Sunday 31 July 2011

Ramadhan membawa peluang ibadah yang sangat luas


Apa saja yang kita lakukan sepanjang hidup ini kalau dimulai dengan niat kerana Allah dan melakukan apa-apa itu mengikut hukum Allah, dan mengharap redha Allah semata-mata, maka semuanya dikira ibadah. Tidak kira apakah itu urusan agama atau urusan dunia.

Ramadhan memberikan masa yang sangat selesa untuk kita menambah iman dan taqwa kita kepada Allah kerana sejak bangun pukul 3.00 pagi hinggalah berbuka puasa pukul 7.30 malam kita mempunyai waktu yang sangat panjang untuk menukar semua kegiatan kita menjadi ibadah. Ibadah khusus yang ritual itu dianggap kegiatan agama dan kegiatan harian yang diniatkan kerana Allah akan juga menjadi ibadah. Malah tidur kita dengan niat untuk segera bangun melakukan tahajud juga akan dianggap ibadah dan tidur kita diberkati Allah.

Bagi seorang muslim apa saja yang ia lakukan dengan niat kerana Allah, mengharap redha Allah dan dilakukan sesuai dengan aturan Allah akan menjadi ibadah dan Allah akan memberikan ganjaran yang setimpal.

Puasa pula Allah sendiri yang akan memberikan ganjaran. Betapa indahnya Islam dalam membimbing hidup kita dan sangat malang bagi sesiapa pun yang tidak menerima Islam sebagai agama panduan hidup mereka. Jelas jalannya berpandukan Al-Quraan yang dijaga kesuciannya oleh Allah dan berpandukan hadith yang sahih yang diteliti dengan tekun oleh para muhaddithin (periwayat hadis).

Pada malamnya kita penuhi ibadah kita dengan solat tarawikh dan pada dini hari kita bangun untuk bertahajud dan memohon bimbingan Allah, membaca Al-Quraan dengan penuh keinsafan. Bagi yang minat mengkaji ilmu melalui buku-buku dan kitab-kitab, ramadhan merupakan masa yang sangat sesuai untuk mengulangkaji dan mempertajam minat dalam mencari ilmu. Setiap kali kita menemui sesuatu yang baru, maha suci Allah atas ilmuNya yang sangat luas tidak terjangkau manusia untuk menemui semuanya dan ilmu Allah tidak terbatas.

Melalui ingatan kepada Allah hati kita menjadi tenang, setiap kerisauan dan gundah gulana kita kembalikan kepada Allah dan pasti Allah akan melorongkan jalan keluar, hanya dengan menyerah segala urusan kepada Allah dan bekerja keras untuk menyelesaikannya, pasti Allah akan menemukan kita jalan keluar dan kemenangan.

Juga, dalam bulan Ramadhan kita digalakkan bersedekah yang pada zahirnya mengurangkan wang dalam saku kita, namun pada hakikatnya menambah pahala yang tidak terkira di sisi Allah. Jangan pernah kita merasa bahwa apa yang kita miliki itu mutlak kepunyaan kita, namun ia hanyalah pinjaman Allah kepada kita dan kita mesti atau harus berbagi kenikmatan itu untuk ummat sejagat. Melalui keikhlasan memberi, Allah akan memperkayakan hati kita dengan keimanan yang mantap kerana hidup di dunia ini semata-mata untuk beribadah kepada Allah dan ibadah dalam erti kata yang luas adalah apa saja yang kita lakukan kerana perintah Allah akan diberikan ganjaran yang tidak boleh dikira-kira dengan perkiraan manusia. Nikmat Allah itu sangat luas dan berharaplah kepada keampunan dan anugerah Allah semata-mata.

Marilah kita sama-sama memanfaatkan ramadhan kali ini dengan usaha ibadah yang sungguh-sungguh dan ikhlaskan hati kita kerana Allah. Hanya dengan mengingat Allah hati kita akan menjadi tenang. Ketenangan ialah sumber kekuatan hidup yang sangat ampuh.