Saturday 3 September 2011

Pengertian Jihad di Jalan Allah

Pada mulanya ketika saya ingin menulis tajuk ini saya ingin menukar perkataan “jihad” kepada perkataan lain yang lebih ringan, namun setelah memikirkan semula tidak ada perkataan lain yang akan membawa makna yang sama dengan apa yang ingin saya utarakan.

Saya merasa sedih kerana perkataan yang begitu indah telah disalahertikan. Ianya menjadi satu perkataan yang ditakuti di kalangan pengkaji Barat, malah orang Islam sendiri cuba menghindari penggunaan perkataan itu. Propaganda Barat telah menggunakan istilah ini untuk menzalimi Islam dan ummatnya melalui media-media yang mereka kuasai.

Begitu hebatnya perkataan itu sehingga Allah SWT sendiri menyebutnya banyak kali dalam Al-Quraan dan salah satunya dalam Surah Ash-Shaf (61), ayat 10-11 dengan mengatakannya sebagai suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kita dari azab yang pedih;

“Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui” (Ash-Shaf, 10-11).

Abul A’laAl-Maududi, Hasan Al-Banna dan Sayid Qutb pernah menulis sebuah buku berjudul, “Al-Jihadu Fi Sabilillah” dan telah menggariskan dengan jelas makna dan pengertian jihad di jalan Allah.

Saya memilih untuk mendalami tajuk ini kerana pada akhir-akhir ini seperti sudah ada suatu kelesuan di kalangan ummat Islam dan seolah-olah sudah hilang arah mengenai apa yang utama (aulawiyyat) dan yang tidak utama. Contohnya membakar mercun di malam raya yang sepatutnya kita bertakbir pada ketika itu, dan ratusan contoh lain yang dilakukan oleh ummat Islam yang bukan keutamaan. Hal ini sangat penting sehingga Prof Yusof Al-Qaradhawi menerbitkan suatu bidang ilmu yang beliau namakan sebagai “Fekah Keutamaan” (Fiqh Aulawiyyat) sebagai panduan ummat Islam mengetahui mana yang utama dan mana yang tidak utama.

Hal ini kalau tidak disentuh berkali-kali mungkin ummat Islam akan terbawa arus kelalaian dan akhirnya menyatakan semuanya sama saja yang akan menjurus kepada fahaman yang sangat berbahaya iaitu senkretisma (menyamakan semua agama atau kefahaman). Al-Quraan sudah dengan jelas menyatakan bahwa agama di sisi Allah hanyalah Islam (Ali-Imran, 19), tidak ada yang lain dan siapa yang mengambil agama lain Allah tidak akan terima (Ali-Imran, 85). Kedatangan Islam sekaligus menghapuskan semua agama lain pada hakikatnya, namun kerana kedegilan manusia mereka tidak menerima hakikat ini.

Perkataan jihad berasal dari Bahasa Arab, “jahada” yang bermakna berusaha bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan sehingga mencapai matlamat yang ditetapkan. Melawan segala rintangan yang menghalang tercapainya tujuan itu adalah juga termasuk jihad. Peyebaran Islam ke seluruh dunia bertujuan agar semua manusia menjadi selamat, taat dan taqwa kepada Allah yang satu. Misi penting ini seperti yang dipikul oleh Nabi Muhammad SAW perlu mendapat dokongan dan sokongan yang padu dari ummat Islam yang lain agar dunia ini selamat.

Barat memutarbelitkan pengertian jihad dan menggambarkan bahwa jihad hanya tertumpu kepada perang dan keganasan. Jarum fitnah mereka ini merasuk ummat Islam yang tidak faham tentang pengertian jihad yang sebenar dan menjadi tugas ummat Islam yang faham tentang ini untuk memperbetulkan konsep jihad dalam Islam dan apakah pengertian jihad di jalan Allah. Peperangan berlaku kerana mempertahankan diri (defensive) dan Islam bukan bersifat ofensif (offensive). Hal ini jelas dalam setiap peperangan yang berlaku pada zaman Nabi, yang bersifat mempertahankan diri dalam misi Nabi menyebarkan dakwah Islam.

Kenapa ummat Islam takut berjihad? Jawapannya telah diberikan oleh Rasulullah SAW bahwa ummat Islam, “Cinta dunia dan takut mati”. Sangat jelas dan tepat. Manusia cinta dunia seolah-olah dia akan hidup selama-lamanya, pada hal hakikatnya mereka pun tahu bahwa kematian itu akan berlaku pada bila-bila masa. Itu hakikat kebenaran dari Allah. Manusia yang hidup pun menyaksikan kematian demi kematian dari keluarga terdekat hinggalah kepada orang yang tidak dikenali. Apakah kita masih tidak percaya bahwa kematian itu akan datang? Apakah mereka tidak terpengaruh dengan “seeing is believing?”. Mustahil sekali mereka tidak sedar bahwa kematian itu akan hadir pada bila-bila masa dan dunia akan ditinggalkan apabila kematian datang.

Jawapan yang sangat pasti ialah hawa nafsu masih bermaharajalela (menguasai) dalam diri setiap manusia sehingga mereka buta kepada kenyataan yang hadir dalam hidup mereka. Cinta dunia sudah dianggap sebagai penyakit yang sangat sukar diubati. Ianya menjadi punca kepada rasuah dan salah guna kuasa yang berleluasa. Mengumpulkan harta secara tidak halal untuk membiayai tujuh atau lebih keturunan. Islam menyarankan kita menderma, berzakat, berinfak dan lain-lain kepada tujuan kebaikan dan berkongsi rezeki agar tidak timbul keresahan dalam masyarakat dan semua dapat hidup dalam aman dan tenteram.

Saya sungguh berharap agar setiap ummat Islam bermula dari pemudanya, dewasanya, orang tuanya dan segala lapisan masyarakat Islam untuk kembali kepada pengertian jihad yang sebenarnya. Mengkaji kembali sejarah perjuangan para Nabi, tulisan para mujtahid, kupasan para ulama dan keilmuan Islam zaman kegemilangan Islam agar kita dapat berjihad dalam segala lapangan demi memajukan ummat Islam. Memahami pengertian sebenar jihad pun memerlukan suatu jihad dalam diri masing-masing untuk terus mengkaji Islam dari sumber yang tepat iaitu Al-Quraan dan Al-hadith yang jika kita berpandu kepadanya tidak akan sesat selama-lamanya.

Marilah kita mencari cinta Allah, bukannya cinta manusia. Cinta Allah akan kekal selama-lamanya dan cinta manusia hanyalah sebuah fatamorgana yang akan hilang apabila kita memerlukannya. Cintailah Allah kerana Allah akan sentiasa mencintai kita bila-bila masa pun.

Wallahu a’lam.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 4 September 2011.