Friday 21 September 2012

Bersikap positif sangat membantu dalam hidup

Sudah lama saya tidak mencoret kata-kata dalam sebuah penulisan. Kesibukan yang cukup mengikat dalam bulan Puasa, kemudian menyambut Syawal hingga sebulan. Menghadapi semester universiti yang baru saja bermula dan berbagai lagi kesibukan lain.

Apa pun keadaannya hidup mesti diteruskan. Dalam melayari hidup yang semakin menambah usia dan sekaligus memendekkan jangka hayat, kita mestilah bersikap positif kerana sikap ini sangat membantu dalam kehidupan. Situasi ini berlaku umum kerana yang muda akan mengharungi hidupnya sama seperti yang sudah berusia. Semua manusia akan menjalani hidup ini secara saksama.

Panduan kita apabila ditimpa kesusahan ialah kembalikan kepada Allah. Insya Allah, Dia akan membantu kita.

“Orang yang apabila ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepadaNya kami kembali” (Al-Baqarah, ayat 156).

Sesuatu perkara pasti akan berlaku di hadapan mata kita. Situasi jiwa kita akan ditentukan oleh reaksi kita terhadap sesuatu peristiwa itu. Marah akan membuat jiwa kita gelisah. Tidak berbuat apa-apa bermakna kita bersikap pasif dan tidak ambil kisah. Terbaik ialah kita mengambil sikap positif terhadap apa yang berlaku di hadapan kita.

Tenang dan cepat berfikir kenapa sesuatu hal itu berlaku. Senyum akan memberikan kita ketenangan dalam berfikir dan bertindak. Pertama sekali kita mesti ingat ialah pesanan Allah melalui surah Al-Baqarah ayat 156 di atas. Sesuatu apa yang berlaku datang daripada Allah dan kita kembalikan kepadaNya segala urusan. Segera memberi bantua jika berlaku kemalangan, atau jika situasi tegang dalam pertengkaran, ajak semua duduk dan berbincang mengenai apa yang sedang berlaku. Carilah kebenaran kerana kebenaran itu berasal dari Allah (Al-Kahfi, ayat 29).

Kemahiran bersikap positif ini bukan boleh didapati dalam sekelip mata, ianya mesti dibina melalui pengalaman dan amalan. Merasakan diri kita ini tersangat hina di hadapan Allah merupakan salah satu didikan ke arah bersikap positif. Tidak perlu ada sedikit pun rasa sombong dalam diri kerana yang berhak sombong hanyalah Allah. Ilmu kita sangat sedikit jika dibandingkan dengan ilmu Allah. Apa lagi dari segi harta dan kekayaan lain. Semuanya milik Allah dan tidak ada sedikit pun milik kita. Ketika kita kembali menemui Allah tidak ada satu pun yang akan dibawa bersama kecuali amal jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang selalu mendoakan kesejahteraan kita.

Semoga kita diberikan Allah sikap positif yang berpanjangan.

Ismail Abdullah, 22 September 2012.


Monday 27 August 2012

Dorongan dalaman tunjang kekuatan hidup

Apabila seseorang itu dilepas bebas ke dalam masyarakat luas tanpa apa-apa bantuan, maka yang akan memandunya dalam kehidupan ialah dorongan dalamannya, iaitu motivasi dari dalam diri sendiri. Akalnya akan memilih yang baik. Imannya akan menentukan yang haram dan halal. Ilmunya akan memberikan hala tuju ke arah kebaikan.

Jika dia mempunyai matlamat hidup yang jelas dan berpandukan kepada Al-Quraan dan Al-Hadith maka hidupnya akan selamat di dunia dan akhirat.

Hidup kita di dunia ini pun bukan pilihan kita, namun ianya adalah ketentuan illahi. Takdir Allah kita (lelaki) menjadi juara di kalangan jutaan sperma yang berebut untuk bersenyawa dengan sebutir telur wanita seperti yang Allah firmankan dalam Surah Ali-Imran ayat 6.

Pada hakikatnya kita telah dipilih oleh Allah untuk menjadi khalifah di muka bumi ini dan perlulah kita yakin dengan seyakin-yakinnya bahwa kita semua mempunyai kekuatan untuk mencari dan mendapatkan cinta Allah. Jangan sekali-kali kita menjadi lemah kerana orang lain. Kita pasti kuat dengan bantuan dan kasih sayang Allah.

Pada cuti raya di kampung baru-baru ini, saya berkesempatan berbual dengan salah seorang anak saudara yang mempunyai seorang anak dan terlalu risau dengan nasib masa depan anaknya yang tidak begitu berminat untuk bersekolah. Saya memberi pandangan agar dibina dengan teguh kekuatan atau dorongan dalamannya. Pengalaman saya sendiri berada di kampung ketika kecil dan tiada seorang idola pun yang boleh diikuti ketika itu tetapi dengan dorongan dalaman boleh menempuh segala dugaan dengan baik. Ketika kecil memang keluarga kami terlalu miskin sehingga saya pernah makan nasi dengan garam sahaja, bertolak daripada keadaan itu saya bertekad untuk berjaya.

Bagaimanakah membina kekuatan dalaman? Kini persoalan ini menjadi sangat rumit kerana apakah yang dapat dijadikan penyebab yang dapat membangkitkan kekuatan dalaman seseorang. Kalau dulu kemiskinan menjadi penyebab kerana kita merasainya sendiri dan bertekad untuk menghapus kemiskinan melalui pendidikan. Tetapi kini kemewahan meliliti kita, sehingga kita merasakan apa perlunya kita berusaha bersungguh-sungguh kerana semuanya sudah disediakan oleh orang tua kita.

Kita perlu kreatif mencari penyebab untuk membangkitkan dorongan dalaman dan sekaligus memantapkan jiwa seseorang. Saya melihat hanya Cinta Allah dan Cinta Rasul Muhammad SAW dapat menjadi penyebab yang lestari (kekal) bagi membangkitkan dorongan dalaman yang mantap. Tindakan utama kita ialah membekalkan anak-anak kita dengan ilmu Al-Quraan dan Al-Hadith. Jika mereka mantap dalam kedua-dua ilmu itu maka kita penuh yakin mereka akan mempunyai dorongan dalaman yang sangat kuat dan mereka mencintai Allah dengan sepenuh hati.

Kita diperintahkan untuk taat kepada Allah dan kepada Rasul dan kepada pemimpin (yang ikut Islam) di kalangan kamu (An-Nisa, 59). Jadi bekalan yang paling baik untuk anak-anak ialah bekalan agama yang akan menjadi panduan hidup mereka. Apabila mereka menjadi anak yang soleh dan solehah maka doa mereka akan terus mengalir kepada kita di alam barzakh (akhirat) sebagai ganjaran kepada usaha kita mendidik mereka menjadi anak yang soleh dan solehah. Apa gunanya mereka dibekalkan dahulu dengan kemahiran bermain piano, bermain bola dan sebagainya pada hal yang perlu diutamakan ialah ilmu Al-Quraan dan ilmu Hadith yang akan menjadi penyuluh hidup mereka. Selepas mereka mantap sejak kecil dengan kedua-dua ilmu suruhan Allah itu barulah kita isikan mereka dengan ilmu-ilmu alat yang lain.

Jika dorongan dalam sudah mantap, maka dorongan luaran akan dapat membantu melancarkan dorongan dalaman. Seseorang tidak akan kesunyian dalam hidupnya jika cinta Allah dan Rasul menjadi keutamaannya kerana cinta manusia bersifat tidak kekal, mereka cinta ketika kita berada (mempunyai harta) namun apabila kita sudah tidak punyai apa-apa mereka tinggalkan kita. Namun Allah dan Rasul akan tetap bersama kita sampai bila-bila.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 28 Ogos 2012.


Wednesday 15 August 2012

Huffaz Al-Quraan suara alunan mereka merdu

Rasa sejuk hati dan tenang jiwa bila berimamkan seseorang hafiz (hafal Al-Qur’an). Bacaannya mengalunkan suara merdu dan berirama indah. Terasa ingin lama sekali menikmati suasana itu.

Solat Magrib, Isya dan tarawikh bulan Ramadhan Kareem kali ini agak puas kerana ramai huffaz yang mengimamkan solat wajib dan tarawikh silih berganti. Saya sendiri sangat terkesan dengan cara mereka membaca ayat-ayat suci itu dengan tertib dan teratur. Hampir semua huffaz yang mengimamkan solat mempunyai nada suara dan intonasi yang hampir sama, suara mereka lembut dan menghanyutkan. Mungkin ada cara tertentu mereka menghafal Al-Qur’an. Semoga ada diantara empat belas (14) cucuku kini menjadi hafiz yang dapat menyejukkan hati atuk dan eyangnya. Amin!.

Rata-rata yang saya perhatikan para huffaz bertubuh kurus dan berperwatakan sopan. Bentuk badan dan perwatakan yang demikian adalah hasil daripada didikan Al-Qur’an yang mereka baca setiap saat. Oleh kerana mereka menghafal Al-Qur’an jadi setiap saat mereka ingat setiap huruf Al-Qur’an dengan jelas dan menjadi wirid harian mereka. Alangkah indahnya hidup yang demikian. Mereka akan dapat memberikan syafaat kepada sepuluh (10) orang pilihan mereka di akhirat nanti. Semoga setiap keluarga muslim di dunia ini mempunyai seorang hafiz di dalam keluarga mereka agar semuanya dapat selamat dari siksaan api neraka.

Apakah semangat untuk menghafal Al-Qur’an ada dalam jiwa setiap muslim kini? Ini suatu persoalan berat yang perlu kita fikirkan bersama. Kita perlu melhat Al-Qur’an sebagai panduan hidup Islami yang dapat memimpin ummat Islam ke arah jalan kebenaran. Membina masyarakat madani dan menjana negara yang dirahmati. Terdapat begitu banyak pusat-pusat tahfiz Al-Qur’an yang memerlukan perhatian dan bantuan kita.

Sangat berpandangan jauh sesiapa yang menumpukan ke arah ini dengan menghantar anak-anak atau cucu-cucu mereka ke pusat-pusat tahfiz Al-Qur’an kerana pandangan mereka begitu jauh iaitu ke akhirat. Jangan pula kita berlumba-lumba menghantar anak-anak atau cucu-cucu kita ke kelas-kelas musik atau karaoke yang tujuannya tidak jelas dan tidak mengarah kepada mencintai Allah SWT. Rebutlah akhirat dan kita akan mendapat dunia sekaligus. Ahli-ahli ilumuan Islam silam seperti Ibnu Sina, Ibnu Rusy, Ibnu Taimiyyah, Al-Khawarizmi dan lain-lain merupakan huffaz yang terbilang. Mereka pakar dalam bidang-bidang perubatan, matematik, astronomi, undang-undang dan lain-lain. Mereka memperolehi dunia dan sekaligus akhirat.

Barang siapa yang mahukan dunia mestilah berilmu dan barang siapa yang inginkan akhirat hendaklah dengan ilmu, juga kalau inginkan kedua-duanya juga dengan ilmu (maksud sebuah Hadith). Hidup tanpa ilmu tidak akan bermakna dan setiap ilmu hendaklah dimulai dengan mengenali Al-Qur’an terlebih dahulu kerana Al-Qur’an merupakan garis besar panduan hidup dan melalui akal yang Allah berikan kepada kita, kita dapat memperdalamkan setiap ilmu tersebut secara teknikal dan mendalam kemudian.

Mujahadah mencintai Allah merupakan gerak kerja yang berat dan membebankan kepada manusia yang tidak mahu mencari kebaikan di dunia atau pun di akhirat. Kenapa mereka boleh menghabiskan masa berjam-jam dalam hal-hal yang melalaikan berbanding menghabiskan masa dalam hal-hal yang menuju kepada cinta kepada Allah yang lebih kekal. Paling kurang mereka dapat membahagi masa yang seimbang antara keperluan akhirat dengan keperluan dunia, tetapi masyarakat kebendaan kini lebih mengutamakan dunia daripada akhirat. Kita belum nampak apakah bentuk negara maju yang ingin kita bentuk pada tahun 2020 yang tinggal 8 tahun saja lagi. Apakah hanya maju dalam kebendaan dengan kekosongan jiwa? Atau kita ingin membina masyarakat yang maju secara fizikal dan juga jiwa bersama-sama.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 16 Ogos 2012.


Tuesday 31 July 2012

Ramadan Membina Sikap Positif Diri

Tahap kebahagian hidup kita bergantung kepada apa reaksi yang kita berikan kepada yang berlaku di sekeliling kita. Jika reaksi kita negatif maka akan terbentuk sebuah titik hitam dalam hati kita, sementara reaksi positif akan memadamkan titik-titik hitam lama satu demi satu sehingga hati kita akhirnya bersih dari noda hitam. Ingat, setiap reaksi negatif akan menambahkan noda-noda hitam dalam hati kita sehingga lama kelamaan sangat sukar bagi kita membersihkannya. Hanya orang yang bersikap positif sahaja yang akan bahagia hidupnya selama-lamanya.

Ramadan dapat mendidik kita untuk bersikap positif dan memberikan sepenuh kepercayaan kepada Allah SWT dan sekaligus mencintaNya dengan sepenuh hati. Latihan berpuasa sangat mendalam kesannya kepada hati kita. Rasa tanggungjawab yang sangat tinggi ditanamkan kerana tiada siapa yang tahu sama ada kita berpuasa atau tidak, kecuali Allah SWT dan diri kita sendiri. Sebab itu puasa ialah satu-satunya ibadah yang Allah SWT sendiri yang akan memberikan ganjarannya. Segala dosa yang lalu diampunkan dan diberikan anugerah syurga kepada sesiapa yang berpuasa dengan hati yang ikhlas kerana Allah SWT semata-mata.

Dalam kehidupan ini hanya 10% sahaja kejadian yang tidak dapat kita kawal, 90% lagi berada dalam kawalan kita sepenuhnya melalui akal yang Allah SWT anugerahkan kepada kita. Antara perkara yang kita tidak boleh kawal ialah takdir Allah, bencana besar, cuaca, qadha dan qadar dan lain-lain yang sealiran dengannya. Perkara lain semuanya kita boleh pilih untuk melakukannya atau tidak melakukannya. Ada dua jalan yang akan kita tempuh, satu jalan ke syurga dan satu lagi jalan ke neraka. Kita yang memilih jalan mana yang kita hendak. Tentunya kita akan pilih jalan ke syurga.

Kini puasa kita sudah memasuki fasa “magfirah” iaitu fasa keampunan dari Allah SWT yang berlaku pada 10 hari kelompok kedua dalam bulan Ramadan. Mohonlah kepada Allah apa saja yang terbuku di hati dan terasa ingin kita punyai. Allah Maha Penyanyang dan Maha Pemberi terhadap apa yang kita minta. Jangan ada sedikit pun rasa ragu terhadap kekayaan Allah kerana Allah itu Maha Kaya dan Maha Bijaksana. Rasakan dalam hati kita betapa dekatnya kita kepada Allah ketika kita berpuasa, rasa rendah diri yang teramat sangat terhadap segala kekurangan kita. Curahkan air mata sehabis-habisnya dan kembalilah dengan hati yang bersih, ceria dan positif.

Merdekakan diri kita dari segala belenggu yang ada pada diri sendiri dan juga jangan sesekali bergantung kepada orang lain. Jika kita tidak menyebukkan diri kita dengan Allah, maka akan ada makhluk yang akan membuat kita sibuk dengan urusan mereka. Orang yang merdeka akan berupaya membuat keputusan yang jitu dan tanpa ragu-ragu kerana Allah selalu bersama orang mempunyai penuh keyakinan diri.

Bulan puasa ini kita diberikan kesempatan waktu yang sangat banyak untuk melakukan muhasabah diri. Diberikan kita banyak waktu untuk melihat kembali apa yang silap pada masa lalu dan memperbaikinya untuk kejayaan masa depan. Melihat segala keaiban diri terhadap kebesaran Allah SWT. Apakah solat kita telah menuju kesempurnaan?. Apakah kita melakukan solat berjamaah di Mesjid berdekatan dengan kita? Berbagai bentuk pertanyaan dapat kita ajukan kepada diri sendiri demi memperbaiki diri dan membina sikap positif bagi diri kita sendiri untuk mengharungi hidup mendatang yang penuh pancaroba. Kini bukan lagi panca (lima) dalam istilah pancaroba tetapi multi (banyak) dan mungkin kita terpaksa menggunakan pula perkataan multiroba bagi menggambarkan cabaran yang begitu banyak yang akan dihadapi oleh manusia hidup.

Cara terbaik dalam menghadapi multiroba itu ialah dengan kembali kepada keampunan Allah (magfirah fi Llah) dengan memohon sebanyak-banyak keampunan ketika kita masih diberikan nafas untuk bernyawa dan hidup. Semoga puasa ini dapat membina diri kita menjadi manusia yang positif dalam menghadapi segala ujian daripada Allah SWT. Amin!

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 1 Ogos 2012.


Friday 20 July 2012

Ramadhan Bulan Muhasabah Diri

Entah kenapa setiap kali Ramadhan tiba hati saya merasa sayu dan amat hiba. Terasa sungguh Allah SWT ingin menyampaikan sesuatu melalui bulan yang sangat saya tunggu ini. Bulan yang sungguh mulia.

Ketika saya masih di darjah empat sekolah kebangsaan, kami berpuasa ketika padi hampir masak dan terpaksalah berpindah tinggal di dangau (rumah kecil) di kawasan sawah ayah saya. Jarak antara rumah kami dengan dangau itu ialah sekitar lima kilometer (tiga batu). Tiap pagi kami terpaksa berjalan kaki ke sekolah yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah tetapi enam kilometer dari dangau di kawasan sawah. Perjalanan itu terpaksa kami tempuhi dan berjalan beramai-ramai dengan kawan-kawan yang ayah mereka berpindah sementara ke dangau masing-masing. Bila berjalan beramai-ramai tidak terasa penat sangat. Perpindahan ini perlu bagi menjaga padi yang sedang masak agar tidak dimusnahkan oleh babi hutan yang mengganas ketika malam.

Saya masih ingat kalau ada saja babi hutan yang akan merusakkan padi, anjing PakSu Man yang tinggal sekitar 500 meter dari dangau kami akan menyalak dan menghalau babi hutan itu. Terjaga sementara apabila anjing menyalak tetapi sambung tidur apabila suasana kembali reda. Ayah dan Ibu terus terjaga dan menjaga kami adik beradik dari gigitan nyamuk.

Saya hiba kerana terkenang kesusahan yang ditempuhi masa lalu dengan cabaran kemiskinan waktu kecil. Ayah dan Ibu terpaksa bekerja keras untuk menyara kami sekeluarga dengan mengusahakan sawah dan getah. Ketika tiba waktu bulan puasa biasanya dahulu kami diberi cuti sebulan atau sekurang-kurangnya dua minggu untuk berpuasa di rumah sambil bercuti daripada kegiatan sekolah. Ketika ini saya membantu ayah dan ibu untuk mengerjakan sawah dan menoreh getah. Letih juga kerana berpuasa tetapi latihan itu amat berkesan kerana dalam serba kekurangan kami masih mempunyai motivasi untuk berusaha mencari rezeki.

Kini apabila tiba Ramadhan saya terus terbayang ketika kesusahan melanda dan menjadikan bulan ini sebagai medan untuk bermuhasabah diri atas kesusahan masa lampau dan sangat bersyukur dengan rezeki yang Allah SWT berikan masa kini. Pada bulan inilah kita dilatih untuk bangun awal sekitar jam 3 atau 4 pagi, membuat persediaan sahur atau setidak-tidaknya menemani isteri menyediakan sahur untuk keluarga. Lepas sahur kita mempunyai waktu untuk membaca Al-Quraan dan membaca kitab-kitab agama Islam bagi memandu diri ke arah kebaikan. Mendekati Allah SWT yang telah memberikan kita rezeki yang melimpah ruah.

Ketika siang dalam keadaan lapar dan dahaga fikiran kita mengalir cergas, keinsafan tentang perangai diri yang lemah akan terungkai dan memberikan penyesalan yang mendalam bagi memperbaiki diri agar lebih maju dan dekat dengan Maha Pencipta. Kita mula merenungi apakah sebenarnya tujuan hidup kita berada di dunia ini? Apakah selama ini kita berbuat baik atau sebaliknya. Sejauh ini apakah pencapaian hidup yang telah kita perolehi dan berbagai persoalan lain yang bermain di fikiran kita. Dalam bulan yang mulia ini juga kita digalakkan banyak bersedekah. Memberi dengan ikhlas dan mengharap rahmat dari Allah dengan banyak berdoa. Melalui perbuatan memberi hati kita akan menjadi bersih dan harta kita menjadi berkat. Hidup akan lebih tenteram dan teratur.

Dalam bulan ini juga kita sangat berdisiplin ketika berbuka, malah kita menunggu untuk berbuka. Ini ialah suatu disiplin masa yang unggul. Kita sangat berharap agar disiplin masa ini dapat terus bertahan ketika di luar bulan Ramadhan. Demi masa, semua manusia berada dalam kerugian kecuali mereka yang beramal saleh dan nasihat menasihat dalam kebaikan dan kesabaran.

Semoga bulan yang mulia ini kita jadikan sebagai bulan muhasabah diri dan keluar kita nanti pada 1 syawal kita menjadi manusia baru yang penuh dengan motivasi dan berfikiran positif untuk terus berbakti kepada Allah SWT.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 20 Julai 2012.


Monday 26 March 2012

Mewakafkan apa yang kita ada untuk Allah

Sejak pulang dari Umrah dan Ziarah pada 20 Mac 2012, aku bertekad untuk mewakafkan waktu untuk Allah demi kebaikan aku dan ummah. Waktu yang ingin ku wakafkan untuk Allah ialah waktu antara selepas solat Magrib hingga solat Isyak. Walau pun waktunya lebih sedikit daripada setengah jam hingga 45 minit, namun aku bertekad untuk istiqomah dengannya.

Aku mengambil keputusan untuk berada di mesjid As-Solihin, Teras Jernang pada masa itu sama ada untuk mendengar kuliah yang sudah diatur oleh mesjid atau pun membaca hal-hal agama. Jika dapat aku lakukan selama 21 hari ianya akan menjadi suatu kebiasaan dan jika dapat dilakukan selama lebih 60 hari kebiasaan itu akan menjadi kekal. Jika aku bertugas keluar kota, waktu itu boleh juga diurus dengan mana-mana mesjid yang berhampiran dengan tempat tugas.

Mengambil pengajaran daripada bersolat di Mesjid Nabi di Madinah dan juga bersolat di Masjidil Haram, Mekah, biasanya aku menunggu solat Isya selepas solat Magrib dengan membaca Al-Qur’aan. Di kedua-dua masjid tersebut setiap waktu solat diuruskan dengan tepat sekali dengan memberi masa sekitar 20 minit selepas azan setiap waktu solat untuk jamaah berkumpul di mesjid bagi melakukan solat berjamaah. Oleh kerana kedua-dua mesjid tersebut tersangat besar, maka kuliah-kuliah diadakan secara halaqah (kumpulan) kecil dan apabila masuk waktu solat semua halaqah akan bubar serentak dan bersiap sedia untuk solat berjamaah.

Keperluan untuk mendalami agama baik untuk diri sendiri atau untuk ummah adalah sangat penting dan sesuai dengan maksud ayat 122, Surat At-Taubah berikut:

“Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mu’min itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya” (At-Taubah: 122).

Setidak-tidaknya dengan mendalami agama, arah hidup kita ada panduan dan jika ada yang memerlukan nasihat kita boleh berikan berdasarkan dua sumber yang otentik iaitu Al-Qur’aan dan Al-Hadith sahih.

Selain mewakafkan waktu, ummat Islam sangat digalakkan mewakafkan harta benda, wang ringgit, tenaga dan sebagainya untuk mencari cinta Allah. Dalam surah As-Saff, ayat 10 hingga 13, Allah menawarkan kita suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan diri kita daripada azab yang pedih, mendapat syurga, mendapat pertolongan Allah dan mendapat pertolongan daripada Allah dan mendapat kemenangan yang dekat.

“Hai orang orang yang beriman, mahukah Aku tunjukkan kepada mu suatu perdagangan (perniagaan) yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih” (As-Saff:10)

“Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad dijalan Allah dengan harta dan jiwa mu. Itulah yang terlebih baik bagi mu, jika kamu mengetahui” (As-Saff : 11)

“Nescaya Allah mengampuni dosa mu dan memasukkan kamu kedalam syurga yang mengalir dibawahnya sungai sungai dan ketempat tempat tingal yang baik didalam syurga Aden. Itulah kemenangan yang agong” (As-Saff : 12)

“Dan (ada lagi) kurnia lain yang kamu cintai (iaitu) pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang orang Mukmin” (As-Saff(61) : 13).

Semua urusan perniagaan dengan Allah dan juga dengan manusia memerlukan sifat jujur yang hakiki, bukan jujur bila di hadapan orang dan curang sebaliknya. Konsep Ihsan dalam Islam menggambarkan bahwa segala apa yang kita lakukan berada di bawah pemerhatian Allah, walau pun manusia tidak tahu. Hati kecil kita akan tahu apabila kita tidak berlaku jujur dalam segala urusan.

Jika hanya cinta Allah yang kita cari, maka Allah sudah menjanjikan syurga bagi mereka yang menyahut panggilan berniaga dengan Allah. Lebih banyak mewakafkan waktu, harta, tenaga, ilmu dan sebagainya adalah sebahagian daripada konsep berniaga dengan Allah kerana ramai manusia lain yang memerlukan bantuan kita walau pun mereka tidak menyatakan secara terang-terang, namun bagi manusia yang cerdik mereka dapat memikirkan keperluan manusia melalui pergaulan dengan mereka dan membaca atau mendengar penderitaan mereka.

Memang secara fizikal kita merasa kehilangan apabila melakukan wakaf, namun secara rohaniah kita merasa sangat puas dengan dapat memberi daripada meminta. Kita akan segera kaya rohani walau pun nampak secara lahiriah miskin harta. Percayalah dengan memberi ke jalan Allah, kita akan dapat lebih daripada apa yang kita berikan.

Marilah sama-sama kita mewakafkan apa saja yang kita ada demi menjayakan dakwah kepada ummat manusia dengan menyebarkan kebaikan dan keselamatan bukan menjaga punca kepada masalah ummat sejagat.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 27 Mac 2012.

Wednesday 29 February 2012

Mantapkan kekuatan dalaman

Dalam satu keramaian, seorang anak kecil sedang memerhatikan belon dilepaskan ke udara dan satu persatu belon itu naik dan menghilang. Ada yang berwarna merah, hijau, coklat dan berbagai lagi warna kegemaran kanak-kanak,namun anak ini tidak melihat belon warna hitam.

“Apakah belon warna hitam akan juga naik seperti belon-belon lain ayah?” Tanya di anak kecil itu kepada ayahnya yang berdiri tekun memerhatikan gelagat manusia ramai yang melepaskan belon masing-masing ke udara.

“Nak, bukan warna belon yang menentukan belon itu naik tetapi yang menentukan belon itu naik atau tidak ialah apa yang ada dalam belon itu.” Jawab di ayah dan si anak mengangguk-angguk seolah-olah faham dengan kata-kata ayahnya.

Ternyata yang menaikan belon ialah gas yang ada dalam belon itu, bukan warna belon itu. Kiasan ini boleh kita aplikasikan kepada kemajuan diri manusia. Naik turunnya manusia dalam kehidupan ini bergantung kepada kualiti dalamannya, bukan kondisi luaran. Jika kualiti dalaman manusia itu unggul, maka apa saja yang dia lakukan akan memberi impak positif pada dirinya dan lingkungan hidupnya. Karakter dalamannya menentukan gagal jaya hidupnya bukan factor-faktor luaran.

Kekuatan dalaman diri tidak boleh dibina secara spontan (segera), namun ianya bermula dari pendidikan keluarga, watak ayah dan ibu akan menjadi ikutan anak-anak dalam proses pembesaran mereka. Nilai-nilai murni mesti dinyatakan dan dipraktekkan dengan tegas dalam keluarga. Nilai-nilai sejagat seperti jujur, amanah, tidak sombong dan sebagainya harus menjadi amalan hidup. Rasulullah s.a.w. adalah contoh terbaik dalam akhlak mulia. Beliau diutuskan ke dunia ini ialah untuk memperbaiki akhlak. Menjadi rahmat seluruh alam.

Banyak ayat-ayat Al-Quraan dan hadith-hadith Rasulullah s.a.w. menekankan agar manusia memiliki akhlak yang mulia dan jatidiri (kekuatan dalaman) yang mantap. Jika tidak apa saja pembangunan yang kita lakukan hanyalah menunggu masa untuk hancur di tangan-tangan manusia yang berakhlak buruk.

Sifat ihsan misalnya mendidik jiwa agar selalu berlaku baik dan jujur walau pun tiada manusia yang melihat, namun Allah s.w.t. senentiasa melihat apa saja yang kita lakukan. Ketika berpuasa tiada siapa yang tahu kita berpuasa atau tidak, namun Allah s.w.t. tahu semua apa yang kita lakukan. Sebab itulah sifat jujur ini menjadi sifat utama diri yang patut dimiliki. Seharusnya yang patut kita takut hanyalah Allah, bukan manusia biasa seperti kita. Manusia boleh datang dan pergi, namun Allah tetap ada bersama kita walau di mana pun kita berada. Siapakah yang akan membantu kita secara jujurnya dalam waktu kita susah dan juga senang? Dalam zaman manusia semakin bersifat materialistic ini kekuatan dalaman diri sangat penting. Melalui ilmu dan pembacaan kita dapat melakukan muhasabah (audit diri) hampir setiap saat, menilai apakah jalan yang kita tempoh sekarang ini sesuai dengan kehendak Allah dan RasulNya atau tidak.

Dalam sebuah hadith, Rasulullah S.A.W. bersabda ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Sejak terbitnya hadith tersebut umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Uthmaniyah.

Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary R.A. telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”. Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.

Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya.

Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” di dalam hadis tersebut.

Itulah sebahagian daripada kekuatan dalaman ummat Islam terdahulu. Kekuatan dalam Sultan Muhammad Al Fatih telah ditanam oleh datuk beliau sejak kecil lagi dengan membawa Muhammad Al Fatih ke pinggir kota Constantinople dengan mengatakan bahwa, suatu hari nanti cucunya akan menawan kota itu. Ternyata kekuatan dalaman yang ditanamkan kepada Sultan Muhammad Al Fatiha menjadi suatu kekuatan yang tidak dapat dikalahkan oleh sesiapa pun dan betapa kuat sekali pun gelombang yang menentang namun kekuatan itu akan dapat menewaskan segala rintangan.

Mari kita pupuk kekuatan dalaman berasaskan Al-Quraan dan Al-Hadith dalam diri dan jiwa anak-anak kita agar mereka hidup dengan suatu kekuatan luar biasa dalam diri mereka sendiri tanpa mengharapkan kekuatan lain selain daripada kekuatan Allah s.w.t dan panduan Rasulullah s.a.w. Nabi Muhammad.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 1 Mac 2012.

Wednesday 22 February 2012

Menyebarkan kebaikan sejagat melalui teknologi terkini


Pada 22 Februari 2012, saya dan kawan Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia berpeluang bertemu muka dengan pendiri productmuslim.com sebuah kumpulan yang bergerak cergas dalam berdakwa menggunakan teknologi ICT moden dan dibantu dengan laman web mereka http://www.productivemuslim.com/

Pendiri productivemuslim .com ini kelihatan masih muda, sehat dan bertenaga. Beliau Tinggal di Jeddah. Dalam laman webnya beliau menamakan dirinya Abu Productive, walau pun nama sebenar beliau ialah Mohammed Faris, seorang pemuda Arab tinggi kurus dan kacak. Kelihatannya beliau mengamalkan apa yang beliau sebarkan.

Formula pertama yang beliau kemukakan ialah “productivity = focus + energy”. Pembolehubah “focus” dan “energy” merupakan pembolehubah bebas yang perlu kita variasikan bagi mendapatkan hasil kerja yang maksima. Beliau seterusnya berbincang lanjut bagaimana menguruskan “focus” dan “energy” sebagai suatu jihad kepada memaksimakan pahala di akhirat nanti. Mencari keberkatan hidup melalui amal yang kita dapat bawa pulang ketika dipanggil Allah nanti. Beliau menamakan berkat sebagai hubungan spiritual kepada produktiviti. Beliau memberikan contoh hidup yang diberkati Allah seperti kehidupannya Imam An-Nawawi yang hanya hidup 45 tahun di dunia, namun hasil kerjanya melebih daripada orang yang hidup lebih lama dengan menghasilkan lebih daripada 40 buah kitab.

Beliau selanjutnya menyenaraikan lapan belas sumber keberkatan iaitu (1) niat baik (good intentions), (2) alim dan percaya kepada Allah, (3) meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada Allah, (4) membaca Al-Qur’aa, (5) selalu menyebut “bismillah”, (6) makan bersama-sama dengan yang lain, (7) jujur dalam perniagaan, (8) selalu berdoa, (9) pendapatan yang halal, (10) ikuti sunnah Nabi, (11) solat istikarah, (12) bersyukur kepada Allah, (13) menderma (charity), (14) teguhkan tali persaudaraan, (15) bangun pagi, (16) berkahwin, (17) melakukan solat, (18) selalu beristigfar (mohon ampun atas segala dosa).

Kegiatan harian yang perlu dijadikan amalan ialah melakukan solat sunat sebelum dan sesudah solat fardhu, bertahajud, dan membaca Al-Qur’aan sekurang-kurangnya 30 minit sehari. Semua ini memerlukan mujahadah dan tahap disiplin yang tinggi.
Dalam hidup ini kita memerlukan cita-cita yang tinggi iaitu berbakti kepada Allah (serving Allah), melakukan amalan yang diwajibkan dan disunnatkan seperti solat, puasa dan sebagainya. Juga jangan ketinggalan untuk membuat muhasabah diri (self-accountability) setiap ketika bagi membetulkan arah tuju kepada redha Allah. Semua ini memerlukan kita melengkapi diri dengan pengetahuan, tindakan dan istiqomah.

Ada tiga sikap manusia dalam menghadapi hidup ini, iaitu pertama; semuanya bagus “everthing is fine”, kedua; bersikap tunggu dan lihat (we will cross that bridge when we are there), dan ketiga; berserah diri secara sepenuhnya kepada qada dan qadar kerana semuanya telah tertulis di Lauh Mahfudz. Manusia yang bersikap “semuanya bagus” perlu tahu sedalam-dalamnya apakah yang dikatakan bagus itu? Apakah laut tidak pernah bergelombang? Tidak cukup dengan hanya mengatakan “semuanya bagus” tetapi produktiviti tidak ke mana, sasaran tidak tercapai, dan hidup pun ala kadar saja. Perlu kepada perincian apa yang dikatakan bagus dan perlu menilai hidup setiap masa.

Manusia yang bersikap “tunggu dan lihat” tidak mempunyai perancangan dalam hidup, boleh dikatakan tidak proaktif. Sudah tahu hidup ini memerlukan pengorbanan, tetapi masih memeluk tubuh ketika selesai solat subuh, tidak tahu apa yang hendak dan patut dilakukan. Ingat! Kalau kita tidak sibuk melakukan apa yang kita rancang, orang lain akan merancang untuk kita. Apakah kita akan hidup mengikut skrip orang lain?. Manusia yang mempunyai sikap “semuanya dah tertulis” akan hilang dinamikanya dalam hidup. Allah menyediakan akal dan “free will” bagi manusia, melalui doa, apa yang sudah tertulis itu Allah masih boleh membuat koreksi atas limpahan rahmatNya. Jangan sekali-kali berserah diri kepada takdir, harus tetap berusaha.

Dalam mengharungi hidup ini diperlukan kekuatan spiritual, kekuatan fizikal, dan tanggungjawab social (social responsibility). Kita perlu mengurus tidur, makan dan kegiatan dengan sebaik mungkin. Kepincangan dalam mana-mana aspek diri akan membawa kepincangan dalam kehidupan. Setiap apa kebaikan yang ingin kita lakukan, syaitan akan cuba menggangu dan kita mesti mempunyai kekuatan untuk menentang syaitan dalam berbagai bentuk, kadang syaitan boleh berbentuk manusia, harta, pangkat, wang ringgit, status, ego dan sebagainya. Jadikan sesuatu yang baik itu sebagai amalan dan amalan akan melekat apabila dilakukan selama 21 hari dan akan kekal jika kita boleh melakukannya selama 66 hari berterusan.

Bagi mendapatkan tenaga (energy) atau stamina hidup kita memerlukan senaman (exercise) dan bagi melakukan senaman bukan semestinya pergi ke gymnasium (gym) saja. Di mana-mana pun kita boleh lakukan senaman, contohnya menggunakan tangga berbanding “lift”, berjalan kaki kalau jarak yang dekat, berbasikal, mengangkat barang dan sebagainya. Asalkan setiap hari badan kita bergerak, jangan duduk berjam-jam pada satu tempat tanpa tiada langsung pergerakan. Ini sangat bahaya bagi perkembangan diri.

Kita pun perlu menguruskan tidur dengan baik. Amalan orang-orang soleh ialah tidur awal kerana mereka akan bangun melakukan solat malam (tahajud) dan melakukan kerja-kerja ilmiah dan sebagainya pada waktu pagi dengan udara yang bersih dan nyaman.

Tidur ada beberapa kitaran dan setiap kitaran mengambil masa antara 90 hingga 120 minit. Tiap kitaran pula mempunyai lima (5) fasa iaitu fasa terlelap (falling asleep) selama 20 minit, fasa tidur ringan (light sleep) juga selama 20 minit, kemudian fasa tidur nyenyak pertama selama 20 minit, fasa tidur nyenyak kedua selama 20 minit, terakhir fasa mimpi juga selama 20 minit. Kiraan minit ini adalah anggaran saja dan akan berlainan bagi setiap individu.

Tidur yang baik harusnya dimulai dengan mengambil wudhuk, jika boleh solat witir (solat sunat bilangan ganjil), membaca tiga “qul” dan tidur dengan muka menghadap kiblat. Selama tidur selalulah ingat Allah, jika terjaga berdoalah dan bersyukur kepada Allah kerana menghidupkan kita semula sesudah “mati” (tidur).

Satu amalan yang baik ialah jangan makan selepas pukul 8.00 malam, jangan ambil “caffien”, tidur dalam bilik yang dingin, baca ringan-ringan sebelum tidur, jangan amalkan tengok TV atau computer bagi mengiringi tidur dan banyak berdoa agar tidur kita itu berkat dan dibangunkan untuk solat tahajud sebelum subuh.

Satu amalan harian yang baik ialah tidur sebentar “nap” pada waktu siang. Tidur sebentar selama 60 minit waktu siang akan membantu kesegaran badan “alertness” selama 10 jam. Rasulullah mengamalkan tidur sebentar sebelum solat zuhur dan solat subuh. Badan kita selalunya tegang pada pukul 2.00 hingga 4.00 pagi dan antara pukul 1.00 hingga 3.00 petang. Pada waktu-waktu itu jangan paksa diri bekerja atau turut tegang kerana sangat merbahaya, apalagi kalau kita sedang memandu. Bersihkan hati ketika akan tidur dengan memaafkan semua orang, jangan ada sengkita ketika akan tidur, dan jangan tidur dalam keadaan marah. Carilah ketenangan dalam tidur kerana tidur itu sebagai sesuatu yang membahagiakan, bukan suatu derita.

Muhammed Faris juga menyentuh tentang “focus”. Ramai manusia tidak Berjaya dalam hidup ini kerana tidak “focus”. Foto yang dihasilkan kerana tidak “focus” (kelabu) bukanlah foto yang ingin kita simpan dan abadikan. Begitu juga hidup yang tidak focus akan mengurangkan produktiviti. Beliau memberikan formula, “focus = disconnect + simply” bagi menggambarkan tentang focus.

Bagaimana melakukan “disconnect”, antaranya tinggalkan “handphone” di rumah kalau ke surau atau mesjid, cari tempat sunyi yang boleh bersendirian, keluar bermusafir, sekat internet melalui perisian tertentu (misalnya perisian freedom).

Dalam hal “simply” pula, kita perlu mengambil sikap zuhud, bercukupan (qanaah), mementingkan orang lain dari diri sendiri, tenang jangan tergopoh gapah, dan sebagainya. Pada asasnya sederhana dalam hidup dan segalanya. Bagaimana membaguskan solat? Segera ke mesjid bila dengar azan dan berhentikan semua percakapan dan kerja dan solat pada awal waktu di mana kita berada.

Itulah beberapa pengajaran yang dapat saya kutip ketika bersama berdiskusi dengan pendiri productivemuslim.com Muhammed Faris, semoga coretan ini ada manfaat buat pembaca. Sila ke laman web productivemuslim.com bagi mendapatkan info lanjut dan berlanggan “e-newletter” mereka.

Semoga hidup kita menuju ke ridha Allah setiap hari.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, Khamis, 23 Feb 2012, 1 Rabiulakhir 1433H.

Tuesday 14 February 2012

Getaran Cinta Dalam Rumah Tangga

Pada mulanya saya akan menggunakan tajuk “Gelombang Cinta Dalam Rumah Tangga”, tetapi akhirnya berpuashati dengan tajuk di atas.

Banyak kata-kata manis disebut tentang cinta seperti, “cinta itu bahagia”, “cinta itu segala-galanya”, “cinta itu mengikat kasih sayang keluarga” dan sebagainya. Namun apabila cinta itu dijadikan sebagai komoditi untuk diperdagangkan melalui wajah yang cantik dan kata-kata yang sedap didengar, maka cinta itu sudah menjadi sesuatu yang diragui dan ramai yang cuba menjauhinya atau ramai yang tidak yakin lagi dengan situasi itu. Apakah masih ujud cinta sejati seperti Laila dan Majnun, seperti Romeo dan Juliet. Nampaknya cinta ada pasang dan ada surutnya.

Gelombang merupakan salah satu media penghantaran tenaga, dan amaran (signal) dari sumbernya kepada satu penerimanya. Perlu ada sumber getaran bermula dan perlu juga ada penerima getaran tersebut. Dalam alam komunikasi radio, ada yang disebut pemancar yang mempunyai frekwensi tertentu dan apabila pendengar ingin mendengar siaran stesyen radio tertentu dia mestilah mencari frekwensi radio tersebut untuk mendapatkan siarannya. Di sini timbul keserasian frekwensi antara pemancar dan penerima.

Getaran cinta memainkan peranan utama dalam ikatan dan hubungan rumah tangga. Apakah yang dimaksudkan dengan getaran cinta? Suami dan isteri masing-masing boleh dianggap sebagai pemancar, masing-masing juga boleh dianggap sebagai penerima pancaran bergantung siapa yang memancar dan siapa yang menerima. Jadi apabila getaran cinta itu ujud, kedua-dua pihak mestilah bersedia untuk menerima getaran itu. Apabila getaran cinta itu berpindah antara dua kekasih maka akan timbul suasana bahagia kerana masing-masing mempunyai frekwensi yang sama, saling menepati gelombang yang sama, jika tidak siaran akan selalu terganggu.

Suami dan isteri mestilah mempunyai saluran komunikasi yang baik melalui belaian dan kasih sayang, sering bersama dalam membina kesefahaman, mesti ada getaran cinta apabila isteri melihat suami dan juga apabila suami melihat isteri. Getaran ini bukan dapat dibina dalam sehari dua, tetapi memakan masa yang lama untuk serasi. Jalinan kasih sayang antara keduanya mesti kukuh terbina dengan sentuhan dan belaian. Alat pemancar dan penerima dalam diri masing-masing mestilah di ”fine-tuned” agar penerimaan dan pengiriman mesej tidak disalah tafsirkan.

Apabila umur semakin tua, getaran cinta yang dulunya berbentuk nafsu mestilah diubahsuai kepada getaran cinta berbentuk kasih sayang. Saling memerlukan dan saling faham memahami antara satu sama lain. Getaran cinta tercipta dengan kasih sayang Allah s.w.t. kerana cinta itu sesuatu yang kudus dan ianya hadir kerana kita cinta kepada Allah s.w.t. Melalui kecintaan kita kepada Allah s.w.t. yang mendalam, kita dapat mencintai sesiapa pun di dunia dengan sempurna dan penuh yakin.

Marilah kita memurnikan frekwensi cinta kita sesame pasangan rumah tangga, dan seterusnya memurnikan frekwensi cinta kita kepada Allah s.w.t dan Muhammad Rasulullah s.a.w.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 15 Feb 2012.

Saturday 11 February 2012

Jangan terpedaya dengan kehidupan dunia

Pada abad ke-21 dan seterusnya, dunia akan terus dilanda dengan pelbagai kemajuan teknologi dalam berbagai bentuk. Semuanya itu adalah alat bagi manusia memertabatkan kehidupannya kepada kebaikan dan jangan sekali-kali dianggap sebagai matlamat. Matlamat hidup manusia hanya untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. kerana hidup akan menemui kematian akhirnya. Jadi jangan sekali-kali kita terpedaya dengan hidup ini. Ayat 185 dalam surah Ali Imran (surah ke-3), dengan jelas menyatakan demikian.

"Setiap yang bernyawa akan merasai mati. Dan hanya pada hari kiamat sajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam surge, sungguh, dia memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran (3) : 185).

Ayat-ayat lain seperti, 6:32, 9:38, 29:64, 40:39, 57:20, 13:26, 29:25, 29:17, dan 25:3 menyata dengan jelas tentang hidup dan kehidupan dan akibat daripada kehidupan yang keliru di bumi ini.

Salah satu alat teknologi social terkini yang sangat berpengaruh ialah “facebook (FB)”. Ramai pengguna FB dewasa ini sangat terpengaruh dengannya sehingga lupa bahwa itu bukanlah tujuan namun ianya hanya sebagai suatu alat perhubungan dan penyampaian berita yang cepat.

Aplikasinya sudah pun menjalar kepada alat-alat yang boleh dibawa dengan tangan seperti telefon bimbit, dan gadget-gadget yang seangkatan dengannya. Terdengar juga laman social ini berupaya meruntuhkan institusi rumah tangga akibat dari ketidaktahuan pengguna mengenai keutamaannya, sehingga mengutamakan FB daripada menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri atau suami yang lebih utama.

Pelajar sudah terpengaruh dengan FB dan permainan computer daripada mengkaji ilmu. Orang tua yang “gila” FB sudah lupa ke mesjid atau ke surau bagi mendengar kuliah agama dan sebagainya. Anak-anak yang meningkat dewasa lebih ashik bermain video games dan FB daripada mengikut suruhan ibubapa mengaji Al-Quraan dan sebagainya.

Situasi melalaikan ini sudah semakin parah apabila lebih ramai yang menghadiri “concert” daripada menghadiri kuliah-kuliah agama. Keghairahan ini semakin memuncak apabila ada institusi-institusi kerajaan yang tolong mempromosikan gejala pembaziran waktu yang sungguh ketara ini, dan sangat kurang ajakan kepada menghargai ulama dan ilmuan.

Secara matematik, gerakan linear kepada kehancuran ummah ini akan berlaku pada suatu titik nanti yang kita kurang pasti tarikh tepatnya, namun apakah kaedah regresi atau ekstrapolasi atau kaedah-kaedah lain yang kita gunakan untuk meramal nasib bangsa pada masa depan, trend kepada kehancuran ummah sangat jelas kelihatan dengan gejala social pembuangan bayi, pengabaian orang tua, penghinaan kepada ulama dan ilmuan dan sebagainya.

Hairan, manusia sudah sangat terpedaya dengan hidup yang singkat ini dan tidak merasa bahwa hidup yang lestari akan dihadapi apabila mati menjelang. Manusia sudah tidak takut lagi menggunakan agama untuk kepentingan diri yang rendah. Di mana neraca agama mereka?

Marilah kita renung hal-hal ini.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 12 Feb 2012.

Sunday 29 January 2012

Sibuk dengan Al-Qur’an dan dzikir sehingga lupa berdoa kepada Allah

Dari Abu Sa’id Al Khudri ra., ia berkata : Rasulullah saw bersabda: Tuhan Yang Maha Mulia dan Maha Besar berfirman : “Barang siapa yang sibuk membaca Al Qur’an dan dzikir kepada Ku dengan tidak memohon kepada Ku, maka ia Aku beri sesuatu yang lebih utama dari pada apa yang Aku berikan kepada orang yang minta”. Kelebihan firman Allah atas seluruh perkataan seperti kelebihan Allah atas seluruh makhlukNya”. (Hadits ditakhrij oleh Turmudzi).

Pada pagi 27 Januari 2012 (Jumaat), kami staf Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkesempatan mengikuti Majlis Tazkirah Syahriyyah di Dewan Kuliah Pusat 3 yang disampaikan oleh Tan Sri Dr Mohd Yusof Hj Mohd Noor, Pengerusi Lembaga Pengarah USIM. Kupasan beliau pagi itu berkisar di sekitar Hadith Qudsi di atas.
Mereka yang sibuk dengan Al-Quraan ialah mereka yang membina kurikulum, modul dan sebagainya untuk menggali khazanah Al-Quraan untuk dimanfaatkan ilmunya oleh orang lain. Melalui kegiatan itu mereka turut berzikir, namun mereka tidak sempat untuk memohon atau berdoa. Dalam hal ini Allah menjanjikan walau pun mereka tidak berdoa, Allah akan mengurniakan sesuatu yang lebih utama daripada apa yang Allah berikan kepada orang yang meminta. Allah Yang Maha Mengetahui, senentiasa tahu apa yang diperlukan oleh setiap ummatNya dan bersedia pada bila-bila masa untuk memberikan sesuatu kepada makhlukNya walau pun tidak diminta. Di sini kita dapat lihat dan rasakan betapa kasih sayang Allah kepada ummatNya yang berbuat baik melalui kesibukan mereka dengan Al-Quraan.

Para pejuang di zaman kegemilangan Islam banyak membaca Al-Quraan dan mempunyai iman yang kental, mereka berperang pada siang hari dan beribadah pada malam hari, tidak sempat untuk berdoa atau meminta, namun Allah berupaya membaca keinginan hati setiap pejuang untuk berjaya dan menegakkan syiar Islam sehingga tersebarnya Islam ke merata Negara di dunia ini.

Kalau kita kembali bertanya kepada manusia Islam di zaman yang penuh dengan pancaroba ini, apakah yang mereka lakukan untuk Islam. Tentu mereka bukan sibuk dengan Al-Quraan, mereka hanya sibuk dengan dunia dan tidak tercapai maksud hadith qudsi di atas yang meminta kita untuk sibuk dengan Al-Quraan dan mengambil iktibar daripadanya demi membangun masa depan yang bahagia di dunia dan juga di akhirat.

Pada hakikatnya kita mesti lebih banyak berusaha berpandukan Al-Quraan dan Al-Hadith, dua panduan penting yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan sempena menyambut ulang tahun kelahiran beliau pada 12 Rabiul Awwal 1433 bersamaan dengan 5 Feb 2012, marilah kita berusaha sekuat-kuatnya untuk mengikuti jejak Rasul kita yang mulia baik dalam amalan harian kita. Sebarkan salam dan silaturrahim sesama muslim dan berdakwah kepada non-muslim agar mereka juga akan mendapat hidayah melalui dakwah yang kita sampaikan.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 29 Januari 2012.

Tuesday 17 January 2012

Hakikat kehadiran roh dalam mencari Cinta Allah

Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh, katakan: roh adalah urusan Tuhanku, dan tiadalah kamu diberi ilmu kecuali sedikit sahaja” (Al-Isra’: 85).

Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata, “Aku berjalan bersama Rasulullah s.a.w. di bahagian kota Madinah yang runtuh. Rasulullah s.a.w. bertongkat dengan pelepah kurma dan melewati sekelompok orang Yahudi. Mereka saling berkata: ”Tanya baginda tentang Roh.” Sebahagian lain berkata: ”Jangan bertanya kepadanya.” Namun kemudian mereka bertanya: “Hai Muhammad, apakah roh itu?”. Rasulullah tetap (berdiri) bertongkat dengan pelepah kurma itu, dan aku mengira baginda sedang menerima wahyu, selesai wahyu disampaikan, Rasulullah s.a.w. bersabda kepada mereka: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah roh itu adalah urusan Tuhanku, sedangkan kamu tidak diberi ilmu kecuali sedikit sahaja”.

Ada dua keadaan yang terjadi di dunia ini, pertama, hidup, suatu gejala yang dapat dilihat manusia pada dirinya, berupa gerak-geri, kebebasan bertindak, berfikir, mengatur, memanfaatkan hasil bumi dan hasil langit, mengelak bahaya yang akan menimpanya serta melindungi diri daripada sesuatu kejadian yang akan terjadi padanya. Kedua, mati, ketika jasad yang tadinya aktif menjadi kaku, tidak bergerak sama sekali, tidak mampu lagi berfikir dan mengatur, tidak memberi manfaat dan tidak memudaratkan sesiapa.

Apakah sebenarnya yang mengaktifkan manusia bergerak dan kenapakah apabila perkara itu hilang, manusia tidak lagi berupaya bergerak. Ini sangat membingungkan manusia dari dulu hingga sekarang. Lagi pula roh ialah urusan Allah, dan kita tidak diberikan ilmu kecuali sedikit.

Tidak ada kaedah penyelidikan sains yang dapat menyelidiki tentang roh, kecuali memerhatikan kesan roh terhadap benda hidup, termasuk manusia. Mungkin salah satu komponen roh ialah tenaga (energy), dan apabila kita memerhatikan graf tenaga pada manusia ianya bermula besar pada peringkat kanak-kanak, kemudian sedikit demi sedikit tenaga itu akan berkurang dengan bertambahnya umur. Gradien graf tenaga (paksi-y) dengan umur (paksi-x) akan selalu bernilai negatif kerana ianya tidak pernah bertambah, malah setiap tahun akan berkurang hinggalah tenaga itu sama dengan sifar, dan di ketika itu malaikat maut sudah hadir untuk menjemput roh itu kembali kepada Allah.

Walau pun ada usaha untuk menambah tenaga agar tidak cepat habis, namun hakikatnya hanyalah menangguh kematian, namun kematian pada akhirnya akan tiba jua. Ini boleh diklasifikasikan sebagai usaha manusia untuk hidup lama dan berharap untuk berbakti di jalan Allah.

Ketika ditanya oleh seorang Ansar tentang pertanyaan, “siapakah manusia yang paling cerdik?”, Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar berkata: “Aku bersama Rasulullah, lalu seorang lelaki Ansar datang kepada Baginda mengucapkan salam lalu bertanya: Wahai Rasulullah. Manakah antara kaum mukminin yang paling utama? Baginda menjawab: Yang paling baik akhlaknya antara mereka. Dia bertanya lagi: Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik?, Baginda menjawab: Yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang cerdik,” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Suasana hening wujud ketika kita menziarahi sesebuah kematian, dalam keheningan itu diri kita diajar oleh keadaan syahdu itu agar menyediakan bekalan yang halal secukupnya kerana Surah Ali-Imran, 185 mengingatkan kita bahwa, “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan pada hari kiamat saja akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia sudah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanya kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

Setiap insan yang yakin akan kembali kepada Allah akan cuba sedaya upaya mengendalikan hidupnya sebaik mungkin agar tidak tergelincir ke lembah maksiat kepada Allah dan juga ke lembah dosa terhadap sesama manusia. Mereka cerdik membagi waktu untuk dunia dan juga akhirat, mengambil dunia hanya sekedar untuk menyampaikan mereka kepada akhirat, tidak lebih dari itu. Membekalkan kepada anak-anak ilmu kerana untuk mendapat kedua-dua dunia dan akhirat memerlukan ilmu agama dan dunia. Jika ada kelebihan harta, mereka akan infak (berikan) kepada yang memerlukannya melalui zakat atau derma.

Beberapa ulama dalam mengupas masalah roh lebih banyak menerangkan tentang gejala-gejala yang timbul dari roh dan tidak melebihi dari itu, antaranya ialah Imam Al-Qaunawi. Roh adalah zat yang halus dan tembus (transparen) merayap di sekujur tubuh bagaikan air mawar pada bunga mawar, atau api dalam arang, di mana Allah s.w.t. menetapkan kelaziman roh untuk mewujudkan kehidupan di dalam jasad selama dia ada, dan apabila hilang atau berpisah daripadanya akan hilang pulalah kehidupan itu.

Imam Al-Ghazali menyatakan bahwa roh manusia terdiri kepada dua:

1. Roh merupakan wap yang halus, ia menjadi sempurna dan baik dengan sempurna dan baiknya tabiat manusia dan dia itulah yang member tenaga pada panca indera dan gerak-geri manusia. Ia akan kembali kepada Allah apabila kematian tiba.

2. Roh merupakan lathifah Robbaniyah (sesuatu yang halus yang datang daripada Allah) sesuatu yang dihubungkan kepada Allah s.w.t. melalui firmanNya dalam surah Al-Hijr, ayat 29, “Dan Aku akan meniupkan roh (ciptaanKu) ke dalamnya, maka bersungkur sujudlah kamu kepadaNya”.

Walau pun apabila tiba masanya, jasad akan terbaring kaku, namun roh akan tetap hidup dan diberikan rezeki oleh Allah s.w.t. (Ali-Imran, 169). Roh dinyatakan sebagai sesuatu yang tidak terbahagikan dan tidak mengelompok.

Tulisan ini hanya sekedar untuk mengingatkan kita kepada kehidupan dan kematian dan segala tanggungjawab terhadapnya. Syeikh Sa’id Hawwa dalam “Pendidikan Spiritual”, mengupas lebih mendalam tentang cara menggapai cinta Allah. Juga Imam Al-Ghazali dalam “Mukashafah Al Qulub” menerangkan secara mendalam mengenai bagaimana mendidik hati dan jiwa.

Hanya Cinta Allah s.w.t yang kita cari.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 17 Januari 2012.

Friday 13 January 2012

Sifat Calon Penghuni Syurga

Dalam buku bertajuk, “Sifat Calon Penghuni Syurga”, susunan Harun Arrasyid Haji Tuskan, terbitan Progressive Publishing House Sdn Bhd, 2009, digariskan 81 sifat calon penghuni syurga. Sekiranya ada sesiapa yang berminat membuat system penilaian kendiri berdasarkan sifat-sifat di atas alangkah baiknya sebagai muhasabah diri apakah kita termasuk sebagai calon atau tidak. Sekiranya tidak masih ada ruang untuk memperbaiki sebelum kita dijemput Allah untuk bersamaNya.

Saya turunkan sifat-sifat itu tanpa memberikan sebarang ulasan, Insya Allah pada kesempatan yang lain boleh dihuraikan secara lebih mendalam:

1. Hanya berharap dan rasa takut kepada Allah.
2. Memurnikan niat hanya kerana Allah.
3. Mengagungkan syiar-syiar Allah.
4. Bertawakal hanya kepada Allah.
5. Menanti kematian.
6. Memiliki kekayaan hati.
7. Menjauhi sikap meminta-minta.
8. Menahan diri daripada segala yang bersifat duniawi.
9. Merendah diri dengan sesama mukmin.
10. Tegas dan keras terhadap orang-orang kafir.
11. Memiliki akhlak yang mulia.
12. Bersaudara kerana Allah.
13. Menyambung silaturrahim.
14. Menjauhi sifat marah dan dendam.
15. Bersabar dalam segala keadaan.
16. Membela dan mempertahankan kebenaran.
17. Menegak amar makruf dan nahi munkar.
18. Menghisab diri sendiri dan bermuhasabah.
19. Menjauhi pujian sesama manusia.
20. Tidak menggunjing (mengumpat) sesama mukmin.
21. Menjauhi sifat dengki dan permusuhan.
22. Menjauhi sifat bohong.
23. Mempertahan kebenaran.
24. Menjaga kemuliaan diri dan penyantun.
25. Sederhana dalam segala perkara.
26. Menjauhi dosa dan mengutamakan yang halal.
27. Sanggup berkorban apa saja di jalan Allah.
28. Tidak menyakiti orang lain.
29. Menjauhi penguasa yang zalim.
30. Senentiasa merasa lemah di hadapan Allah.
31. Mengerjakan amal soleh dan mencintai kebaikan.
32. Mengingati Allah dan membasahi lidah dengan zikir.
33. Melaksanakan tujuh kebaikan.
34. Gemar mencari ilmu.
35. Menjauhi larangan-larangan Allah.
36. Takut dengan perbuatan yang haram.
37. Meninggalkan dosa-dosa besar dan kecil.
38. Menunaikan hak Allah dan hak hamba.
39. Mengamalkan sifat malu.
40. Istiqomah dan berpegang teguh pada agama.
41. Berasa takut dengan neraka Allah.
42. Membersihkan jiwa dengan menjual diri kepada Allah.
43. Memohon petunjuk dan berserah diri kepada Allah
44. Gemar berjihad dan berperang untuk membela agama Allah.
45. Mencintai Allah.
46. Menepati janji kepada Allah.
47. Berkeinginan kuat untuk menjadi kekasih Allah.
48. Menyembuhkan penyakit di dalam hati.
49. Mengamalkan sifat-sifat kehambaan.
50. Memahami dan menghayati kelemahan diri sendiri.
51. Memohon keampunan dan rahmat kepada Allah.
52. Mensyukuri nikmat-nikmat Allah.
53. Sentiasa berhajat kepada pertolongan dan bantuan Allah.
54. Mencari ilmu-ilmu makrifat.
55. Sentiasa merujuk dan mengadu kepada Allah.
56. Berani melawan musuh di dalam diri sendiri.
57. Memiliki hikmah dan bijaksana.
58. Memiliki akal yang cemerlang dan bercahaya.
59. Mengikuti perintah hati.
60. Akal dan hati orang mukmin yang dirahmati Allah.
61. Sentiasa menghisab, mengawasi dan menyucikan diri.
62. Mencontohi kekuatan akal dan hati para nabi.
63. Memiliki akal dan tingkahlaku yang bijak.
64. Bermakrifat kepada Allah.
65. Menjauhi perbuatan dosa dan segera bertaubat.
66. Memiliki kekuatan akal.
67. Memahami hakikat ilmu.
68. Memiliki hati yang pasrah kepada Allah.
69. Memiliki tiga kekuatan iaitu ilmu, Iman dan akal.
70. Tidak bergaul dengan penguasa yang jahat.
71. Memiliki kekuatan untuk mengalahkan syaitan.
72. Beribadat kepada Allah seakan-akan melihatNya.
73. Memiliki akal yang cerdas dan akhlak yang mulia.
74. Ikhlas sebagai buah daripada akidah.
75. Menghadirkan niat kerana Allah.

Senarai ini dapat dijadikan sebagai senarai semak kendiri dalam membuat muhasabah diri terhadap amal kepada Allah.

Begitulah sedikit criteria yang boleh dijadikan asas sama ada kita benar-benar mencintai Allah dan ingin berjuang di jalanNya.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 14 Jan 2012.