Wednesday 13 July 2011

Silaturahim Yang Membahagiakan


Pertemuan dengan senior dan junior star semalam, 13 Julai 2011 di Restoran Arab Zam Zam, Shah Alam mengimbau kembali kenangan lama di Lorong Harimau tahun-tahun 1961 hingga 1967. Aku masih ingat ayahku menyewa teksi Tok Man dengan bayaran RM120.00 untuk menghantar aku ke Ipoh.

Dari Kg. Lalang, Baling, Kedah kami bergerak ke Ipoh bersama ayah, ibu dan abang sulong Azmi ke Ipoh dengan segunung harapan. Guru sekolah rendah selalu bertanya, “nak jadi apa bila besar nanti?”. Saya hanya mengatakan, “Saya nak jadi pendita CikGu!”, waktu itu aku pun tak faham apa makna pendita. Mungkin waktu itu nama Pendita Za’ba sering disebut-sebut yang membuat ku teringin sangat nak jadi pendita.

Pertemuan semalam menemukan semula kepada beberapa orang idola saya iaitu Misron Yusof (Dato Misron Yusof), Zainal Kling (Prof Dr Zainal Kling), Abdullah Hassan (Prof Dr Abdullah Hassan), Muhammad Idris Mohd Saman (Dato Muhammad Idris Mohd Saman), Yussof Ahmad (Dato Yussof Ahmad), Jaafar Kamin (Dato Jaafar Kamin) dan Tajri Mohd Yamin (Dato Tajri Mohd Yamin). Mereka menjadi idola saya kerana waktu itu saya baru saja “terlepas” dari suasana kampong dan memulakan suatu pentas baru di Pekan Ipoh.

Saya masih terbayang Dato Misron Yusof mengepit buku tebalnya di ketiak dan berjalan dengan begitu yakin di depan saya. Prof Zainal Kling waktu itu di Rumah Merah banyak membantu saya mengadaptasi suasana kampong ke Bandar dengan tunjuk ajar beliau sebagai seorang abang kepada adiknya. Pada waktu mula sampai kami di tempatkan dulu di Rumah Merah, kemudian baru ke Rumah Hitam sebagai rumah yang tetap.

Rata-rata saya lihat semua senior saya masih hensem-hensem belaka, mungkin sifat mereka yang ceria dan bersahabat membuat hidup mereka bahagia bersama isteri, anak-anak dan cucu-cucu. Dato Tajri masih maintain kehenseman beliau hingga kini.

Tidak kelihatan (mungkin sibuk) ialah Dato Shukor Nagor yang juga menjadi idola saya dalam perbahasan bahasa Inggeris. Dato Idris Saman, memang hebak bermain bola. Dato Jaafar Kamin semasa menjadi “Head Boy” banyak membantu saya dalam kepemimpinan yang saya teruskan semasa menjadi “Prefect” di bawah Samsuddin Musa sebagai “Head Boy”.

Teknik “flashback” ini mungkin tidak begitu berhasil bagi saya kerana banyak perkara yang saya lupa selepas meninggalkan STAR pada tahun 1967, selepas peperiksaan Malaysian Certificate of Education / Senior Cambridge (MCE/SC), waktu itu belum ada SPM. Hanya beberapa peristiwa yang masih tertanam dalam benak fikiran ini. Setiap kali pulang ke Baling daripada Kuala Lumpur, saya mengambil kesempatan untuk melalui STAR dan menyatakan kepada anak-anak bahwa di sinilah bermulanya cita-cita abah untuk menjadi pendita.

Ketika melewati STAR terbayang guru-guru kami Mr Lau Hut Yee, Mr David, Ust Muhammad, CikGu Kamaruddin, Mr. Tan Teong Leong, Mr Kok Ki Chai, Mr Menon, Mr Ronald Weller, Mr Aminuddin Mohd Dom, CikGu Firdaus, CikGu Murad Mohd Noor, CikGu Yang Razali, Miss Flavis Flinder dan lain-lain. Pada hari Mr Lau Hut Yee berbaju putih dan diseterika keras siaplah kami, mesti ada sesuatu yang akan berlaku. Biasanya dia akan menegur dengan keras tingkahlaku kami yang cuai dan malas. Pada hari-hari lain, beliau sangat penyayang dalam membimbing kami.

Hubungan kami STARIANS sangat akrab kerana kami rata-rata berasal dari kampong dan merasa betapa peritnya hidup dalam kemiskinan, kami bertekad untuk jadi pandai dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi keluarga agar berlaku transformasi atau mobiliti ke atas dalam strata ekonomi keluarga. Dalam kelas kami, rasanya hanya Ng Phang Wai saja yang berasal dari keluarga kaya dengan Mercedes beliau setiap hujung minggu menyusuri jalan dalam kawasan STAR, yang lain rata-rata miskin. Ikatan persaudaraan sangat kuat dan Insya Allah ikatan itu akan teguh sampai bila-bila.

Rupanya pendita yang aku jadikan cita-cita dulu itu setara atau hampir sama dengan professor. Namun, cita-cita itu masih belum sepenuhnya tercapai kerana setiap kali aku menulis atau membaca tetap merasa banyak kekurangan ilmu, terkini aku sedang membaca “Panduan Menulis Novel Teknik Surah Yusof” (Pn Ainon Mohd, isteri Prof Abdullah Hassan) untuk menambah ilmu tentang teknik “flashback”, namun kena berguru dulu dengan Pn Ainon dan Prof Abdullah dulu minggu depan (25 – 27 Julai 2011). Semoga ilmu semakin bertambah selari dengan amal bakti yang ingin dicurahkan.
Semoga kita tetap bersilaturahim selama-lamanya, hanya cinta Allah yang kita cari dan redhaNya yang kita dambakan. Amin!.