setiap manusia sehingga mereka buta kepada kenyataan yang hadir dalam hidup mereka. Cinta dunia sudah dianggap sebagai penyakit yang sangat sukar diubati. Ianya menjadi punca kepada rasuah dan salah guna kuasa yang berleluasa. Mengumpulkan harta secara tidak halal untuk membiayai tujuh atau lebih keturunan. Islam menyarankan kita menderma, berzakat, berinfak dan lain-lain kepada tujuan kebaikan dan berkongsi rezeki agar tidak timbul keresahan dalam masyarakat dan semua dapat hidup dalam aman dan tenteram.

Saya sungguh berharap agar setiap ummat Islam bermula dari pemudanya, dewasanya, orang tuanya dan segala lapisan masyarakat Islam untuk kembali kepada pengertian jihad yang sebenarnya. Mengkaji kembali sejarah perjuangan para Nabi, tulisan para mujtahid, kupasan para ulama dan keilmuan Islam zaman kegemilangan Islam agar kita dapat berjihad dalam segala lapangan demi memajukan ummat Islam. Memahami pengertian sebenar jihad pun memerlukan suatu jihad dalam diri masing-masing untuk terus mengkaji Islam dari sumber yang tepat iaitu Al-Quraan dan Al-hadith yang jika kita berpandu kepadanya tidak akan sesat selama-lamanya.

Marilah kita mencari cinta Allah, bukannya cinta manusia. Cinta Allah akan kekal selama-lamanya dan cinta manusia hanyalah sebuah fatamorgana yang akan hilang apabila kita memerlukannya. Cintailah Allah kerana Allah akan sentiasa mencintai kita bila-bila masa pun.

Wallahu a’lam.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 4 September 2011.

Friday 2 September 2011

Siapakah orang yang bijak

Menurut Ibnu Sina, orang bijak ialah orang yang bersifat zuhud, abid dan arif. Zuhud ialah mengasingkan diri dari kemewahan dunia, abid ialah tekun melakukan perkara-perkara ibadah kepada Allah dan arif ialah menggunakan kekuatan logik dalam menyingkap halangan-halangan kebenaran bagi mencapai hakikat.

Zuhud jangan disalahertikan dengan membuang dunia tetapi lebih kepada sikap yang dunia atau harta benda tidak mempengaruhi kehidupannya. Mereka menggunakan harta untuk mencari pahala dengan bersedekah dan sebagainya. Melalui harta mereka mencari ilmu kerana ilmu menjaga kita tetapi harta kita yang jaga dia. Itu beza antara ilmu dan harta.

Abid pula ialah ahli ibadah yang meletakkan seluruh hidupnya kerana Allah, setiap apa yang dia lakukan baik ritual (ibadah khusus) atau kerja-kerja harian kalau diniatkan kerana mencari redha Allah, maka ianya menjadi ibadah. Hubungan yang tersangat kuat dengan Allah dan yang sangat penyayang sesama manusia.

Arif dalam tindakan dan pandangan, selalu menggunakan akal logik dan rasional dalam menghadapi hidup dan kehidupannya. Tidak terbawa-bawa atau terpengaruh dengan suasana jahiliah. Bertindak atas dasar kebenaran kerana kebenaran itu berasal dari Allah dan berpandukan Al-Qur’aan dan Al-Hadith yang shoheh.

Lawan kepada orang bijak ialah orang bodoh. Ciri-ciri orang bodoh disebut dalam ayat 22, Surah Al-Anfaal;

“Sesungguhnya binatang (machluk) yang seburuk-buruknya pada sisi Allah ialah orang-orang yang pekak dan tuli yang tidak mengerti apa-apa pun”.


Secara jelasnya manusia yang paling buruk di sisi Allah ialah manusia yang tidak mahu mendengar, menuturkan dan memahami kebenaran. Mereka menutup mata dan telinga mereka terhadap fakta yang jelas berada di hadapan mereka.

Bodoh adalah salah satu penyakit hati yang sangat merbahaya dan sangat menakutkan akibatnya. Tetapi selalunya dan kebanyakan penderita penyakit ini tidak merasa kalau dirinya sedang terjangkit penyakit berbahaya ini. Oleh sebab penyakit bodoh inilah muncul penyakit-penyakit hati yang lain seperti iri, dengki, riya, sombong, ujub (membanggakan diri) dan lainnya.

Karena kebodohan ini adalah sumber segala penyakit hati dan sumber segala kejahatan. Kebodohan ini penyakit hati yang berbahaya lebih dahsyat dibanding penyakit badan. Karena puncak dari penyakit badan berakhir dengan kematian, adapun penyakit hati akan menjadikan penderitanya kepada kesengsaraan dan kebinasaan yang kekal. Manusia yang terkena penyakit ini hidupnya hina dan sengsara di dunia dan juga di akhirat.

Allah SWT banyak menyebutkan dalam Al-Quran tentang tercelanya dan hinanya serta balasan dan akibat bagi orang-orang yang bodoh yang tidak mahu tahu tentang ilmu agama di dunia dan akhirat. Diantaranya Allah menyatakan dalam surat Al-Furqon, ayat 44, “Apakah kamu mengira bahwa kebanyakan mereka itu mendengar dan memahami (kebenaran)?. Mereka itu tidak lain hanyalah seperti binatang ternak malah lebih sesat jalannya (dari binatang ternak itu)”.

Jadi, apakah sikap kita terhadap orang-orang yang tidak menerima kebenaran ini atau dalam kata lain, sikap kita terhadap orang-orang bodoh? Panduan dalam Al-Furqon, ayat 63 adalah sangat jelas;

“Dan (hamba-hamba yang baik dari Tuhan) Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka (dengan kata-kata yang tidak sopan), mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan”.

Orang-orang yang bijak ialah orang-orang yang faham bahwa setiap kehidupan akan akhirnya menemui kematian, tidak guna harta yang dikumpulkan itu jika harta itu akan membawa dosa ketika kembali kepada Allah nanti. Harta yang kita sedekahkan itulah yang akan menjadi modal kita diakhirat nanti. Menjadi pahala yang mendapat laba yang berterusan. Mereka yang ditinggalkan, bekalkan dengan ilmu kerana ilmu akan menjaga mereka, jika dibekalkan dengan harta, ianya akan menjadi masaalah kerana manusia sanggup berbunuh-bunuhan kerana harta yang sedikit. Merenggangkan tali silaturahim antara keluarga kerana harta, namun jika harta itu boleh dimanfaatkan oleh pihak yang memerlukan seperti anak-anak yatim, orang-orang miskin dan sebagainya, pahala buat kita akan mengalir seperti sungai yang tidak pernah kering.

Sama-samalah kita berdoa agar Allah memasukkan kita ke dalam golongan orang-orang yang bijak dan dijauhi Allah daripada golongan orang-orang yang bodoh yang buta dan tuli terhadap kebenaran Allah.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 3 September 2011.

Thursday 1 September 2011

Persediaan faktor utama kejayaan

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim diceritakan, semasa Nabi Muhammad SAW masih lagi kecil baginda telah didatangi oleh malaikat Jibrail. Ketika itu baginda sedang bermain dengan beberapa orang kanak-kanak yang sebaya dengannya.

Maka malaikat Jibrail pun memeluk Nabi Muhammad SAW dari belakang lalu membaringkannya. Kemudian malaikat Jibrail pun membelah dadanya dan mengeluarkan segumpal darah seraya berkata; "Inilah bahagian syaitan yang ada dalam dirimu."

Kemudian malaikat Jibrail pun membersihkannya dengan air zam zam di dalam piring emas. Setelah itu malaikat Jibrail pun memasukkannya semula ke tempat asalnya.

Peristiwa itu berlaku dengan disaksikan oleh kanak-kanak yang bermain dengannya tadi. Kemudian kanak-kanak itu berlari mendapatkan ibu susuan Nabi Muhammad, Halimatus Saadiah sambil berkata; "Muhammad telah dibunuh."

Maka dengan perasaan sedih mereka pun berlari mendapatkan Nabi Muhammad yang dikatakan telah mati dibunuh itu. Menurut Anas, beliau kerap ternampak bekas jahitan itu pada dada Rasulullah SAW.

Peristiwa yang sama berulang kembali 50 tahun kemudiannya apabila Rasulullah akan diperjalankan pada waktu malam dari Mekah ke Baitul Maqdis dan seterusnya ke Sidratul Muntaha dalam peristiwa yang sangat terkenal Isra’ dan Mi’raj.

Nabi Muhammad SAW diberikan bekalan persediaan yang mantap oleh Allah di dalam hatinya agar mampu menghadapi gelora perjuangan pada zamannya. Lalu, Allah setiap masa selepas itu membimbingnya ke arah perjuangan Islam yang syumul.

Nabi Musa pun mendapat bimbingan dari Allah SWT (Surah Toha: 10 – 32), ketika akan berhadapan dengan Fir’aun. Allah memberikan Nabi Musa seorang pembantu bernama Harun yang akan membantu urusannya.

Begitulah Allah menyiapkan Nabi Muhammad SAW dan Nabi Musa AS bagi menghadapi tentangan pada zaman masing-masing. Ini menunjukkan betapa pentingnya persediaan yang rapi dalam menghadapi rintangan perjuangan yang suci.

Sesungguhnya pada diri manusia itu ada ruh dan jasad, tarbiyatul ruhiyyah sangatlah penting tanpa mengurangkan tarbiyatul jasadiyah. Tarbiyatul ruhiyyah sangat dipentingkan kerana dengan jiwa yang mantap, cekal dan istiqomah setiap perjuangan akan berjaya. Mengenai Tarbiyatul Ruhiyyah, Imam Al-Ghazali banyak menyentuh tentangnya dan Prof Yusof Al-Qaradhawi pula banyak membicarakan tentang Tarbiyatul Aulad (Pendidikan Kanak-Kanak) yang menjadi pangkal mula pendidikan sejak kecil dan diteruskan dengan pendidikan jiwa apabila dewasa kelak. Contoh pemuda yang kuat imam mereka seperti dikisahkan dalam Surah Al-Kahfi patut dijadikan panduan bagi pemuda zaman kini.

Apakah kita telah melakukan persiapan yang rapi mengenai pendidikan generasi muda yang akan memikul tanggungjawab generasi tua yang akan hilang dari pentas perjuangan menegakkan kebenaran sebentar lagi? Suatu persoalan yang perlu sentiasa berada dalam pemikiran para pejuang agama Islam.

Atas perintah Allah, malaikat membersihkan hati Nabi kita Muhammad SAW dengan air zam zam membawa makna bahwa segala persoalan bermula dari hati. Hadith yang utama yang berada dalam koleksi hadith 40 juga meletakkan masalah niat sebagai tajuk pertama dibincangkan. Ini dengan jelas menunjukkan bahwa hati yang bersarang niat yang ikhlas di dalamnya menjadi pokok utama perjuangan yang berjaya. Ramadhan diharapkan telah melatih diri kita menjadi manusia yang ikhlas dan perjuangan dan tugas harian. Sesuatu amal itu hanya dibuat kerana Allah sahaja, bukan kerana yang lain.

Kita hanya mencari cinta Allah dengan keredhaanNya. Kita tidak mencari redha manusia, biarpun dia seorang boss kerana kebenaran hanya dari Allah dan kita mesti ingat bahwa yang memberikan rezeki ialah Allah bukan boss kita, walaupun melaluinya kita mendapat rezeki. Tanpa boss pun kalau Allah ingin memberikan rezeki, rezki itu tetap akan hadir dalam hidup kita.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 2 September 2011.