Thursday 18 August 2011

Menyambut cucu kembar dan mencari cinta Allah


Dalam sejarah keluarga kami, inilah cucu kembar kami yang pertama. Dua-duanya lahir pada 17 Ogos 2011, ketika seluruh rakyat Indonesia menyambut hari kemerdekaan mereka. Hari keramat. Abang lahir tepat jam 3.30 petang dengan berat 2.1 kg dan si adik lahir pada 3.47 petang dengan berat 2.07 kg. Tempat lahir ialah di Hospital Putrajaya. Mereka ialah cucu ke-13 dan ke-14. Ayah dan Bonda kedua-dua kembar ini ialah anak kelima kami, Dr Abdul Jabbar Ismail dan Hani Sandrawati Musli, asal Tuaran, Kota Kinabalu, Sabah.


Jadi genaplah ketika ini cucu lelaki kami 9 orang dan cucu perempuan 5 orang. Cucu-cucu lelaki ialah Nik Badrul Munir, Iqbal, Imran, Nik Hasif, Ihsan, Amirul, dan Aizad. Ini tidak termasuk dua cucu kembar kami, Adam dan Ahmad. Sementara cucu-cucu perempuan ialah Nik Sara, Iesya, Iman, Widad dan Irdina.

Jadi, pada bulan Ramadhan 1432 bersamaan dengan tahun 2011, jumlah kami sekeluarga ialah 27 orang. Ucapan syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT dan membuat Nabi Muhammad SAW merasa bangga dengan bertambahnya ummat beliau. Aku dan isteri selalu berdoa agar Allah SWT memberikan taufik dan hidayah kepada keluarga ini dan memimpin kami untuk mendidik keluarga besar ini menjadi suatu keluarga yang bersatu padu, beriman dan bertaqwa. Amin!.

Empat belas (14) hari lagi Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-54 pada 31 Ogos 2011. Walau pun kemerdekaan Malaysia ialah hasil rundingan dengan pihak British dan Indonesia hasil perjuangan mereka secara fizikal menentang penjajahan Belanda, namun hakikat kemerdekaan kedua-dua Negara sebenarnya ialah bebas dari penjajahan pemerintahan dan juga penjajahan fikiran. Namun, apakah kita benar-benar bebas dari segi penjajahan mental dan spiritual? Ini suatu pertanyaan yang sangat besar bagi pembangunan kedua-dua Negara. Bagi kami kedua-dua Negara, Malaysia dan Indonesia ialah Negara kami. Saya berasal dari Malaysia dan isteri dari Indonesia. Bertemu dan bernikah di Bandung. Sekarang kedua-dua menjadi rakyat Malaysia tulin.

Bagaimanakah kita boleh bebas dari segi penjajahan mental dan spiritual? Kalau kita perhatikan pada masa kini penguasaan ekonomi, pendidikan, persenjataan, ketenteraan, media massa dan elektronik dan lain-lain berada di tangan non-muslim dan mereka dengan pengaruh Yahudi telah mempergunakan senjata-senjata ini untuk menindas ummat Islam di Iraq dan Afghanistan. Menggunakan senjata ini juga mengugut ummat Islam negara-negara lain untuk ikut telunjuk mereka melalui ekonomi, media masa dan persenjataan. Apakah Negara Islam tidak boleh keluar dari kemelut ini dan kembali semula kepada ketamadunan Islam zaman khalifah Ar-Rasyidin dan ilmuan Islam yang terdahulu seperti Ibnu Sina, Ibnu Rush, Al-Farabi, Al-Ghazali, Imam Syafie dan lain-lain? Jawapan melalui semangat ialah ya. Namun jawapan melalui hakikat sebenar ialah sangat berat untuk bangkit kembali secara total.

Masalah utama ummat Islam sejagat ialah ketiadaan qiyadah (kepemimpinan) yang jelas. Kesatuan negara-negara Islam “Organization of Islamic Countries (OIC)” tidak banyak memainkan peranan dalam mempersatukan ummah. Perpecahan di kalangan ummat Islam sendiri telah terjadi sejak dulu dengan ujudnya dua kelompok iaitu ahli sunnah wal jamaah dan syiah. Kedua-dua kumpulan saling berperang dan berbunuh-bunuhan seperti yang berlaku di Iraq, Iran dan Afghanistan. Perpecahan ini pula disemarakkan oleh hasutan Yahudi di mana-mana yang sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi bermusuhan dengan Islam. Kerjasama antara negara-negara Islam hanyalah berupa retorik dan rasa curiga antara satu sama lain masih menebal.

Betapa pun berat, perlahan dan meletihkan kita mesti tetap bersatu dalam satu aqidah yang sama. Sama-sama mencari ilmu dan memperbaiki diri dengan semangat untuk merdeka sepenuhnya dari penjajahan minda dan spiritual. Usaha ini nampak kecil, namun inilah yang dapat kita lakukan dengan kemampuan yang ada. Hindarkan perpecahan walau di mana kita berada. “Kasih sayanglah sesama Islam dan keraslah terhadap orang-orang kafir”, ayat 29, surah Al-Fath. Apakah kita tidak memperhatikan bahwa kebalikan daripada Surah Al-Fath, ayat 29 itu berlaku di kalangan kita? Mereka keras terhadap sesama Islam dan kasih sayang terhadap orang-orang kafir. Ajaran Islam dilempar jauh-jauh dan mereka menggunakan neraca Barat dalam kehidupan.

Marilah kita cari cinta Allah.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 19 Ogos 2011.