Thursday 1 September 2011

Persediaan faktor utama kejayaan

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim diceritakan, semasa Nabi Muhammad SAW masih lagi kecil baginda telah didatangi oleh malaikat Jibrail. Ketika itu baginda sedang bermain dengan beberapa orang kanak-kanak yang sebaya dengannya.

Maka malaikat Jibrail pun memeluk Nabi Muhammad SAW dari belakang lalu membaringkannya. Kemudian malaikat Jibrail pun membelah dadanya dan mengeluarkan segumpal darah seraya berkata; "Inilah bahagian syaitan yang ada dalam dirimu."

Kemudian malaikat Jibrail pun membersihkannya dengan air zam zam di dalam piring emas. Setelah itu malaikat Jibrail pun memasukkannya semula ke tempat asalnya.

Peristiwa itu berlaku dengan disaksikan oleh kanak-kanak yang bermain dengannya tadi. Kemudian kanak-kanak itu berlari mendapatkan ibu susuan Nabi Muhammad, Halimatus Saadiah sambil berkata; "Muhammad telah dibunuh."

Maka dengan perasaan sedih mereka pun berlari mendapatkan Nabi Muhammad yang dikatakan telah mati dibunuh itu. Menurut Anas, beliau kerap ternampak bekas jahitan itu pada dada Rasulullah SAW.

Peristiwa yang sama berulang kembali 50 tahun kemudiannya apabila Rasulullah akan diperjalankan pada waktu malam dari Mekah ke Baitul Maqdis dan seterusnya ke Sidratul Muntaha dalam peristiwa yang sangat terkenal Isra’ dan Mi’raj.

Nabi Muhammad SAW diberikan bekalan persediaan yang mantap oleh Allah di dalam hatinya agar mampu menghadapi gelora perjuangan pada zamannya. Lalu, Allah setiap masa selepas itu membimbingnya ke arah perjuangan Islam yang syumul.

Nabi Musa pun mendapat bimbingan dari Allah SWT (Surah Toha: 10 – 32), ketika akan berhadapan dengan Fir’aun. Allah memberikan Nabi Musa seorang pembantu bernama Harun yang akan membantu urusannya.

Begitulah Allah menyiapkan Nabi Muhammad SAW dan Nabi Musa AS bagi menghadapi tentangan pada zaman masing-masing. Ini menunjukkan betapa pentingnya persediaan yang rapi dalam menghadapi rintangan perjuangan yang suci.

Sesungguhnya pada diri manusia itu ada ruh dan jasad, tarbiyatul ruhiyyah sangatlah penting tanpa mengurangkan tarbiyatul jasadiyah. Tarbiyatul ruhiyyah sangat dipentingkan kerana dengan jiwa yang mantap, cekal dan istiqomah setiap perjuangan akan berjaya. Mengenai Tarbiyatul Ruhiyyah, Imam Al-Ghazali banyak menyentuh tentangnya dan Prof Yusof Al-Qaradhawi pula banyak membicarakan tentang Tarbiyatul Aulad (Pendidikan Kanak-Kanak) yang menjadi pangkal mula pendidikan sejak kecil dan diteruskan dengan pendidikan jiwa apabila dewasa kelak. Contoh pemuda yang kuat imam mereka seperti dikisahkan dalam Surah Al-Kahfi patut dijadikan panduan bagi pemuda zaman kini.

Apakah kita telah melakukan persiapan yang rapi mengenai pendidikan generasi muda yang akan memikul tanggungjawab generasi tua yang akan hilang dari pentas perjuangan menegakkan kebenaran sebentar lagi? Suatu persoalan yang perlu sentiasa berada dalam pemikiran para pejuang agama Islam.

Atas perintah Allah, malaikat membersihkan hati Nabi kita Muhammad SAW dengan air zam zam membawa makna bahwa segala persoalan bermula dari hati. Hadith yang utama yang berada dalam koleksi hadith 40 juga meletakkan masalah niat sebagai tajuk pertama dibincangkan. Ini dengan jelas menunjukkan bahwa hati yang bersarang niat yang ikhlas di dalamnya menjadi pokok utama perjuangan yang berjaya. Ramadhan diharapkan telah melatih diri kita menjadi manusia yang ikhlas dan perjuangan dan tugas harian. Sesuatu amal itu hanya dibuat kerana Allah sahaja, bukan kerana yang lain.

Kita hanya mencari cinta Allah dengan keredhaanNya. Kita tidak mencari redha manusia, biarpun dia seorang boss kerana kebenaran hanya dari Allah dan kita mesti ingat bahwa yang memberikan rezeki ialah Allah bukan boss kita, walaupun melaluinya kita mendapat rezeki. Tanpa boss pun kalau Allah ingin memberikan rezeki, rezki itu tetap akan hadir dalam hidup kita.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 2 September 2011.