Tuesday 31 July 2012

Ramadan Membina Sikap Positif Diri

Tahap kebahagian hidup kita bergantung kepada apa reaksi yang kita berikan kepada yang berlaku di sekeliling kita. Jika reaksi kita negatif maka akan terbentuk sebuah titik hitam dalam hati kita, sementara reaksi positif akan memadamkan titik-titik hitam lama satu demi satu sehingga hati kita akhirnya bersih dari noda hitam. Ingat, setiap reaksi negatif akan menambahkan noda-noda hitam dalam hati kita sehingga lama kelamaan sangat sukar bagi kita membersihkannya. Hanya orang yang bersikap positif sahaja yang akan bahagia hidupnya selama-lamanya.

Ramadan dapat mendidik kita untuk bersikap positif dan memberikan sepenuh kepercayaan kepada Allah SWT dan sekaligus mencintaNya dengan sepenuh hati. Latihan berpuasa sangat mendalam kesannya kepada hati kita. Rasa tanggungjawab yang sangat tinggi ditanamkan kerana tiada siapa yang tahu sama ada kita berpuasa atau tidak, kecuali Allah SWT dan diri kita sendiri. Sebab itu puasa ialah satu-satunya ibadah yang Allah SWT sendiri yang akan memberikan ganjarannya. Segala dosa yang lalu diampunkan dan diberikan anugerah syurga kepada sesiapa yang berpuasa dengan hati yang ikhlas kerana Allah SWT semata-mata.

Dalam kehidupan ini hanya 10% sahaja kejadian yang tidak dapat kita kawal, 90% lagi berada dalam kawalan kita sepenuhnya melalui akal yang Allah SWT anugerahkan kepada kita. Antara perkara yang kita tidak boleh kawal ialah takdir Allah, bencana besar, cuaca, qadha dan qadar dan lain-lain yang sealiran dengannya. Perkara lain semuanya kita boleh pilih untuk melakukannya atau tidak melakukannya. Ada dua jalan yang akan kita tempuh, satu jalan ke syurga dan satu lagi jalan ke neraka. Kita yang memilih jalan mana yang kita hendak. Tentunya kita akan pilih jalan ke syurga.

Kini puasa kita sudah memasuki fasa “magfirah” iaitu fasa keampunan dari Allah SWT yang berlaku pada 10 hari kelompok kedua dalam bulan Ramadan. Mohonlah kepada Allah apa saja yang terbuku di hati dan terasa ingin kita punyai. Allah Maha Penyanyang dan Maha Pemberi terhadap apa yang kita minta. Jangan ada sedikit pun rasa ragu terhadap kekayaan Allah kerana Allah itu Maha Kaya dan Maha Bijaksana. Rasakan dalam hati kita betapa dekatnya kita kepada Allah ketika kita berpuasa, rasa rendah diri yang teramat sangat terhadap segala kekurangan kita. Curahkan air mata sehabis-habisnya dan kembalilah dengan hati yang bersih, ceria dan positif.

Merdekakan diri kita dari segala belenggu yang ada pada diri sendiri dan juga jangan sesekali bergantung kepada orang lain. Jika kita tidak menyebukkan diri kita dengan Allah, maka akan ada makhluk yang akan membuat kita sibuk dengan urusan mereka. Orang yang merdeka akan berupaya membuat keputusan yang jitu dan tanpa ragu-ragu kerana Allah selalu bersama orang mempunyai penuh keyakinan diri.

Bulan puasa ini kita diberikan kesempatan waktu yang sangat banyak untuk melakukan muhasabah diri. Diberikan kita banyak waktu untuk melihat kembali apa yang silap pada masa lalu dan memperbaikinya untuk kejayaan masa depan. Melihat segala keaiban diri terhadap kebesaran Allah SWT. Apakah solat kita telah menuju kesempurnaan?. Apakah kita melakukan solat berjamaah di Mesjid berdekatan dengan kita? Berbagai bentuk pertanyaan dapat kita ajukan kepada diri sendiri demi memperbaiki diri dan membina sikap positif bagi diri kita sendiri untuk mengharungi hidup mendatang yang penuh pancaroba. Kini bukan lagi panca (lima) dalam istilah pancaroba tetapi multi (banyak) dan mungkin kita terpaksa menggunakan pula perkataan multiroba bagi menggambarkan cabaran yang begitu banyak yang akan dihadapi oleh manusia hidup.

Cara terbaik dalam menghadapi multiroba itu ialah dengan kembali kepada keampunan Allah (magfirah fi Llah) dengan memohon sebanyak-banyak keampunan ketika kita masih diberikan nafas untuk bernyawa dan hidup. Semoga puasa ini dapat membina diri kita menjadi manusia yang positif dalam menghadapi segala ujian daripada Allah SWT. Amin!

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 1 Ogos 2012.


Friday 20 July 2012

Ramadhan Bulan Muhasabah Diri

Entah kenapa setiap kali Ramadhan tiba hati saya merasa sayu dan amat hiba. Terasa sungguh Allah SWT ingin menyampaikan sesuatu melalui bulan yang sangat saya tunggu ini. Bulan yang sungguh mulia.

Ketika saya masih di darjah empat sekolah kebangsaan, kami berpuasa ketika padi hampir masak dan terpaksalah berpindah tinggal di dangau (rumah kecil) di kawasan sawah ayah saya. Jarak antara rumah kami dengan dangau itu ialah sekitar lima kilometer (tiga batu). Tiap pagi kami terpaksa berjalan kaki ke sekolah yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah tetapi enam kilometer dari dangau di kawasan sawah. Perjalanan itu terpaksa kami tempuhi dan berjalan beramai-ramai dengan kawan-kawan yang ayah mereka berpindah sementara ke dangau masing-masing. Bila berjalan beramai-ramai tidak terasa penat sangat. Perpindahan ini perlu bagi menjaga padi yang sedang masak agar tidak dimusnahkan oleh babi hutan yang mengganas ketika malam.

Saya masih ingat kalau ada saja babi hutan yang akan merusakkan padi, anjing PakSu Man yang tinggal sekitar 500 meter dari dangau kami akan menyalak dan menghalau babi hutan itu. Terjaga sementara apabila anjing menyalak tetapi sambung tidur apabila suasana kembali reda. Ayah dan Ibu terus terjaga dan menjaga kami adik beradik dari gigitan nyamuk.

Saya hiba kerana terkenang kesusahan yang ditempuhi masa lalu dengan cabaran kemiskinan waktu kecil. Ayah dan Ibu terpaksa bekerja keras untuk menyara kami sekeluarga dengan mengusahakan sawah dan getah. Ketika tiba waktu bulan puasa biasanya dahulu kami diberi cuti sebulan atau sekurang-kurangnya dua minggu untuk berpuasa di rumah sambil bercuti daripada kegiatan sekolah. Ketika ini saya membantu ayah dan ibu untuk mengerjakan sawah dan menoreh getah. Letih juga kerana berpuasa tetapi latihan itu amat berkesan kerana dalam serba kekurangan kami masih mempunyai motivasi untuk berusaha mencari rezeki.

Kini apabila tiba Ramadhan saya terus terbayang ketika kesusahan melanda dan menjadikan bulan ini sebagai medan untuk bermuhasabah diri atas kesusahan masa lampau dan sangat bersyukur dengan rezeki yang Allah SWT berikan masa kini. Pada bulan inilah kita dilatih untuk bangun awal sekitar jam 3 atau 4 pagi, membuat persediaan sahur atau setidak-tidaknya menemani isteri menyediakan sahur untuk keluarga. Lepas sahur kita mempunyai waktu untuk membaca Al-Quraan dan membaca kitab-kitab agama Islam bagi memandu diri ke arah kebaikan. Mendekati Allah SWT yang telah memberikan kita rezeki yang melimpah ruah.

Ketika siang dalam keadaan lapar dan dahaga fikiran kita mengalir cergas, keinsafan tentang perangai diri yang lemah akan terungkai dan memberikan penyesalan yang mendalam bagi memperbaiki diri agar lebih maju dan dekat dengan Maha Pencipta. Kita mula merenungi apakah sebenarnya tujuan hidup kita berada di dunia ini? Apakah selama ini kita berbuat baik atau sebaliknya. Sejauh ini apakah pencapaian hidup yang telah kita perolehi dan berbagai persoalan lain yang bermain di fikiran kita. Dalam bulan yang mulia ini juga kita digalakkan banyak bersedekah. Memberi dengan ikhlas dan mengharap rahmat dari Allah dengan banyak berdoa. Melalui perbuatan memberi hati kita akan menjadi bersih dan harta kita menjadi berkat. Hidup akan lebih tenteram dan teratur.

Dalam bulan ini juga kita sangat berdisiplin ketika berbuka, malah kita menunggu untuk berbuka. Ini ialah suatu disiplin masa yang unggul. Kita sangat berharap agar disiplin masa ini dapat terus bertahan ketika di luar bulan Ramadhan. Demi masa, semua manusia berada dalam kerugian kecuali mereka yang beramal saleh dan nasihat menasihat dalam kebaikan dan kesabaran.

Semoga bulan yang mulia ini kita jadikan sebagai bulan muhasabah diri dan keluar kita nanti pada 1 syawal kita menjadi manusia baru yang penuh dengan motivasi dan berfikiran positif untuk terus berbakti kepada Allah SWT.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 20 Julai 2012.