Tuesday 27 September 2011

Kita cuma kurang semangat juang

Kali ini aku ingin bermula dengan kisah Tariq Ibnu Ziyad yang penuh dengan semangat juang yang kental. Beliau memimpin satu pasukan tentera sebesar 12,000 orang dan berhadapan dengan satu pasukan musuh yang jumlahnya 100,000 orang. Kekuatan fiziknya hanya 12 persen saja, namun kekuatan jiwa dan semangat juangnya 100 persen.
Musa Ibnu Nusair, ketua pemerintahan Islam di Afrika Utara melantik Tariq sebagai Panglima Angkatan Perang kerana sifat lengkap seorang pejuang yang luar biasa. Tariq mempunyai sifat kepahlawanan, bakat kepimpinan yang tinggi dan semangat yang kuat serta berani. Berangkatlah Tariq ke Andalusia dengan 12 kapal perang dan sepasukan tentera 12,000 orang.

Setibanya beliau di pantai Gibraltar (Jabal Tariq), Andalusia, Tariq telah memerintahkan semua kapal-kapal perang itu dibakar dan mengucapkan kata-kata semangat yang hebat, "Di belakang kita laut, di depan kita musuh. Kita terpaksa memilih kemenangan ataupun syahid. Dan kita takkan pulang sebelum mencapai matlamat itu!".
Dengan semangat juang yang padu, tentera Islam telah berjaya menakluki Andalusia dan memerintah Andalusia selama 500 tahun dengan penuh kejayaan yang gemilang.

Kisah Tariq merupakan satu di antara ribuan cerita semangat juang yang dapat kita tiupkan kepada generasi muda agar kita tetap bersemangat dalam menghadapi hidup ini. Ketika ini kita hampir punya segalanya, namun jelas kelihatan kita kekurangan semangat juang yang jitu.

Keberanian Tariq membakar semua kapal-kapal perang yang membawa mereka ke Andalusia sangat luar biasa. Rencananya Tariq hanya satu iaitu menang perang atau syahid. Kedua-duanya menang bagi Tariq. Memang jalan menuju Allah itu sepi dan hampir jarang dilalui manusia ketika ini. Mereka lebih memilih untuk mendapatkan habuan dunia daripada menyicil habuan akhirat, segala norma keadilan dilanggar demi mengumpulkan harta.

“Peduli amat dengan orang lain, yang penting aku kaya dan boleh menindas orang lain”, mungkin itu antara fikiran-fikiran bejat pelaku jenayah sosial rasuah. Tidak ada sedikit pun rasa bersalah mengambil harta orang lain melalui cara yang tidak terhormat. Egonya terlalu besar untuk ditundukkan dengan sujud kepada Allah yang Maha Besar. Makin parah jika budaya ini sudah dianggap satu norma biasa masyarakat. Perkara jahat dianggap baik dan perkara baik dianggap jahat. Sungguh keliru pemikiran begini dan jauh menyimpang dari panduan illahi. Nauzubillah.

Mungkin Falsafah Tariq Ibnu Ziyad yang dituangkan dalam ungkapan berikut boleh dijadikan panduan kita menghadapi musuh, "... seandainya pada hari ini kalian masih tetap sengsara seperti ini, tanpa adanya perubahan yang bererti, nescaya nama baik kalian pasti hilang, rasa gentar yang ada pada hati musuh pula berganti menjadi berani. Oleh itu, pertahankan jiwa kalian. "

Tariq meminta kita mempunyai jiwa yang besar, bukan jiwa yang kerdil. Jiwa yang besar akan menakutkan musuh, sementara jiwa yang kerdil akan memberi kesempatan kepada musuh meningkatkan jiwa mereka menjadi besar dan kuat. Perang psikologi ini berjalan dalam diam, namun ianya merupakan suatu senjata yang ampuh bagi menghadapi segala situasi kini. Memang ramai yang tidak menyukai jalan kebenaran dan kebaikan sebab kendalanya banyak dan berbagai. Kemiskinan sedia menanti, apalagi kehinaan turut bersamanya. Rasa rendah diri yang teramat sangat. Biar pun kita miskin dengan segalanya, namun kita tetap kaya dengan hati yang bersih dan murni.

Jalan kebenaran itu sepi, tiada kemacetan kerana tidak ada pun mobil yang mau lewat. Namun, percayalah di jalan yang sepi inilah ada kebahagiaan di penghujungnya. Kita hanya perlu sabar dan berusaha. Kita cuma kurang semangat untuk hidup bersih dan ikhlas.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 28 September 2011.

Bersikap terbuka dan positif

Kenapa manusia suka benar mengetuk pintu yang tertutup, pada hal di hadapanya banyak sekali pintu-pintu yang terbuka luas untuk diterokai. Apabila diberitahu bahwa dia tidak perlu terus mengetuk pintu yang tertutup, cubalah masuk ke mana-mana pintu yang sedang terbuka luas, dia malah kehairanan terhadap manusia-manusia yang menegurnya begitu. Mungkin dalam hatinya berbicara, “ini urusanku, bukan urusanmu…. Kenapa kamu harus peduli padaku….”. Itulah sedikit gambaran orang yang tertutup dan negatif.

Hari ini aku bertemu dengan bekas pelajarku yang berada di tahun akhir pengajiannya. Dia datang untuk menjual jubah wanita, maksudnya untuk isteriku. Pelajar puteri ini sangat rajin dalam kelas dan sering aktif bertanya dan menampakkan ciri-ciri kreatif dan keusahawanannya. Waktu cuti dua bulan yang lalu dia cuba-cuba berniaga dan dapat mengumpulkan sedikit wang sebagai tabungannya. Pelajar yang mempunyai ciri-ciri ini, insya Allah akan berhasil hidupnya nanti kerana dia bersikap terbuka dan positif. Setiap waktu dipergunakan sebaik mungkin dengan mendidik jiwanya berniaga, berhadapan dengan manusia lain dengan sikap terbuka dan berani. Ada matlamat dalam hidupnya.

Dalam hidup ini hanya ada sekitar 10% perkara yang berada di luar kawalan kita, sementara 90% lagi dapat kita kawal. Kita tidak boleh memilih ayah dan ibu kita. Kita tidak boleh memilih untuk lahir sebagai bangsa apa, dan tidak boleh memilih untuk mati di mana dan bila masanya. Itu dinamakan takdir dan ditentukan oleh Allah. Hampir 90% kejadian lain berlaku atas pilihan kita sendiri.

Apabila kita dihadapkan dengan sesuatu keadaan, kitalah yang menentukan pilihannya. Ketika kita bersekolah, kita boleh memilih untuk tidak belajar, tetapi kenapa kita memilih untuk belajar? Ini kerana kita tahu dengan belajar dan mendapat gred yang baik akan mendapat pekerjaan yang baik dan mendapat kedudukan yang terhormat dan sebagainya ganjaran manis yang menanti kita akhirnya. Pada persimpangan itu kita yang menentukan. Sikap positif kita yang menentukan pilihan kita. Sikap terbuka kita yang membuat kita memilih kebaikan daripada keburukan. Naluri kita mengilhamkan hal-hal yang positif dan suci, dan mengarahkan kita membuat pilihan yang tepat.

Kenapa Nabi Muhammad SAW menyarankan kita untuk berniaga dan menyatakan 90% sumber rezeki ialah daripada perniagaan. Rupanya Nabi menyiapkan sebuah idea yang jauh menjangkau zaman, bisnes masa kini sudah tidak memerlukan premis lagi. Bisnes masa kini memerlukan kita bersikap positif dan terbuka. Bisnes akan terjadi apabila ada permintaan (demand) dan penawaran (supply) dan ianya boleh berlaku di mana-mana dan bila-bila masa saja. Ini memenuhi fardhu kifayah ummah. Bilamana ada yang memerlukan sesuatu dan ada yang boleh menyediakan keperluan itu, maka berlaku tukar menukar khidmat dengan suatu nilai tertentu. Itu adalah asas kepada bisnes. Kejadian ini sangat memerlukan sikap terbuka dan positif. Berani menyatakan keperluan dan berani pula membuat penawaran.

Pelajar saya di atas sudah menampakkan ciri keterbukaan dan ciri positif. Terbuka kerana dia tidak malu berniaga walau pun dalam masa enam bulan lagi dia akan bergelar graduan. Beliau bersikap positif dalam menghadapi hidup ini. Tidak memilih pekerjaan, asalkan pekerjaan itu halal dan mendatangkan rezeki kepadanya. Kita mesti mempersiapkan mahasiswa yang berani menghadapi cabaran walau sebesar mana sekali pun cabaran itu, kerana setiap cabaran akan mematangkan pribadi seseorang. Pelajar saya tadi ingin membuka sebuah perniagaan sendiri dan menjadi boss dalam syarikatnya. Suatu cita-cita yang sungguh murni dan saya sungguh bangga dengan pelajar yang begini.

Saya ingin meluruskan kembali tujuan hidup seorang muslim sebagai segala daya usaha bagi merebut ridha Allah. Sebagai manusia kita dituntut untuk berusaha, bukan menentukan sesuatu kejadian berlaku. Atas segala usaha kita, jika Allah menghendaki maka kita akan perolehi apa yang kita hajati. Jika kita terus mengetuk pintu yang tertutup, dan kita pasti tidak ada sesiapa pun yang akan membukanya, maka kita telah melakukan pekerjaan yang sia-sia. Allah yang Maha Pencipta tahu bila Dia akan mengabulkan permohonan makhlukNya, bila Dia akan menangguhkan permohonan makhlukNya dan bila Dia akan menolak permohonan makhlukNya. Semuanya akan terserah kepada izin Allah semata-mata. Kenapa ada manusia yang begitu berani mengambil peranan Allah dalam menentukan sesuatu kejadian? Sehingga sanggup membunuh jika kemahuannya tidak dipenuhi, sanggup mencuri, merasuah, menyalahguna kuasa dan sebagainya jika kemahuannya tidak tercapai. Begitu bejat moral sebahagian manusia yang durjana itu. Mereka mendidik jiwa mereka menjadi jahat dan akhirnya merosakkan masyarakat kerana tindakan mereka itu.

Bergeraklah kepada pintu-pintu rezeki dan kesempatan yang terbuka luas. Kita hanya memerlukan usaha yang gigih dan sikap pasrah sepenuhnya. Berperananlah sebagai pengusaha bukan pencipta kejadian. Manusia tetap harus berusaha dan yang menentukan setiap kejadian itu berlaku hanya wewenang Allah semata-mata.

Marilah kita bersikap terbuka dan positif menghadapi hidup ini.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 28 September 2011.

Antara Jiwa, Roh dan Jasad


Semalam aku begitu bersemangat sekali untuk habis membaca buku, “Penerokaan Roh ke Alam Ghaib”. Setelah ku belek-belek buku karangan Amiruddin Faatih yang setebal 184 halaman itu dan cuba mengenali siapakah pengarang ini, aku tidak mendapatinya dalam buku itu. Penerbitnya Al-Hidayah yang menerbitkan buku itu pada tahun 2008, tidak memperkenalkan pengarangnya seperti biasa. Apabila di”google”kan pun tidak ada maklumat mengenai pengarang ini. Daripada 184 mukasurat, pembahasan mengenai roh hanyalah 36 mukasurat atau hanya 20% sahaja buku yang bertajuk demikian membahaskan mengenai tajuk roh yang tertera pada kulit buku tersebut. Betapa aku terkeliru dengan tajuk buku itu, kerana mengambil sikap “judging the book by the cover”.

Aku pun tidak tahu kenapa aku teringin sangat untuk mendapatkan bahan mengenai roh dan sifat-sifatnya walau pun tahu mengenai ayat 85, Surah Al-Isra, “Roh itu termasuk urusan Tuhanku dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit”. Berdasarkan maklumat yang tertulis di dalam 36 mukasurat buku itu, aku membuat kesimpulan bahwa terdapat satu rantaian yang bermula dari jiwa (nafs), kemudian ke roh dan akhir sekali ke sir.

Jiwa yang dididik secara Islamik akan bertukar peranan menjadi roh yang menuju kesempurnaan dan akhirnya menjelma menjadi sir (rahsia Tuhan). Jika roh itu dididik melalui cara syaitan, maka roh akan menjadi tersangat kotor dan tidak diterima sebagai sir oleh Allah s.w.t. Perbahasan mengenai mana yang dulu ujud antara roh dan jasad. Juga mengenai proses peniupan roh dalam janin bayi, apa akan jadi selepas roh berpisah dari badan, di mana roh itu tersimpan selepas kematian insan, tidak perlu kita bahaskan kerana kita tidak pasti arah tujuan pembahasan yang sedemikian.

Sesuatu yang pasti ialah kita perlu mendidik jiwa kita menjadi roh yang suci dan dapat menjadi sir dan diterima oleh Allah s.w.t. apabila tiba masanya roh itu dipanggil kembali oleh pemiliknya. Jelas sekali bahwa manusia dan jin diciptakan oleh Allah untuk beribadah kepadaNya. Ibadah dalam erti kata yang luas meminta kita untuk terus berurusan dalam setiap aktiviti harian dengan niat yang ikhlas kerana Allah semata-mata dan semuanya akan bernilai ibadah.

Sementara jiwa masih berada dalam jasad manusia, maka selama itu jiwa memerlukan makanan bagi menyuburkan jiwa tersebut. Makanan kerohanian yang berupa zikir dan fikir mengenai ciptaan Allah sangat diperlukan bagi memurnikan jiwa dan membelainya menjadi jiwa yang mutmainnah. Hanya jiwa merdeka dan bebas dari belenggu pemikiran sempit dapat bertindak sesuai dengan fitrah penciptaan jiwa itu sendiri. Apabila jiwa sudah penuh terdidik, maka akan terjelmalah roh yang suci, membantu manusia yang ditumpangi roh itu ke jalan yang benar dan diredhai Allah.

Roh akan menjadi kuasa pendorong manusia ke arah mencari ridha Allah semata-mata. Matlamat hidup hanyalah satu iaitu beribadah kepada Allah, perkara-perkara lain akan menjadi perkara sampingan. Berdialoglah dengan diri sendiri dan bertanya apakah yang aku lakukan sekarang ini menjurus kepada ridha Allah? Sekiranya tidak bersegeralah membetulkan arah dan kembalilah kepada jalanNya yang sangat jelas.

Akhirnya fahamlah aku kenapa Allah mengatakan roh ialah urusanNya dan manusia tidak diberikan pengetahuan kecuali sedikit. Otak manusia tidak akan mampu berfikir sedalam itu untuk memahami hakikat sebenarnya roh. Cukup kita memikirkan tentang penciptaan Allah dalam posisi apa pun, kerana mudah untuk kita memikirkan perkara yang jelas dan menambahkan keyakinan tentang kewujudan Maha Pencipta. Melalui akal kita dapat memikirkan tentang hakikat kehidupan dan segala liku-likunya dan juga memikirkan hakikat kematian dengan segala keseramannya.

Mendekati Allah lebih mententeramkan hati kita …..

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 28 September 2011.