Monday 18 July 2011

Apakah masih ada Pemuda Al-Kahfi kini


Apabila saya terpandang kubah mesjid di mana-mana saya pasti akan teringatkan bentuk graf distribusi normal yang dipotong melintang. Pada kawasan puncak graf itulah gambaran saya sebagai pemuda-pemuda Al-Kahfi yang mempertahan keimanan mereka. Mereka telah ditidurkan selama 309 tahun di sebuah gua.

“Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (wahai Muhammad SAW) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk” (Al-Kahfi,13).

Secara kontemporari (semasa) saya menggambarkan pemuda-pemuda berumur antara 25 tahun hingga 35 tahun akan berada di kawasan pertengahan distribusi normal dan merupakan angkatan pembentuk masyarakat pada masa akan datang. Jika mereka betul-betul beriman maka akan selamatlah masyarakat kita.

Rasulallah, Muhammad SAW dalam salah sebuah hadith Baginda, memberi jaminan dengan izin Allah bahwa:

“Akan terus wujud segolongan ummatku yang berani melahirkan kebenaran, tidak akan memberi mudharat kepada mereka oleh orang-orang yang menyanggahnya sehingga dapat perintah daripada Allah”.

Ini bermakna di kalangan ummat Islam pada setiap masa akan wujud golongan yang tetap memperjuangkan aqidah di tengah-tengah kemelut sosial yang durjana, mereka adalah pemuda-pemuda Al-Kahfi moden yang sanggup menerima apa saja risiko dalam mempertahankan aqidah Agama Islam. Allah menjanjikan syurga kepada golongan ini kerana salah satu daripada tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah di akhirat nanti ialah golongan pemuda yang tetap beriman walau pun digoda keras oleh maksiat zaman kini.

Matlamat utama ummat Islam bukan hidup selesa di dunia ini kerana akhirnya hidup akan bernoktah kematian, namun akhiratlah yang kita dikejar dengan melakukan amal sholeh. Sekiranya kita tidak mendapat apa-apa habuan setelah bertungkus lumus mengerjakan kebaikan, maka ingat yang memberikan ganjaran pahala bukanlah manusia, tetapi Allah yang memberikan ganjaran pahala. Kembalikan semua kesedihan (jika ada) kepada Allah dalam munajat tahajjud, dan memohon ampun sebesar-besarnya dan memohon petunjuk supaya Allah tambahkan petunjuk bagi mendapatkan kemenangan seperti yang Allah janjikan kepada pemuda Al-Kahfi itu.

Peranan kita, walau pun di mana kita berada ialah “amar maaruf” dan “nahi munkar” dengan cara yang bijaksana. Manusia tidak suka ditegur secara terus, namun apabila tiba masa yang sesuai mereka juga akan belajar dari musibah yang Allah turunkan.

Harapan kita ialah lebih ramai pemuda-pemuda Al-Kahfi akan ujud di zaman moden yang penuh dengan pancaroba ini, malah bukan saja panca (lima), tetapi multiroba yang tidak pernah kita duga selama ini. Ingat, syaitan dan iblis tidak berkurang populasi mereka tetapi populasi pemuda Al-Kahfi akan berkurang jika tiada generasi penerus mendokongnya.

Selalulah kita berdoa agar diramaikan pemuda-pemuda Al-Kahfi di kalangan masyarakat kita agar kemakmuran, keamanan, kesejahteraan dapat diujudkan dalam masyarakat baldatun toiyibatun ghafur. Amin.

No comments: