Tuesday 23 August 2011

Larangan Membuat Fitnah dan Mengumpat


Apabila ada anggota keluarga kami yang cuba membawa cerita yang berbentuk mengumpat saya akan selalu menegur, “Haa… dah mula nak buat ketupat tu…”, dan mereka semua faham yang saya maksudkan ialah mereka sudah mula nak mengumpat.

Pengertian mengumpat adalah menceritakan keburukan seseorang walaupun ianya benar. manakala, maksud memfitnah pula adalah menceritakan keburukan seseorang padahal ianya tidak benar atau bohong.

Rasulullah SAW menjelaskan mengumpat ini dalam sabda baginda yg bermaksud, “mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya” (Hadis Riwayat Muslim)

Dosa mengumpat membinasakan amal kebaikan ibarat api membakar kayu kering, Dari Jabir dan Abi Said, Rasulullah SAW bersabda: “Awaslah daripada mengumpat, kerana mengumpat itu lebih keras daripada zina. sesungguhnya seseorang terkadang ia berzina dan bertaubat. Maka diterima Allah swt akan taubatnya. Dan sesungguhnya seseorang yg mengumpat, tidak akan diampun dosanya sebelum diampuni oleh orang yang diumpatnya itu.”

Mengenai balasan bagi orang yang suka mengumpat, seperti diriwayatkan oleh Abu Daud dari Anas, Rasulullah SAW bersabda: “Pada malam aku diIsra’kan aku telah melalui suatu kaum yg mencakar-cakar muka mereka dengan kuku-kukunya sendiri, maka aku berkata: “Hai Jibril siapa mereka ini? jawab Jibril: Mereka ini adalah orang-orang yang suka mengumpat dan mereka juga suka menjaga tepi kain org”. (Abu Daud dari Anas)

Oleh kerana itu, peringatan Rasulullah SAW kepada Orang Beriman melalui Sabda Rasulullah: “Wahai orang beriman dengan lidahnya, tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip keaiban (menjaga tepi kain) mereka. Sesungguhnya, sesiapa yg mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban, dan dia akan mendedahknnya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Semoga Allah SWT memelihara kita daripada tabiat suka mengumpat dan juga menjauhkan kita daripada orang-orang yang suka mengumpat. Amin.

Manusia sangat suka menyebarkan sesuatu berita tanpa mengesahkan dulu apakah berita yang didapati itu shoheh (benar) atau tidak. Allah swt mengingatkan kita melalui FirmanNya dalam Surah Al-Hujurat, ayat 6, “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Kalau panduan ini dituruti, maka tidak perlulah Harian Kompas dari Indonesia terpaksa meminta maaf kepada Perdana Menteri Malaysia beberapa hari yang lalu mengenai berita yang mereka terbitkan. Hanya Allah swt dan orang yang melakukan sesuatu perkara itu yang tahu, yang lain hanyalah membuat andaian semata-mata. Sekiranya orang berbuat sesuatu perkara itu tidak jujur dengan perbuatannya maka dia akan mencari seribu satu alasan untuk menutup keburukannya atau juga dia akan mencari seribu satu alasan untuk menegakkan kebenarannya.

Fitnah mengikut kefahaman Bahasa Melayu adalah tuduhan yang ditujukan kepada seseorang atau lebih yang bertujuan untuk menimbulkan suasana negatif kepada sesuatu peristiwa yang dilakukan oleh pihak lain berdasarkan fakta palsu. Ia bermatlamat memburukkan atau mempengaruhi penghormatan, wibawa, atau reputasi seseorang.

Dalam ayat ini Islam menekankan kaedah lebih cermat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita yang disebarkan supaya manusia keseluruhannya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah.

Setiap Muslim wajib menghalusi setiap berita yang diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu diteliti kesahihannya.

Justeru dalam Islam, ketika berhadapan dengan sesuatu perkhabaran, kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.

Fitnah berasal daripada bahasa Arab, dan pengertian asalnya adalah "cobaan" atau "ujian". Dalam Al-Quraan dan Hadis Nabi SAW, perkataan fitnah digunakan bagi menunjukkan pelbagai makna yang berbeza-beza mengikut kefahaman ayat dan ada sesetengahnya adalah boleh dirujuk sebagaimana kefahaman masyarakat kita terhadap maksud fitnah.

Maksud dan pengertian fitnah jika diselak lebar al-Quran dan hadis adalah sebagaimana berikut:

1. Kufur atau kafir

Firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermkasud:

“Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah: “Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar; tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalangi masuk) Masjidilharam dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah . Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh…” (Al Baqarah: 217)
Firman-Nya lagi yang bermaksud:

“Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim” (Al Baqarah: 193)

Kata fitnah dalam ayat ini menurut para ulama tafsir adalah bermaksud ‘kekafiran’ atau ‘kemusyrikan’. Iaitu bahawa mereka itu menyebarkan kekafiran.

Sementara sebahagian kaum muslimin oleh karena belum dikhabarkan oleh Nabi shalallahu ‘alaihi wassalam maka mereka telah melakukan kekeliruan dengan memerangi kaum musyrik di bulan haram (bulan yang ditegah berperang). Namun dek kerana kekafiran kaum musyrik itu lebih besar bahayanya daripada kekeliruan berperang di bulan suci maka keizinan untuk memerangi kekufuran yang mulai merebak adalah dituntut.

2. Bencana

Sabda nabi Sallallhu alaihi Wasallam yang bermaksud:

“Apabila datang (meminang) kepada kamu seorang pemuda yang kamu sukai agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dia dengan anak perempuan mu. Dikhuatiri akan terjadi fitnah (bencana) dan kerosakan yang besar di muka bumi.”

Perkataan fitnah dalah hadis ini memberikan maksud bencana atau musibah yang akan berlaku sekiranya perkahwinan ditangguhkan. Ini kerana syarat pemuda soleh itu adalah sebaik-baik pilihan untuk dijadikan suami kepada anak-anak perempuan.

3. Konflik

Firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud:

“Dia-lah yang menurunkan Al Kitab (Al Qur’an) kepada kamu. Di antara (isi) nya ada ayat-ayat yang muhkamaat, itulah pokok-pokok isi Al-Qur’an dan yang lain (ayat-ayat) mu-tasyaabihaat. Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat yang mutasyaabihaat daripadanya untuk menimbulkan fitnah untuk mencari-cari ta’wilnya, padahal tidak ada yang mengetahui ta’wilnya melainkan Allah…” (Ali Imran: 7)

Terdapat sebahagian orang Islam yang hanya menggunakan semata-mata penilaian mengikut aspek rasional. Sengaja mencari penafsiran ayat melalui pendekatan logik akal manusia yang terbatas semata-mata, sehingga melencong dari tafsiran yang tepat. Tujuan mereka semata-mata menyebar fitnah, iaitu mencari konflik dan perselisihan dengan sesama muslim.

Inilah penjelasan kepada ayat ini yang dengan jelas menyebut perkataan fitnah. Ia bermaksud menimbulkan konflik dan kekeliruan dalam msyarakat. Ia juga disebut sebagai propaganda.

4. Tipu

Firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud :

“Kemudian tiadalah fitnah mereka, kecuali mengatakan: “Demi Allah, Tuhan kami, tiadalah kami mempersekutukan Allah” (Al An’am: 23)

Fitnah yang dimaksud dalam ayat ini adalah ucapan tipu dan dusta, untuk membela diri mereka di hadapan Allah. Padahal Allah mengetahui hakikat mereka, dan apa yang tersembunyi dalam hati mereka.

5. Binasa

Firman Allah Subhanahu Wata’ala: yang bermaksud:

“Di antara mereka ada orang yang berkata: “Berilah saya keizinan (tidak pergi berperang) dan janganlah kamu menjadikan saya terjerumus dalam fitnah.” Ketahuilah bahwa mereka telah terjerumus ke dalam fitnah . Dan sesungguhnya Jahannam itu benar-benar meliputi orang-orang yang kafir” (At Taubah: 49)

Dalam ayat ini kaum munafik di masa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam enggan menyertai peperangangan kerana menganggap ianya adalah suatu kebinasaan (fitnah). Padahal sesungguhnya mereka telahpun berada dalam kebinasaan dengan sifat munafik. Iaitu kebinasaan diri mereka di akhirat kelak dengan balasan neraka yang paling bawah.

6. Gangguan

Firman Allah Subhanahu Wata’ala: yang bermaksud:

“Dan di antara manusia ada orang yang berkata: “Kami beriman kepada Allah”, maka apabila ia disakiti (karena ia beriman) kepada Allah, ia menganggap fitnah (gangguan) manusia itu sebagai azab Allah . Dan sungguh jika datang pertolongan dari Tuhanmu, mereka pasti akan berkata: “Sesungguhnya kami adalah bersamamu”. Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam dada semua manusia?” (Al Ankabut: 10)

Dalam ayat ini, kata fitnah membawa maksud ganguan. Inilah sifat biasa manusia yang menganggap ujian Allah dalam bentuk gangguan manusia sebagai azab.

Pengajaran yang boleh diambil
Justeru adalah jelas perlakuan fitnah secara umumnya adalah merujuk kepada tindakan yang jahat dan berdosa. Sekalipun kefahamannya adalah berbeza-beza namun hakikatnya ia merujuk kepada perbuatan yang akan membawa manusia kepada jalan Neraka.

Persoalannya, manakah tempat kembali yang lebih dahsyat selain Neraka yang disediakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala bagi mereka yang zalim yang melakukan perilaku memfitnah sesuatu yang dusta menggunakan fakta salah dengan tujuan jahat bagi menimbulkan anggapan negatif ke atas peribadi seseorang.

Mohon dijauhi Allah Negara kita dari suburnya amalan fitnah memfitnah bagi menjatuhkan maruah seseorang. Biar apa pun tujuan satu golongan membuat fitnah terhadap golongan yang lain, amat kita harapkan amalan itu ditamatkan segera.

Bercakap benar lebih baik dan mudah dari bercakap bohong kerana setiap pembohongan akan melahirkan rentetan pembohongan yang baru bagi menutup pembohongan lama. Bersikap jujurlah terhadap segala perbuatan kita kerana akhirnya Allah akan menilai setiap perbuatan yang kita lakukan di dunia untuk mendapat balasan yang setimpal di akhirat.

Ismail Abdullah, 24 Ogos 2011.