Friday 21 September 2012

Bersikap positif sangat membantu dalam hidup

Sudah lama saya tidak mencoret kata-kata dalam sebuah penulisan. Kesibukan yang cukup mengikat dalam bulan Puasa, kemudian menyambut Syawal hingga sebulan. Menghadapi semester universiti yang baru saja bermula dan berbagai lagi kesibukan lain.

Apa pun keadaannya hidup mesti diteruskan. Dalam melayari hidup yang semakin menambah usia dan sekaligus memendekkan jangka hayat, kita mestilah bersikap positif kerana sikap ini sangat membantu dalam kehidupan. Situasi ini berlaku umum kerana yang muda akan mengharungi hidupnya sama seperti yang sudah berusia. Semua manusia akan menjalani hidup ini secara saksama.

Panduan kita apabila ditimpa kesusahan ialah kembalikan kepada Allah. Insya Allah, Dia akan membantu kita.

“Orang yang apabila ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepadaNya kami kembali” (Al-Baqarah, ayat 156).

Sesuatu perkara pasti akan berlaku di hadapan mata kita. Situasi jiwa kita akan ditentukan oleh reaksi kita terhadap sesuatu peristiwa itu. Marah akan membuat jiwa kita gelisah. Tidak berbuat apa-apa bermakna kita bersikap pasif dan tidak ambil kisah. Terbaik ialah kita mengambil sikap positif terhadap apa yang berlaku di hadapan kita.

Tenang dan cepat berfikir kenapa sesuatu hal itu berlaku. Senyum akan memberikan kita ketenangan dalam berfikir dan bertindak. Pertama sekali kita mesti ingat ialah pesanan Allah melalui surah Al-Baqarah ayat 156 di atas. Sesuatu apa yang berlaku datang daripada Allah dan kita kembalikan kepadaNya segala urusan. Segera memberi bantua jika berlaku kemalangan, atau jika situasi tegang dalam pertengkaran, ajak semua duduk dan berbincang mengenai apa yang sedang berlaku. Carilah kebenaran kerana kebenaran itu berasal dari Allah (Al-Kahfi, ayat 29).

Kemahiran bersikap positif ini bukan boleh didapati dalam sekelip mata, ianya mesti dibina melalui pengalaman dan amalan. Merasakan diri kita ini tersangat hina di hadapan Allah merupakan salah satu didikan ke arah bersikap positif. Tidak perlu ada sedikit pun rasa sombong dalam diri kerana yang berhak sombong hanyalah Allah. Ilmu kita sangat sedikit jika dibandingkan dengan ilmu Allah. Apa lagi dari segi harta dan kekayaan lain. Semuanya milik Allah dan tidak ada sedikit pun milik kita. Ketika kita kembali menemui Allah tidak ada satu pun yang akan dibawa bersama kecuali amal jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang selalu mendoakan kesejahteraan kita.

Semoga kita diberikan Allah sikap positif yang berpanjangan.

Ismail Abdullah, 22 September 2012.


2 comments:

QasehQeen said...

setuju dengan kata-kata pak lang..:')
rasa sedih pula bila mana kadang2 diri dikuasai dengan rasa kecewa & mengeluh dengan ujian Allah. Astaghfirullahal'azim. mohon dijauhkan dari berperasaan sperti itu lg. :(
#syukran pak lang, untuk entri yang memberi maksud yg mendalam ni.

Unknown said...

Terima kasih. Hidup akan terasa ringan jika kita fikir semuanya kerana Allah... :)