Friday 20 July 2012

Ramadhan Bulan Muhasabah Diri

Entah kenapa setiap kali Ramadhan tiba hati saya merasa sayu dan amat hiba. Terasa sungguh Allah SWT ingin menyampaikan sesuatu melalui bulan yang sangat saya tunggu ini. Bulan yang sungguh mulia.

Ketika saya masih di darjah empat sekolah kebangsaan, kami berpuasa ketika padi hampir masak dan terpaksalah berpindah tinggal di dangau (rumah kecil) di kawasan sawah ayah saya. Jarak antara rumah kami dengan dangau itu ialah sekitar lima kilometer (tiga batu). Tiap pagi kami terpaksa berjalan kaki ke sekolah yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah tetapi enam kilometer dari dangau di kawasan sawah. Perjalanan itu terpaksa kami tempuhi dan berjalan beramai-ramai dengan kawan-kawan yang ayah mereka berpindah sementara ke dangau masing-masing. Bila berjalan beramai-ramai tidak terasa penat sangat. Perpindahan ini perlu bagi menjaga padi yang sedang masak agar tidak dimusnahkan oleh babi hutan yang mengganas ketika malam.

Saya masih ingat kalau ada saja babi hutan yang akan merusakkan padi, anjing PakSu Man yang tinggal sekitar 500 meter dari dangau kami akan menyalak dan menghalau babi hutan itu. Terjaga sementara apabila anjing menyalak tetapi sambung tidur apabila suasana kembali reda. Ayah dan Ibu terus terjaga dan menjaga kami adik beradik dari gigitan nyamuk.

Saya hiba kerana terkenang kesusahan yang ditempuhi masa lalu dengan cabaran kemiskinan waktu kecil. Ayah dan Ibu terpaksa bekerja keras untuk menyara kami sekeluarga dengan mengusahakan sawah dan getah. Ketika tiba waktu bulan puasa biasanya dahulu kami diberi cuti sebulan atau sekurang-kurangnya dua minggu untuk berpuasa di rumah sambil bercuti daripada kegiatan sekolah. Ketika ini saya membantu ayah dan ibu untuk mengerjakan sawah dan menoreh getah. Letih juga kerana berpuasa tetapi latihan itu amat berkesan kerana dalam serba kekurangan kami masih mempunyai motivasi untuk berusaha mencari rezeki.

Kini apabila tiba Ramadhan saya terus terbayang ketika kesusahan melanda dan menjadikan bulan ini sebagai medan untuk bermuhasabah diri atas kesusahan masa lampau dan sangat bersyukur dengan rezeki yang Allah SWT berikan masa kini. Pada bulan inilah kita dilatih untuk bangun awal sekitar jam 3 atau 4 pagi, membuat persediaan sahur atau setidak-tidaknya menemani isteri menyediakan sahur untuk keluarga. Lepas sahur kita mempunyai waktu untuk membaca Al-Quraan dan membaca kitab-kitab agama Islam bagi memandu diri ke arah kebaikan. Mendekati Allah SWT yang telah memberikan kita rezeki yang melimpah ruah.

Ketika siang dalam keadaan lapar dan dahaga fikiran kita mengalir cergas, keinsafan tentang perangai diri yang lemah akan terungkai dan memberikan penyesalan yang mendalam bagi memperbaiki diri agar lebih maju dan dekat dengan Maha Pencipta. Kita mula merenungi apakah sebenarnya tujuan hidup kita berada di dunia ini? Apakah selama ini kita berbuat baik atau sebaliknya. Sejauh ini apakah pencapaian hidup yang telah kita perolehi dan berbagai persoalan lain yang bermain di fikiran kita. Dalam bulan yang mulia ini juga kita digalakkan banyak bersedekah. Memberi dengan ikhlas dan mengharap rahmat dari Allah dengan banyak berdoa. Melalui perbuatan memberi hati kita akan menjadi bersih dan harta kita menjadi berkat. Hidup akan lebih tenteram dan teratur.

Dalam bulan ini juga kita sangat berdisiplin ketika berbuka, malah kita menunggu untuk berbuka. Ini ialah suatu disiplin masa yang unggul. Kita sangat berharap agar disiplin masa ini dapat terus bertahan ketika di luar bulan Ramadhan. Demi masa, semua manusia berada dalam kerugian kecuali mereka yang beramal saleh dan nasihat menasihat dalam kebaikan dan kesabaran.

Semoga bulan yang mulia ini kita jadikan sebagai bulan muhasabah diri dan keluar kita nanti pada 1 syawal kita menjadi manusia baru yang penuh dengan motivasi dan berfikiran positif untuk terus berbakti kepada Allah SWT.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 20 Julai 2012.


No comments: