Tuesday 27 September 2011

Antara Jiwa, Roh dan Jasad


Semalam aku begitu bersemangat sekali untuk habis membaca buku, “Penerokaan Roh ke Alam Ghaib”. Setelah ku belek-belek buku karangan Amiruddin Faatih yang setebal 184 halaman itu dan cuba mengenali siapakah pengarang ini, aku tidak mendapatinya dalam buku itu. Penerbitnya Al-Hidayah yang menerbitkan buku itu pada tahun 2008, tidak memperkenalkan pengarangnya seperti biasa. Apabila di”google”kan pun tidak ada maklumat mengenai pengarang ini. Daripada 184 mukasurat, pembahasan mengenai roh hanyalah 36 mukasurat atau hanya 20% sahaja buku yang bertajuk demikian membahaskan mengenai tajuk roh yang tertera pada kulit buku tersebut. Betapa aku terkeliru dengan tajuk buku itu, kerana mengambil sikap “judging the book by the cover”.

Aku pun tidak tahu kenapa aku teringin sangat untuk mendapatkan bahan mengenai roh dan sifat-sifatnya walau pun tahu mengenai ayat 85, Surah Al-Isra, “Roh itu termasuk urusan Tuhanku dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit”. Berdasarkan maklumat yang tertulis di dalam 36 mukasurat buku itu, aku membuat kesimpulan bahwa terdapat satu rantaian yang bermula dari jiwa (nafs), kemudian ke roh dan akhir sekali ke sir.

Jiwa yang dididik secara Islamik akan bertukar peranan menjadi roh yang menuju kesempurnaan dan akhirnya menjelma menjadi sir (rahsia Tuhan). Jika roh itu dididik melalui cara syaitan, maka roh akan menjadi tersangat kotor dan tidak diterima sebagai sir oleh Allah s.w.t. Perbahasan mengenai mana yang dulu ujud antara roh dan jasad. Juga mengenai proses peniupan roh dalam janin bayi, apa akan jadi selepas roh berpisah dari badan, di mana roh itu tersimpan selepas kematian insan, tidak perlu kita bahaskan kerana kita tidak pasti arah tujuan pembahasan yang sedemikian.

Sesuatu yang pasti ialah kita perlu mendidik jiwa kita menjadi roh yang suci dan dapat menjadi sir dan diterima oleh Allah s.w.t. apabila tiba masanya roh itu dipanggil kembali oleh pemiliknya. Jelas sekali bahwa manusia dan jin diciptakan oleh Allah untuk beribadah kepadaNya. Ibadah dalam erti kata yang luas meminta kita untuk terus berurusan dalam setiap aktiviti harian dengan niat yang ikhlas kerana Allah semata-mata dan semuanya akan bernilai ibadah.

Sementara jiwa masih berada dalam jasad manusia, maka selama itu jiwa memerlukan makanan bagi menyuburkan jiwa tersebut. Makanan kerohanian yang berupa zikir dan fikir mengenai ciptaan Allah sangat diperlukan bagi memurnikan jiwa dan membelainya menjadi jiwa yang mutmainnah. Hanya jiwa merdeka dan bebas dari belenggu pemikiran sempit dapat bertindak sesuai dengan fitrah penciptaan jiwa itu sendiri. Apabila jiwa sudah penuh terdidik, maka akan terjelmalah roh yang suci, membantu manusia yang ditumpangi roh itu ke jalan yang benar dan diredhai Allah.

Roh akan menjadi kuasa pendorong manusia ke arah mencari ridha Allah semata-mata. Matlamat hidup hanyalah satu iaitu beribadah kepada Allah, perkara-perkara lain akan menjadi perkara sampingan. Berdialoglah dengan diri sendiri dan bertanya apakah yang aku lakukan sekarang ini menjurus kepada ridha Allah? Sekiranya tidak bersegeralah membetulkan arah dan kembalilah kepada jalanNya yang sangat jelas.

Akhirnya fahamlah aku kenapa Allah mengatakan roh ialah urusanNya dan manusia tidak diberikan pengetahuan kecuali sedikit. Otak manusia tidak akan mampu berfikir sedalam itu untuk memahami hakikat sebenarnya roh. Cukup kita memikirkan tentang penciptaan Allah dalam posisi apa pun, kerana mudah untuk kita memikirkan perkara yang jelas dan menambahkan keyakinan tentang kewujudan Maha Pencipta. Melalui akal kita dapat memikirkan tentang hakikat kehidupan dan segala liku-likunya dan juga memikirkan hakikat kematian dengan segala keseramannya.

Mendekati Allah lebih mententeramkan hati kita …..

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 28 September 2011.

No comments: