Tuesday 11 October 2011

Ummat Islam digasak melalui 5F

Kini Ummat Islam digasak hebat oleh serangkaian 5F oleh musuh yang nyata dan musuh yang dalam selimut, iaitu Ummat Islam sendiri. Jika kita tidak waspada dikhuatiri kita kecundangan melalui ummat Islam sendiri, sekaligus membantu musuh Islam memusnahkan Islam. Berhati-hatilah.

F yang pertama ialah “Food”. Ummat Islam terjebak dalam menentukan status halal atau haram makanan yang dimakan. Banyak pihak yang bukan Islam cuba menipu dengan meletakkan logo halal pada premis mereka dan kalau kita tidak berhati-hati akan mudah terjebak dalam perangkap ini. Kadang-kadang mereka meletakkan orang-orang Islam pada barisan hadapan kedai-kedai mereka bagi mengelabui masyarkat Islam tentang makanan yang mereka hidangkan. Makanan merupakan unsur penting dalam pertumbuhan manusia dan makanan yang haram akan melahirkan ruh-ruh yang akan durhaka kepada Allah s.w.t.

F yang kedua ialah “Fun” iaitu hiburan. Masyarakat Islam dilalaikan dengan rentetan hiburan yang berbagai bentuk. Ada yang berbentuk “concert”, akademi nyanyian dan program reality yang kadangkala melanggar adab sopan orang-orang Melayu dan hukum hakam Islam. Mereka sudah tidak peduli lagi dengan solat dan sekaligus tidak menjaga waktu solat dan sebagainya kerana asyik dengan program yang diadakan. Batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan sudah tidak dipedulikan lagi dan akhirnya terjadi gejala keruntuhan moral yang nyata di kalangan pemuda pemudi Islam.

F yang ketiga ialah “Family”. Serangan yang bertubi-tubi berlaku kepada sistem kekeluargaan Islam dengan fenomena cerai berai yang meningkat setiap tahun, keluarga yang baru dibina hanya bertahan beberapa tahun saja. Lahirnya anak-anak luar nikah yang begitu ramai dan dibuang di merata-rata tempat. Seks murahan boleh didapati di mana-mana. Ini akan meruntuhkan sistem rumah tangga Islam kerana mereka menggunakan metafora, “kalau nak makan daging boleh beli di pasar, kenapa perlu membela lembu?”, sehingga perkahwinan bagi mereka menyekat kebebasan dan terjadilah percampuran sebelum berumah tangga. Jadi, hancurlah sendi yang kuat dalam sistem kekeluargaan Islam.

F yang keempat ialah “Film” atau Filem. Akhir-akhir ini banyak sekali dicipta filem-filem hantu yang mungkin akan membawa kepada syirik kerana manusia muslim akan lebih takut kepada hantu daripada takut kepada Allah s.w.t. Cerita tahayul diketengahkan kepada masyarakat sehingga hilang pertimbangan logik dan tidak rasional lagi. Ini akan memberikan efek yang mendalam kepada pendidikan kanak-kanak yang tidak tahu membezakan mana yang benar dan mana yang salah sehingga menganggap cerita-cerita karut itu sebagai benar. Pengaruh filem baik dari Barat atau dari Timur merebak di kalangan Ummat Islam sehingga lebih memuja bintang filem daripada memuja pahlawan Islam yang berjuang bermati-matian menegakkan Islam pada zaman kegemilangan Islam. Mereka lebih kenal artis daripada mengenali ulama tersohor Islam seperti As-Shafii, Al-Ghazali, Ibnu Sina dan sebagainya.

Sementara F yang kelima ialah “facebook”, yang biasanya ditulis dengan huruf f kecil yang mungkin membawa makna di samping keburukan ada juga kebaikan. Kecanduan “facebook” kadangkala membawa kepada pergaduhan keluarga kerana isteri atau suami atau anak asyik mengadap “facebook” dengan meninggalkan tugas-tugas hakiki mereka. Sebaiknya berpada-padalah menggunakan alat komunikasi moden ini dan jangan berlebih-lebihan. Jangan sampai kita lupa kepada solat kerana asyik “chating” melalui “facebook” dengan kawan. Pendedahan maklumat yang keterlaluan juga akan membahayakan diri sendiri sehingga semua data dipaparkan melalui “facebook” dan manusia seluruh dunia dapat melihatnya.

Paparan ini hanya sekadar mengingatkan diri penulis dan juga pembaca tentang bahaya yang terselindung di sebalik perbuatan atau tindakan yang kelihatan secara kasarnya baik tetapi ada muslihat disebaliknya. Gunakan fikiran yang waras dalam menilai setiap tindakan dan amalan semoga hidup kita selamat dan bermakna.

Hanya redha Allah s.w.t yang kita cari dan berpesanlah dengan kebaikan sesame ummat Islam dan ummat manusia agar tidak merosakkan alam yang kita diami bersama ini.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 11-10-11.