Tuesday 17 January 2012

Hakikat kehadiran roh dalam mencari Cinta Allah

Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh, katakan: roh adalah urusan Tuhanku, dan tiadalah kamu diberi ilmu kecuali sedikit sahaja” (Al-Isra’: 85).

Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata, “Aku berjalan bersama Rasulullah s.a.w. di bahagian kota Madinah yang runtuh. Rasulullah s.a.w. bertongkat dengan pelepah kurma dan melewati sekelompok orang Yahudi. Mereka saling berkata: ”Tanya baginda tentang Roh.” Sebahagian lain berkata: ”Jangan bertanya kepadanya.” Namun kemudian mereka bertanya: “Hai Muhammad, apakah roh itu?”. Rasulullah tetap (berdiri) bertongkat dengan pelepah kurma itu, dan aku mengira baginda sedang menerima wahyu, selesai wahyu disampaikan, Rasulullah s.a.w. bersabda kepada mereka: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah roh itu adalah urusan Tuhanku, sedangkan kamu tidak diberi ilmu kecuali sedikit sahaja”.

Ada dua keadaan yang terjadi di dunia ini, pertama, hidup, suatu gejala yang dapat dilihat manusia pada dirinya, berupa gerak-geri, kebebasan bertindak, berfikir, mengatur, memanfaatkan hasil bumi dan hasil langit, mengelak bahaya yang akan menimpanya serta melindungi diri daripada sesuatu kejadian yang akan terjadi padanya. Kedua, mati, ketika jasad yang tadinya aktif menjadi kaku, tidak bergerak sama sekali, tidak mampu lagi berfikir dan mengatur, tidak memberi manfaat dan tidak memudaratkan sesiapa.

Apakah sebenarnya yang mengaktifkan manusia bergerak dan kenapakah apabila perkara itu hilang, manusia tidak lagi berupaya bergerak. Ini sangat membingungkan manusia dari dulu hingga sekarang. Lagi pula roh ialah urusan Allah, dan kita tidak diberikan ilmu kecuali sedikit.

Tidak ada kaedah penyelidikan sains yang dapat menyelidiki tentang roh, kecuali memerhatikan kesan roh terhadap benda hidup, termasuk manusia. Mungkin salah satu komponen roh ialah tenaga (energy), dan apabila kita memerhatikan graf tenaga pada manusia ianya bermula besar pada peringkat kanak-kanak, kemudian sedikit demi sedikit tenaga itu akan berkurang dengan bertambahnya umur. Gradien graf tenaga (paksi-y) dengan umur (paksi-x) akan selalu bernilai negatif kerana ianya tidak pernah bertambah, malah setiap tahun akan berkurang hinggalah tenaga itu sama dengan sifar, dan di ketika itu malaikat maut sudah hadir untuk menjemput roh itu kembali kepada Allah.

Walau pun ada usaha untuk menambah tenaga agar tidak cepat habis, namun hakikatnya hanyalah menangguh kematian, namun kematian pada akhirnya akan tiba jua. Ini boleh diklasifikasikan sebagai usaha manusia untuk hidup lama dan berharap untuk berbakti di jalan Allah.

Ketika ditanya oleh seorang Ansar tentang pertanyaan, “siapakah manusia yang paling cerdik?”, Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar berkata: “Aku bersama Rasulullah, lalu seorang lelaki Ansar datang kepada Baginda mengucapkan salam lalu bertanya: Wahai Rasulullah. Manakah antara kaum mukminin yang paling utama? Baginda menjawab: Yang paling baik akhlaknya antara mereka. Dia bertanya lagi: Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik?, Baginda menjawab: Yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang cerdik,” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Suasana hening wujud ketika kita menziarahi sesebuah kematian, dalam keheningan itu diri kita diajar oleh keadaan syahdu itu agar menyediakan bekalan yang halal secukupnya kerana Surah Ali-Imran, 185 mengingatkan kita bahwa, “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan pada hari kiamat saja akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia sudah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanya kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

Setiap insan yang yakin akan kembali kepada Allah akan cuba sedaya upaya mengendalikan hidupnya sebaik mungkin agar tidak tergelincir ke lembah maksiat kepada Allah dan juga ke lembah dosa terhadap sesama manusia. Mereka cerdik membagi waktu untuk dunia dan juga akhirat, mengambil dunia hanya sekedar untuk menyampaikan mereka kepada akhirat, tidak lebih dari itu. Membekalkan kepada anak-anak ilmu kerana untuk mendapat kedua-dua dunia dan akhirat memerlukan ilmu agama dan dunia. Jika ada kelebihan harta, mereka akan infak (berikan) kepada yang memerlukannya melalui zakat atau derma.

Beberapa ulama dalam mengupas masalah roh lebih banyak menerangkan tentang gejala-gejala yang timbul dari roh dan tidak melebihi dari itu, antaranya ialah Imam Al-Qaunawi. Roh adalah zat yang halus dan tembus (transparen) merayap di sekujur tubuh bagaikan air mawar pada bunga mawar, atau api dalam arang, di mana Allah s.w.t. menetapkan kelaziman roh untuk mewujudkan kehidupan di dalam jasad selama dia ada, dan apabila hilang atau berpisah daripadanya akan hilang pulalah kehidupan itu.

Imam Al-Ghazali menyatakan bahwa roh manusia terdiri kepada dua:

1. Roh merupakan wap yang halus, ia menjadi sempurna dan baik dengan sempurna dan baiknya tabiat manusia dan dia itulah yang member tenaga pada panca indera dan gerak-geri manusia. Ia akan kembali kepada Allah apabila kematian tiba.

2. Roh merupakan lathifah Robbaniyah (sesuatu yang halus yang datang daripada Allah) sesuatu yang dihubungkan kepada Allah s.w.t. melalui firmanNya dalam surah Al-Hijr, ayat 29, “Dan Aku akan meniupkan roh (ciptaanKu) ke dalamnya, maka bersungkur sujudlah kamu kepadaNya”.

Walau pun apabila tiba masanya, jasad akan terbaring kaku, namun roh akan tetap hidup dan diberikan rezeki oleh Allah s.w.t. (Ali-Imran, 169). Roh dinyatakan sebagai sesuatu yang tidak terbahagikan dan tidak mengelompok.

Tulisan ini hanya sekedar untuk mengingatkan kita kepada kehidupan dan kematian dan segala tanggungjawab terhadapnya. Syeikh Sa’id Hawwa dalam “Pendidikan Spiritual”, mengupas lebih mendalam tentang cara menggapai cinta Allah. Juga Imam Al-Ghazali dalam “Mukashafah Al Qulub” menerangkan secara mendalam mengenai bagaimana mendidik hati dan jiwa.

Hanya Cinta Allah s.w.t yang kita cari.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 17 Januari 2012.