Tuesday 15 January 2013

Betapa Sukarnya Membela Kebenaran

Saya tertarik sangat dengan kata-kata yang tertulis pada kulit buku Nasehat Keimanan Ibnu Qayyim, karya Ali bin Muhammad Ad-Dihami, terbitan Shafa Publishing, Surakarta (Solo) iaitu “sesungguhnya hati itu sangat keras dan akan tetap keras, kecuali dengan dzikir mengingat Allah SWT. Oleh kerana itu, nasehat-nasehat Ibnu Qayyim ini dapat membuat hati kita yang lalai dan jiwa kita yang suka bermain-main ini untuk selalu berdzikir”.

Pada hakikatnya hati yang keras dan sangat keras itu akan menjurus kepada kezaliman dan menolak mempertahankan kebenaran. Hati yang lembut dan semakin lembut akan mengarah kepada kebenaran dan mempertahankan kebenaran.

Kebenaran yang hakiki hanyalah kebenaran yang disampaikan Allah melalui Al-Quraan dan Sunnah Nabi Muhammad SAW yang sahih dan hanya agama Islam sajalah yang diiktiraf oleh Allah sebagai agama yang benar dan berada di sisiNya.

Antara yang benar dengan yang bathil sangat jelas perbezaannya. Kenapakah terlalu sukar kini membela kebenaran?

Kita sangat khuatir akan ujud suatu keadaan dan ketika di mana yang benar dianggap bathil dan yang bathil pula dianggap benar. Mereka yang berkata benar disisihkan sementara mereka yang mengatakan bathil diagung-agung. Sungguh keliru ketika itu. Kita dapati bibit-bibit kearah kecelaruan menentukan yang benar dengan yang bathil sudah mula berlaku. Pihak yang berkuasa melalui pengaruh politiknya berhasil lolos dari hukuman, manakala pihak yang benar dihukum sewenang-wenangnya kerana tiada kuasa politik.

Campur tangan politik dalam pendidikan sudah lama dirasai, namun kerana ingin megah dengan kejayaan saban tahun, mereka sanggup mengubah graf kelulusan. Akhirnya kita akan memperolehi ramai pelajar yang lulus peperiksaan, namun ilmu pengetahuannya tidak bertambah dan lengkap.

Apabila kebenaran diabaikan, keutuhan sesebuah negara akan hancur. Mereka yang mempunyai kuasa boleh dibeli dengan wang dan menggadaikan kebenaran. Kuasa wang yang disalahgunakan boleh menghancurkan sesebuah negara. Keberanian mengatakan kebenaran di hadapan raja yang zalim sudah hampir pupus. Kini masyarakat terdidik dengan bersikap diam kerana takut kepada risiko balasan daripada yang punya kuasa. Di sana sini kita dengar ada seorang atau dua orang yang berani berkata benar, namun akhirnya berita demikian hilang dan tidakm kedengaran lagi. Media sudah berpihak kepada yang berkuasa dan turut sama menindas insan kerdil yang memerlukan pembelaan.

Kita ingin mengajak masyarakat untuk kembali kepada sikap menghargai kebenaran walau pun kebenaran itu dikemukakan oleh anak kecil. Jika sesuatu itu benar berdasarkan Al-Quran dan Hadith yang soheh maka terimalah kebenaran itu. Namun jika seseorang itu mengaku perkataannya benar namun tidak bersandarkan kepada kedua-dua sumber utama iaitu Al-Quraan dan Hadith yang soheh maka perkataannya perlu ditolak walau pun dia berkuasa, kaya dan berpengaruh dalam masyarakat.


1 comment:

Hannah Samsudin said...

Dr,
Minta tolong tambah RSS feed boleh?
Terima kasih.

-Adik Nizam-