Tuesday 27 September 2011

Kita cuma kurang semangat juang

Kali ini aku ingin bermula dengan kisah Tariq Ibnu Ziyad yang penuh dengan semangat juang yang kental. Beliau memimpin satu pasukan tentera sebesar 12,000 orang dan berhadapan dengan satu pasukan musuh yang jumlahnya 100,000 orang. Kekuatan fiziknya hanya 12 persen saja, namun kekuatan jiwa dan semangat juangnya 100 persen.
Musa Ibnu Nusair, ketua pemerintahan Islam di Afrika Utara melantik Tariq sebagai Panglima Angkatan Perang kerana sifat lengkap seorang pejuang yang luar biasa. Tariq mempunyai sifat kepahlawanan, bakat kepimpinan yang tinggi dan semangat yang kuat serta berani. Berangkatlah Tariq ke Andalusia dengan 12 kapal perang dan sepasukan tentera 12,000 orang.

Setibanya beliau di pantai Gibraltar (Jabal Tariq), Andalusia, Tariq telah memerintahkan semua kapal-kapal perang itu dibakar dan mengucapkan kata-kata semangat yang hebat, "Di belakang kita laut, di depan kita musuh. Kita terpaksa memilih kemenangan ataupun syahid. Dan kita takkan pulang sebelum mencapai matlamat itu!".
Dengan semangat juang yang padu, tentera Islam telah berjaya menakluki Andalusia dan memerintah Andalusia selama 500 tahun dengan penuh kejayaan yang gemilang.

Kisah Tariq merupakan satu di antara ribuan cerita semangat juang yang dapat kita tiupkan kepada generasi muda agar kita tetap bersemangat dalam menghadapi hidup ini. Ketika ini kita hampir punya segalanya, namun jelas kelihatan kita kekurangan semangat juang yang jitu.

Keberanian Tariq membakar semua kapal-kapal perang yang membawa mereka ke Andalusia sangat luar biasa. Rencananya Tariq hanya satu iaitu menang perang atau syahid. Kedua-duanya menang bagi Tariq. Memang jalan menuju Allah itu sepi dan hampir jarang dilalui manusia ketika ini. Mereka lebih memilih untuk mendapatkan habuan dunia daripada menyicil habuan akhirat, segala norma keadilan dilanggar demi mengumpulkan harta.

“Peduli amat dengan orang lain, yang penting aku kaya dan boleh menindas orang lain”, mungkin itu antara fikiran-fikiran bejat pelaku jenayah sosial rasuah. Tidak ada sedikit pun rasa bersalah mengambil harta orang lain melalui cara yang tidak terhormat. Egonya terlalu besar untuk ditundukkan dengan sujud kepada Allah yang Maha Besar. Makin parah jika budaya ini sudah dianggap satu norma biasa masyarakat. Perkara jahat dianggap baik dan perkara baik dianggap jahat. Sungguh keliru pemikiran begini dan jauh menyimpang dari panduan illahi. Nauzubillah.

Mungkin Falsafah Tariq Ibnu Ziyad yang dituangkan dalam ungkapan berikut boleh dijadikan panduan kita menghadapi musuh, "... seandainya pada hari ini kalian masih tetap sengsara seperti ini, tanpa adanya perubahan yang bererti, nescaya nama baik kalian pasti hilang, rasa gentar yang ada pada hati musuh pula berganti menjadi berani. Oleh itu, pertahankan jiwa kalian. "

Tariq meminta kita mempunyai jiwa yang besar, bukan jiwa yang kerdil. Jiwa yang besar akan menakutkan musuh, sementara jiwa yang kerdil akan memberi kesempatan kepada musuh meningkatkan jiwa mereka menjadi besar dan kuat. Perang psikologi ini berjalan dalam diam, namun ianya merupakan suatu senjata yang ampuh bagi menghadapi segala situasi kini. Memang ramai yang tidak menyukai jalan kebenaran dan kebaikan sebab kendalanya banyak dan berbagai. Kemiskinan sedia menanti, apalagi kehinaan turut bersamanya. Rasa rendah diri yang teramat sangat. Biar pun kita miskin dengan segalanya, namun kita tetap kaya dengan hati yang bersih dan murni.

Jalan kebenaran itu sepi, tiada kemacetan kerana tidak ada pun mobil yang mau lewat. Namun, percayalah di jalan yang sepi inilah ada kebahagiaan di penghujungnya. Kita hanya perlu sabar dan berusaha. Kita cuma kurang semangat untuk hidup bersih dan ikhlas.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 28 September 2011.

No comments: