Tuesday 2 August 2011

Berdakwah kerana mencari cinta Allah

Sebelum solat tarawikh dijalankan pada malam pertama seorang penceramah maju ke podium dan menyampaikan tazkirah. Dalam tazkirahnya seolah-olah menyindir jamaah kerana ramai yang datang ketika solat tarawikh sehingga terpaksa solat di luar mesjid, tetapi sepi ketika solat berjamaah di luar bulan ramadhan.

Malam ketiga seorang pendakwah lain pula muncul dimembar dan mempersoalkan jamaah yang melakukan solat tarawikh hanya lapan rakaat, seharusnya mengikut pendakwah ini semuanya melakukan solat tarawikh dua puluh rakaat. Kedua-dua cara tersebut diakhiri dengan witir.

Persoalan yang ingin kita bangkit ialah cara penceramah menyampaikan dakwah atau tazkirah mereka. Pada malam pertama jamaah sudah begitu komited datang ke rumah Allah sebagai tetamu Allah, seharusnya mereka jangan disindir kerana mereka dengan ikhlas datang untuk meimarahkan mesjid di bulan yang mulia ini. Sebaiknya pendakwah berdoa agar kehadiran mereka berterusan sehingga bulan shawal dan bulan-bulan seterusnya.

Pendakwah malam ketiga pula seharusnya lebih berhati-hati kerana mereka yang solat lapan rakaat biasanya akan sambung solat malam dan witir kemudiannya di rumah masing-masing. Pendakwah mesti bersangka baik (husnul dhan) terhadap tetamu Allah dan perkara sunat jangan dianggap sebagai wajib dan memestikan semua jamaah melakukan solat tarawikh dua puluh (20) rakaat. Dengan suara yang keras dan laju beliau berkali-kali mengatakan mesti melakukan dua puluh rakaat, bukan lapan rakaat. Masing-masing kaedah mempunyai sandaran yang kuat dan kedua-duanya boleh dilakukan.

Teringat saya kepada ayat 125, surah An-Nahl berikut:

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang dapat petunjuk” (An-Nahl(16):125).

Hikmah di sini bermaksud perkataan yang tegas dan benar yang dapat membezakan antara yang hak dan yang bathil.

Domain yang ingin kita imbau kepada jamaah ialah domain afektif iaitu domain perasaan bukan domain akal, sebab semua tahu bahwa solat tarawikh, membaca Al-Quraan, dan bersedekah di bulan Ramadan itu amat dianjurkan. Cara kita mengajak berbeda dengan cara kita memerintah atau memaksa. Suara mengajak harus lembut dan sopan, sentuhlah emosi mereka bukan akal mereka ketika ini.

Jangan sekali-kali seperti kempen piliharaya kerana ini bukan medan berkempen tetapi medan berdakwah dengan uslub yang sudah digariskan Rasulallah s.a.w yang beliau lakukan mengikut sasaran dakwah, bukan hentam kromo saja dan menganggap semua jamaah mesti dipaksa melakukan sesuatu yang sunat seperti yang wajib.

Sekiranya hati-hati mereka sudah jinak dan dekat dengan mesjid, maka barulah kita boleh memberikan yang sedikit keras. Dikhuatiri mereka akan lari sebelum kita sempat berdakwah.

Kita menyeru kepada pendakwah agar lebih hikmah dalam menyampaikan material dakwah dan ajaklah jamaah dengan menyentuh perasaan mereka bukan semata-mata akal mereka.