Monday 27 August 2012

Dorongan dalaman tunjang kekuatan hidup

Apabila seseorang itu dilepas bebas ke dalam masyarakat luas tanpa apa-apa bantuan, maka yang akan memandunya dalam kehidupan ialah dorongan dalamannya, iaitu motivasi dari dalam diri sendiri. Akalnya akan memilih yang baik. Imannya akan menentukan yang haram dan halal. Ilmunya akan memberikan hala tuju ke arah kebaikan.

Jika dia mempunyai matlamat hidup yang jelas dan berpandukan kepada Al-Quraan dan Al-Hadith maka hidupnya akan selamat di dunia dan akhirat.

Hidup kita di dunia ini pun bukan pilihan kita, namun ianya adalah ketentuan illahi. Takdir Allah kita (lelaki) menjadi juara di kalangan jutaan sperma yang berebut untuk bersenyawa dengan sebutir telur wanita seperti yang Allah firmankan dalam Surah Ali-Imran ayat 6.

Pada hakikatnya kita telah dipilih oleh Allah untuk menjadi khalifah di muka bumi ini dan perlulah kita yakin dengan seyakin-yakinnya bahwa kita semua mempunyai kekuatan untuk mencari dan mendapatkan cinta Allah. Jangan sekali-kali kita menjadi lemah kerana orang lain. Kita pasti kuat dengan bantuan dan kasih sayang Allah.

Pada cuti raya di kampung baru-baru ini, saya berkesempatan berbual dengan salah seorang anak saudara yang mempunyai seorang anak dan terlalu risau dengan nasib masa depan anaknya yang tidak begitu berminat untuk bersekolah. Saya memberi pandangan agar dibina dengan teguh kekuatan atau dorongan dalamannya. Pengalaman saya sendiri berada di kampung ketika kecil dan tiada seorang idola pun yang boleh diikuti ketika itu tetapi dengan dorongan dalaman boleh menempuh segala dugaan dengan baik. Ketika kecil memang keluarga kami terlalu miskin sehingga saya pernah makan nasi dengan garam sahaja, bertolak daripada keadaan itu saya bertekad untuk berjaya.

Bagaimanakah membina kekuatan dalaman? Kini persoalan ini menjadi sangat rumit kerana apakah yang dapat dijadikan penyebab yang dapat membangkitkan kekuatan dalaman seseorang. Kalau dulu kemiskinan menjadi penyebab kerana kita merasainya sendiri dan bertekad untuk menghapus kemiskinan melalui pendidikan. Tetapi kini kemewahan meliliti kita, sehingga kita merasakan apa perlunya kita berusaha bersungguh-sungguh kerana semuanya sudah disediakan oleh orang tua kita.

Kita perlu kreatif mencari penyebab untuk membangkitkan dorongan dalaman dan sekaligus memantapkan jiwa seseorang. Saya melihat hanya Cinta Allah dan Cinta Rasul Muhammad SAW dapat menjadi penyebab yang lestari (kekal) bagi membangkitkan dorongan dalaman yang mantap. Tindakan utama kita ialah membekalkan anak-anak kita dengan ilmu Al-Quraan dan Al-Hadith. Jika mereka mantap dalam kedua-dua ilmu itu maka kita penuh yakin mereka akan mempunyai dorongan dalaman yang sangat kuat dan mereka mencintai Allah dengan sepenuh hati.

Kita diperintahkan untuk taat kepada Allah dan kepada Rasul dan kepada pemimpin (yang ikut Islam) di kalangan kamu (An-Nisa, 59). Jadi bekalan yang paling baik untuk anak-anak ialah bekalan agama yang akan menjadi panduan hidup mereka. Apabila mereka menjadi anak yang soleh dan solehah maka doa mereka akan terus mengalir kepada kita di alam barzakh (akhirat) sebagai ganjaran kepada usaha kita mendidik mereka menjadi anak yang soleh dan solehah. Apa gunanya mereka dibekalkan dahulu dengan kemahiran bermain piano, bermain bola dan sebagainya pada hal yang perlu diutamakan ialah ilmu Al-Quraan dan ilmu Hadith yang akan menjadi penyuluh hidup mereka. Selepas mereka mantap sejak kecil dengan kedua-dua ilmu suruhan Allah itu barulah kita isikan mereka dengan ilmu-ilmu alat yang lain.

Jika dorongan dalam sudah mantap, maka dorongan luaran akan dapat membantu melancarkan dorongan dalaman. Seseorang tidak akan kesunyian dalam hidupnya jika cinta Allah dan Rasul menjadi keutamaannya kerana cinta manusia bersifat tidak kekal, mereka cinta ketika kita berada (mempunyai harta) namun apabila kita sudah tidak punyai apa-apa mereka tinggalkan kita. Namun Allah dan Rasul akan tetap bersama kita sampai bila-bila.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 28 Ogos 2012.